Wednesday, September 30, 2009

Piala Malaysia 2009: Sorotan hari kedua

Kumpulan A
Perlis 3 Pahang 2
KL Plus 4 Melaka 1

PERLIS mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A selepas menumpaskan pasukan Pantai Timur, Pahang 3-2 di Stadium Utama Kangar.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ketiga serta 25 dan Ahmad Fakri Saarani (m-35) manakala dua gol Pahang oleh Abdul Rahman Kadir (m-15) yang disusuli jaringan Mohd Badrul Isani (m-20).

Selepas seri 1-1 dengan Pahang, Sabtu lepas, KL Plus bertindak garang pada perlawanan kedua dengan membelasah Melaka 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk berada satu tangga di belakang Perlis.

Kumpulan B
N Sembilan 8 Sarawak 0
Terengganu 2 Johor 0

Negeri Sembilan mencuri tumpuan apabila berkenduri gol membelasah Sarawak 8-0 termasuk jaringan hatrik penyerang muda kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Razak.

Manakala Terengganu terus menyaingi Negeri Sembilan untuk merebut posisi teratas kumpulan B selepas menang 2-0 ke atas Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Negeri Sembilan kekal di tangga teratas hasil kemenangan besar ke atas Sarawak manakala peluang Johor dan Sarawak untuk ke suku akhir kian sulit selepas tewas kedua-dua perlawanan.

Kumpulan C
Perak 0 Kuala Lumpur 1
Johor FC 4 UPB-MyTeam 1

Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata berharga apabila mengatasi Perak 1-0 biarpun terpaksa bermain keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain selepas Kamarulzaman Mahmud dibuang padang sejurus sebelum rehat.

Mohd Badrul Hisham muncul wira Kuala Lumpur apabila menemui sentuhan jaringan pada minit ke-65.

Bagaimanapun Johor FC berjaya melonjak ke tangga teratas Kumpulan C susulan kejayaan membenam UPB-MyTeam 4-1 di Stadium JCorp.

MyTeam bagaimanapun lebih awal menjaringkan gol menerusi Mohd Zamri Chin pada minit ke-35 sebelum Johor FC membalas menerusi Mohd Farid Ideris (m-43), Nurul Azwan Roya (m47), Sumardi Hajalan (m-69). Farid melengkapkannya dengan gol keempat pada minit ke-81.

Kumpulan D
Selangor 3 PDRM 0
KM Naza 2 Sabah 1

Tiada masalah buat juara Liga Super dan Piala FA, Selangor untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D sekali gus meletakkan mereka pada landasan selesa melayakkan diri ke suku akhir.

Finalis tahun lalu itu tidak menghadapi masalah mengenepikan PDRM 3-0 di Stadium Shah Alam menerusi ledakan Amirulhadi Zainal pada minit ke-18, Safee Sali (m-39) dan kapten, Amri Yahyah (m-87).

Kuala Muda Naza pula berjaya menebus kekalahan di tangan PDRM Sabtu lepas dengan menjinakkan sabah 2-1 untuk naik ke tangga kedua Kumpulan D.

Kumpulan E
Kelantan 1 Kedah 0
ATM 1 Pulau Pinang 1

Gol tunggal daripada sepakan percuma menarik Indra Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan untuk berada di landasan tepat mengintai slot ke suku akhir selepas mengatasi cabaran Kedah 1-0 di Stadium Sultan Mohd Ke-IV.

Kemenangan ke atas juara bertahan itu membolehkan Kelantan selesa memimpin Kumpulan E dengan enam mata maksimum selepas dua perlawanan.

Manakala ATM melonjak ke tangga kedua selepas seri buat kali kedua berturut-turut, kali ini mengikat Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Carta Penuh Piala Malaysia 2009

Piala Malaysia: Kelantan selesa, Kedah tertekan


KELANTAN berjaya melepasi halangan paling sukar saingan Kumpulan E Piala Malaysia selepas berjaya menjinakkan juara bertahan, Kedah dengan kemenangan tipis 1-0 di Kota Bharu malam tadi.

Gol tunggal sepakan bebas Indra Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan melukakan Sang Kenari di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan yang diberi jolokan The Red Warriors itu selepas dua perlawanan.

Kelantan kini mengungguli saingan Kumpulan E dengan mengumpul enam mata maksimum selepas menang 2-1 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pembukaan Sabtu Lepas.

Kedah pula yang sekadar seri 1-1 dengan ATM pada perlawanan pertama, berada di tangga ketiga dengan hanya memungut satu mata.

Setelah mengekang Kedah 1-1 di Alor Setar, ATM berkongsi mata lagi apabila seri dengan sebuah lagi pasukan Liga Super, Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menghuni tangga kedua Kumpulan E.

