Friday, October 16, 2009

Piala Dunia B-20: Brazil buru mahkota kelima


Final: BRAZIL vs GHANA (Stadium Antarabangsa Kaherah, 2.00 pagi esok)

KEJOHANAN Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun 2009 kini sampai ke kemuncaknya apabila dua jaguh dari benua berlainan akan membuat perhitungan pada aksi final malam ini (2 pagi esok).

Juara empat kali, Brazil yang mengetepikan Costa Rica pada aksi separuh akhir akan menentang Ghana dalam satu lagi buruan mahkota kejuaraan, selepas wakil Afrika itu menewaskan Hungary 3-2 dalam satu lagi saingan separuh akhir pada hari yang sama.

Pada aksi separuh akhir, Brazil menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Alan Kardec pada babak kedua.

Jurulatih Brazil, Rogerio Lourenco berkata dia lebih mengutamakan keputusan daripada perlawanan Selasa lepas dan bukan kualiti permainan.

“Apa yang pasti saya amat gembira dapat layak ke final. Tapi sudah pasti ada tekanan untuk menang dan sesiapa sahaja menjadi jurulatih Brazil akan menyedari hakikat ini,” katanya.

Sementara itu, Ghana akan cuba muncul negara Afrika pertama memenangi kejohanan itu, manakala Brazil bertekad menjulang gelaran buat kali kelima dalam final malam nanti.

Ghana pernah mara ke final sebanyak dua kali sepanjang kejohanan ini. Mereka tewas kepada Brazil pada aksi final 1993 dan sekali lagi berputih mata apabila tewas kepada Argentina pada 2001.

No comments: