SELEPAS perlawanan malam tadi, lapan pasukan yang layak ke suku akhir saingan bola sepak Piala Malaysia 2009 ialah KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor, Kelantan, Perlis, Terengganu dan KM Naza.
Bagi Kumpulan A, KL Plus muncul juara biarpun mereka tewas 0-1 kepada Perlis pada aksi di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.
Satu lagi perlawanan kumpulan tersebut menyaksikan Pahang membelasah Melaka 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Negeri Sembilan pula sah sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tatkala Johor membelasah Sarawak 5-0 di Johor Bahru.
Selangor pula yang sudah sah sebagai juara Kumpulan D tewas 2-3 kepada KM Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala PDRM terikat 2-2 dengan Sabah di Selayang.
Satu lagi pasukan, Perak biarpun muncul naib juara Kumpulan C turut terkeluar selepas menamatkan saingan dengan mengumpul 11 mata.
Perak mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium Perak, Ipoh sekali gus membolehkan Johor FC muncul juara Kumpulan C.
UPB-MyTeam pula mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Juara bertahan, Kedah gagal menjadi tiga pasukan tempat kedua terbaik di kalangan lima kumpulan apabila slot itu berjaya diisi naib juara Kumpulan A, Perlis (13 mata), naib juara Kumpulan B, Terengganu (12 mata) dan naib juara Kumpulan D, Kuala Muda Naza (12 mata).
Kejayaan membelasah Pulau Pinang 4-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam tadi sekadar menyaksikan Kedah mengumpul 10 mata untuk muncul naib juara Kumpulan E di belakang Kelantan yang mengumpul 15 mata selepas membelasah ATM 5-0 di Kota Bharu.
Perlawanan suku akhir bakal berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 24 Oktober ini.
Lihat Jadual Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2009
Lihat Jadual Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2009
Wednesday, October 14, 2009
Saingan 8 pasukan terakhir & jadual suku akhir Piala Malaysia 2009
Artikel
BolaCyber
at
3:46 AM
0
komen
Kategori: Jadual Perlawanan, Johor FC, Kedah, Kelantan, Keputusan, KL PLus, KM Naza, Negeri Sembilan, Perlis, Piala Malaysia, Selangor, Terengganu
Tuesday, October 13, 2009
Piala Malaysia 2009 tanpa juara bertahan

EMPAT lagi pasukan mengesahkan kemaraan mengiringi Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan KL Plus ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2009 selepas aksi terakhir peringkat kumpulan berlangsung malam ini.
Juara bertahan, Kedah terpaksa menerima hakikat gagal menempatkan diri di kalangan empat pasukan terakhir yang layak sekali pun mencatat kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang malam ini.
Empat pasukan terakhir yang layak ialah Johor FC, Perlis, Terengganu dan KM Naza. Perlis mara selaku naib juara kumpulan A selepas menang tipis 1-0 ke atas KL Plus untuk berkongsi mata dengan lawannya itu tetapi terpaksa akur di tangga kedua berdasarkan kelebihan jaringan memihak KL Plus..
Johor FC pula mara selepas mengikat Perak 1-1 yang memberi kelebihan kepada Johor FC untuk muncul juara kumpulan C manakala Perak tersingkir dari saingan. Terengganu pula bernasib baik apabila berjaya menempatkan diri di kalangan kelompok lapan pasukan terakhir sekali pun tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan.
Artikel
BolaCyber
at
11:48 PM
0
komen
Kategori: Johor FC, Kedah, Kelantan, KL PLus, KM Naza, Negeri Sembilan, Perlis, Piala Malaysia, Selangor, Terengganu
Piala Malaysia: KM Naza mara, Kedah & Perak tersingkir