Skuad Kenari kini tiada pilihan selain perlu mengutip tiga mata penuh apabila berdepan Pulau Pinang pada perlawanan Sabtu ini, manakala ATM berdepan tugas sukar namun tidak mustahil untuk melakukan kejutan apabila melayani kunjungan Kelantan.

Carta Kedudukan Kumpulan Piala Malaysia 2009

Piala Malaysia: Selangor cemerlang, Kedah terus gigit jari

JUARA Liga Super, Selangor di landasan selesa untuk melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2009 selepas menundukkan Polis (PDRM) 3-0 dalam aksi kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sebaliknya juara bertahan, Kedah berada di ambang bahaya tersingkir awal daripada saingan kalah mati apabila kecundang 1-0 kepada Kelantan dalam aksi sengit Kumpulan E di Stadium Sultan Mohd ke-IV.

Kedah yang seri mengejut 1-1 kepada pasukan kerdil Tentera, Sabtu lalu tersentak apabila Indra Putra Mahayuddin melencongkan bola sepakan percuma di luar kotak penalti melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-49.

Di STADIUM SHAH ALAM, Selangor tidak menghadapi masalah mengenepikan PDRM 3-0 menerusi ledakan Amirulhadi Zainal pada minit ke-18, Safee Sali (m-39) dan kapten, Amri Yahyah (m-87) yang mengikuti kejayaan 1-0 ke atas Sabah, Sabtu lalu.

Di STADIUM UTAMA Kangar, kesilapan daripada penjaga gol yang dilihat begitu utuh buat skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias hampir membawa padah kepada usaha Perlis meraih tiga mata, namun juara dua kali itu akhirnya meraih kemenangan 3-2 ke atas barisan corot Liga Super, Pahang.

Perlis membuka jaringan menerusi Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ketiga dan menambah satu lagi gol minit ke-25 serta Ahmad Fakri Saarani (m-35) dengan dua gol Pahang dihadiahkan Mohd Farizal kepada Abdul Rahman Kadir (m-15) yang disusuli jaringan Mohd Badrul Isani (m-20).

Di STADIUM PERAK, Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata berharga apabila mengatasi tuan rumah 1-0 biarpun terpaksa bermain keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain selepas Kamarulzaman Mahmud dibuang padang sejurus sebelum rehat.

Mohd Badrul Hisham muncul wira Kuala Lumpur apabila menemui sentuhan jaringan pada minit ke-65.

Di STADIUM JCORP, Johor FC melonjak ke tangga teratas Kumpulan C selepas menewaskan UPB-MyTeam 4-1 untuk rekod sempurna dua kemenangan selepas dua perlawanan setakat ini.

MyTeam bagaimanapun lebih awal menjaringkan gol menerusi Mohd Zamri Chin pada minit ke-35 sebelum Johor FC membalas menerusi Mohd Farid Ideris (m-43), Nurul Azwan Roya (m47), Sumardi Hajalan (m-69). Farid melengkapkannya dengan gol keempat pada minit ke-81.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

Tuesday, September 29, 2009

Piala Malaysia: Kelantan ghairah, Kedah risau tenaga penggempur


DIKEMASKINI: Kelantan berjaya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan juara bertahan, Kedah 1-0 hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin. Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Kelantan selaku peneraju Kumpulan E dengan mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan. ATM di tangga kedua dengan dua mata selepas seri 1-1 dengan Pulau Pinang malam ini. Kedah dan Pulau Pinang berkongsi kedudukan terbawah kumpulan dengan satu mata.

SELEPAS berjaya menundukkan Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, Sabtu lalu Kelantan kini semakin ghairah untuk memburu mata dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Optimis untuk menjadi pasukan terawal melayakkan diri ke peringkat suku akhir, Kelantan sedar cabarannya cukup besar, dan usaha membenam Kedah di gelanggang sendiri malam ini pasti menjadi kayu pengukur kepada sejauh mana mereka boleh melangkah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, misi bertemu juara Piala Malaysia 2008 juga adalah misi untuk membalas dendam berikutan kekalahan mereka di tangan Kedah dalam saingan Liga Super di gelanggang sendiri Julai lalu.

Menurutnya, keserasian antara pemain dan jurulatih baru, B Sathianathan kini mula menunjukkan kesan yang positif.

"Hampir 90 peratus pemain sudah mengenali beliau (B Sathianathan) kerana mereka pernah berada di bawah jurulatih tersebut sebelum ini semasa di dalam skuad kebangsaan.