PENYANDANG juara, Kedah gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu apabila tersingkir dari saingan suku akhir sekali pun menumpaskan Pulau Pinang 4-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan malam ini.
Kemenangan malam ini bagaikan tidak membawa sebarang makna buat Kedah apabila mata yang dipungut tidak mencukupi untuk mencul sekurang-kurangnya di kalangan tiga pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik daripada lima kumpulan.
Selepas enam perlawanan, Kedah hanya mampu mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, seri sekali dan kalah dua kali.
Tiga pasukan yang menduduki tangga kedua terbaik dalam kumpulan ialah Perlis (13 mata), Terengganu (12 mata) dan KM Muda (12 mata).
Lima pasukan yang muncul selaku juara kumpulan pula ialah KL PLus(A), Negeri Sembilan (B), Johor FC (C), Selangor (D) dan Kelantan (E).
Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009
Artikel
BolaCyber
at
11:26 PM
0
komen
Kategori: Kedah, Keputusan, KM Naza, Perak, Piala Malaysia, Pulau Pinang
Saturday, October 3, 2009
Kelantan hampiri suku akhir, Kedah merana
HASRAT Kelantan untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia semakin cerah selepas menang perlawanan ketiga berturut-turut untuk mengungguli saingan kumpulan E dengan sembilan mata apabila mengatasi ATM 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
Bagaimanapun Kelantan memerlukan jaringan pada masa kecederaan sebelum mengesahkan kemenangan buat menceriakan penyokong pasukan Kijang itu.
Sebaliknya ia malam yang penuh berliku buat juara bertahan, Kedah apabila tewas mengejut 0-1 di tangan pasukan berjiran, Pulau Pinang di Stadium Darulaman, Alor Setar.
Selepas tiga perlawanan, pasukan Kenari itu hanya mampu mengutip satu mata dan kini berada di tangga tercorot kumpulan E.
Pulau Pinang di tangga kedua dengan empat mata manakala ATM ketiga dengan dua mata.
Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009
Artikel
BolaCyber
at
11:41 PM
2
komen
Kategori: Kedah, Kelantan, Piala Malaysia
Piala Malaysia: Kedah buru tiga mata

JUARA bertahan, Kedah tiada pilihan selain perlu mengutip tiga mata penuh sewaktu melayani kunjungan Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia malam ini.
Kegagalan untuk meraih selain daripada tiga mata penuh akan menyaksikan Kedah semakin terhimpit di tempat ketiga, di belakang pendahulu awal Kumpulan E, Kelantan dengan enam mata dan Tentera di tempat kedua dengan dua mata.
Walaupun masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai kemungkinan Kedah tercicir awal, kegagalan Hijau Kuning untuk mengatasi lawan yang dianggap mudah, Tentera pada perlawanan pertama, mencetuskan kebimbangan ketumpulan jentera serangannya.
Mohd Azraai Khor yang merintih mengenai jentera serangannya yang setakat ini meledakkan satu gol ketika seri 1-1 ke atas Tentera, kini mengharapkan Mohd Farizal Rozali dan Mohd Azrul Ahmad menemui sentuhan dalam perlawanan malam ini.
Dengan format pertandingan kali ini membenarkan tiga pasukan naib juara kumpulan mara ke pusingan lapan terakhir, Kedah tidak mampu mengambil risiko dengan kutipan mata yang rendah.
Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia
Artikel
BolaCyber
at
2:18 PM
0
komen
Kategori: Kedah, Piala Malaysia, Pulau Pinang
Wednesday, September 30, 2009
Piala Malaysia: Kelantan selesa, Kedah tertekan

KELANTAN berjaya melepasi halangan paling sukar saingan Kumpulan E Piala Malaysia selepas berjaya menjinakkan juara bertahan, Kedah dengan kemenangan tipis 1-0 di Kota Bharu malam tadi.
Gol tunggal sepakan bebas Indra Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan melukakan Sang Kenari di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan yang diberi jolokan The Red Warriors itu selepas dua perlawanan.
Kelantan kini mengungguli saingan Kumpulan E dengan mengumpul enam mata maksimum selepas menang 2-1 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pembukaan Sabtu Lepas.
Kedah pula yang sekadar seri 1-1 dengan ATM pada perlawanan pertama, berada di tangga ketiga dengan hanya memungut satu mata.
Setelah mengekang Kedah 1-1 di Alor Setar, ATM berkongsi mata lagi apabila seri dengan sebuah lagi pasukan Liga Super, Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menghuni tangga kedua Kumpulan E.
Skuad Kenari kini tiada pilihan selain perlu mengutip tiga mata penuh apabila berdepan Pulau Pinang pada perlawanan Sabtu ini, manakala ATM berdepan tugas sukar namun tidak mustahil untuk melakukan kejutan apabila melayani kunjungan Kelantan.
Carta Kedudukan Kumpulan Piala Malaysia 2009
Artikel
BolaCyber
at
11:16 AM
0
komen
Kategori: Kedah, Kelantan, Piala Malaysia
Piala Malaysia: Selangor cemerlang, Kedah terus gigit jari
JUARA Liga Super, Selangor di landasan selesa untuk melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2009 selepas menundukkan Polis (PDRM) 3-0 dalam aksi kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Sebaliknya juara bertahan, Kedah berada di ambang bahaya tersingkir awal daripada saingan kalah mati apabila kecundang 1-0 kepada Kelantan dalam aksi sengit Kumpulan E di Stadium Sultan Mohd ke-IV.
Kedah yang seri mengejut 1-1 kepada pasukan kerdil Tentera, Sabtu lalu tersentak apabila Indra Putra Mahayuddin melencongkan bola sepakan percuma di luar kotak penalti melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-49.
Di STADIUM SHAH ALAM, Selangor tidak menghadapi masalah mengenepikan PDRM 3-0 menerusi ledakan Amirulhadi Zainal pada minit ke-18, Safee Sali (m-39) dan kapten, Amri Yahyah (m-87) yang mengikuti kejayaan 1-0 ke atas Sabah, Sabtu lalu.
Di STADIUM UTAMA Kangar, kesilapan daripada penjaga gol yang dilihat begitu utuh buat skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias hampir membawa padah kepada usaha Perlis meraih tiga mata, namun juara dua kali itu akhirnya meraih kemenangan 3-2 ke atas barisan corot Liga Super, Pahang.
Perlis membuka jaringan menerusi Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ketiga dan menambah satu lagi gol minit ke-25 serta Ahmad Fakri Saarani (m-35) dengan dua gol Pahang dihadiahkan Mohd Farizal kepada Abdul Rahman Kadir (m-15) yang disusuli jaringan Mohd Badrul Isani (m-20).
Di STADIUM PERAK, Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata berharga apabila mengatasi tuan rumah 1-0 biarpun terpaksa bermain keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain selepas Kamarulzaman Mahmud dibuang padang sejurus sebelum rehat.
Mohd Badrul Hisham muncul wira Kuala Lumpur apabila menemui sentuhan jaringan pada minit ke-65.
Di STADIUM JCORP, Johor FC melonjak ke tangga teratas Kumpulan C selepas menewaskan UPB-MyTeam 4-1 untuk rekod sempurna dua kemenangan selepas dua perlawanan setakat ini.
MyTeam bagaimanapun lebih awal menjaringkan gol menerusi Mohd Zamri Chin pada minit ke-35 sebelum Johor FC membalas menerusi Mohd Farid Ideris (m-43), Nurul Azwan Roya (m47), Sumardi Hajalan (m-69). Farid melengkapkannya dengan gol keempat pada minit ke-81.
Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia
Tuesday, September 29, 2009
Piala Malaysia: Kelantan ghairah, Kedah risau tenaga penggempur

DIKEMASKINI: Kelantan berjaya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan juara bertahan, Kedah 1-0 hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin. Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Kelantan selaku peneraju Kumpulan E dengan mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan. ATM di tangga kedua dengan dua mata selepas seri 1-1 dengan Pulau Pinang malam ini. Kedah dan Pulau Pinang berkongsi kedudukan terbawah kumpulan dengan satu mata.
SELEPAS berjaya menundukkan Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, Sabtu lalu Kelantan kini semakin ghairah untuk memburu mata dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
Optimis untuk menjadi pasukan terawal melayakkan diri ke peringkat suku akhir, Kelantan sedar cabarannya cukup besar, dan usaha membenam Kedah di gelanggang sendiri malam ini pasti menjadi kayu pengukur kepada sejauh mana mereka boleh melangkah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, misi bertemu juara Piala Malaysia 2008 juga adalah misi untuk membalas dendam berikutan kekalahan mereka di tangan Kedah dalam saingan Liga Super di gelanggang sendiri Julai lalu.
Menurutnya, keserasian antara pemain dan jurulatih baru, B Sathianathan kini mula menunjukkan kesan yang positif.
"Hampir 90 peratus pemain sudah mengenali beliau (B Sathianathan) kerana mereka pernah berada di bawah jurulatih tersebut sebelum ini semasa di dalam skuad kebangsaan.
"Kita akan menurunkan pasukan yang benar-benar mantap untuk mengelakkan berlakunya kesilapan bagi mengekang asakan Kedah," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Kelantan malam ini bakal menentukan arah tuju skuad bimbingannya - sama ada tersingkir atau pun kembali bernyawa buat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.
Menurut jurulatih yang memacu kejayaan treble skuad Kenari musim lalu itu, ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang mencetus masalah utama dan tambah perit permintaan mendapatkan penyerang baru turut mencapai jalan buntu.
"Pemain saya beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi ketumpulan barisan pemain serangan membuat kita berputih mata di gelanggang sendiri ketika Tentera adalah lawan yang harus dapat diatasi," katanya.
Azraai bertegas mereka harus membawa pulang mata dari Kelantan jika berhasrat mencerahkan harapan layak ke suku akhir dan menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan dimenangi, musim lalu.
"Ketiadaan Khyril (Muhymeen Zambri) memang dirasai tetapi ini bukan alasan kerana sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa kelibat penyerang kebangsaan ini," tambahnya.
Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia
Artikel
BolaCyber
at
9:04 AM
2
komen
Kategori: Kedah, Kelantan, Piala Malaysia