"Kita akan menurunkan pasukan yang benar-benar mantap untuk mengelakkan berlakunya kesilapan bagi mengekang asakan Kedah," ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Kelantan malam ini bakal menentukan arah tuju skuad bimbingannya - sama ada tersingkir atau pun kembali bernyawa buat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.

Menurut jurulatih yang memacu kejayaan treble skuad Kenari musim lalu itu, ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang mencetus masalah utama dan tambah perit permintaan mendapatkan penyerang baru turut mencapai jalan buntu.

"Pemain saya beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi ketumpulan barisan pemain serangan membuat kita berputih mata di gelanggang sendiri ketika Tentera adalah lawan yang harus dapat diatasi," katanya.

Azraai bertegas mereka harus membawa pulang mata dari Kelantan jika berhasrat mencerahkan harapan layak ke suku akhir dan menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan dimenangi, musim lalu.

"Ketiadaan Khyril (Muhymeen Zambri) memang dirasai tetapi ini bukan alasan kerana sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa kelibat penyerang kebangsaan ini," tambahnya.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

Piala Malaysia: Selangor waspada ancaman PDRM


SIAPA yang akan menerajui kumpulan D saingan bola sepak Piala Malaysia bakal ditentukan malam ini apabila dua pasukan teratas, Selangor dan Polis (PDRM) berentap di Stadium Shah Alam.

AKSI yang dipersembahkan PDRM pada perlawanan sulung saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu menghadirkan rasa kurang selesa juara Liga Super, Selangor yang pantas merancang sesuatu untuk mengelak daripada menanggung aib malam ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin mengakui PDRM bukanlah calang-calang pasukan dan cabaran skuad berkenaan tidak boleh dipandang rendah.

Apatah lagi kejutan yang dilakukan PDRM ketika menewaskan barisan pemain kelab yang dianggap mantap iaitu Kuala Muda (KM) Naza 1-0 pada pertemuan pembuka tirai Piala Malaysia, Sabtu lalu membuatkan Selangor tambah tidak senang duduk.

"Untuk melabel PDRM sebagai 'giant killer' mungkin terlalu awal tetapi mereka sudah melakukan kejutan dengan menewaskan KM Naza, Sabtu lalu. Berdasarkan kepada persembahan di peringkat Liga Super, KM Naza dianggap lebih baik daripada PDRM.

"Selangor perlu berhati-hati jika tidak mahu malu di hadapan penyokong sendiri malam esok (ini). PDRM pastinya lebih bersemangat selepas mereka menang pertemuan pertama. Bermain di tempat sendiri (Stadium Shah Alam) bukanlah jaminan untuk kami kerana rekod di stadium berkenaan juga bukanlah 100 peratus di pihak kami," kata Hamidin.

Selangor dan PDRM kini berkongsi kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan D selepas masing-masing menang pada perlawanan pertama dan pertemuan malam ini boleh dianggap sebagai penanda awal mengenai pasukan manakah yang bakal melangkah ke peringkat kedua nanti.

Hamidin berkata, jika berdasarkan persembahan Selangor ketika menumbangkan Sabah di tempat lawan, Sabtu lalu, barisan kendalian K Devan itu berupaya mencipta kemenangan kedua tetapi sebarang tindakan sambil lewa pasti mengundang padah.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

EPL: Dua gol Tevez bantu City benam West Ham


PERMULAAN memberangsangkan sejak awal musim kelab berbelanja besar, Manchester City berterusan selepas menang selesa 3-1 ke atas West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium City of Manchester awal pagi tadi.

Menang lima daripada enam perlawanan pembukaan liga adalah prestasi terbaik buat kelab Eastland itu sejak 1961, tetapi yang pasti peminat City lebih teruja kali ini dengan persembahan penuh menghiburkan.

Bekas penyerang West Ham, Carlos Tevez menyumbat dua gol ke atas bekas kelab lamanya itu. Satu lagi gol tuan rumah dihasilkan oleh Martin Petrov menerusi sepakan percuma.

Tevez memperoleh gol pembukaan sebaik lima minit perlawanan bermula, tetapi selang 20 minit kemudian Carlton Cole berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat.

Martin Petrov, yang membuat kemunculan sulung musim ini menjadikan kedudukan 2-1 menerusi tendangan bebas sebelum tandukan Tevez pada minit ke-61 memjadikan kedudukan 3-1.

City yang membelanjakan lebih AS$300 juta setahun untuk membentuk pasukan mantapnya, kini menduduki tempat kelima liga, berkongsi 15 mata dengan Liverpool dan Tottenham tetapi dibezakan oleh jurang gol, manakala West Ham tergelincir ke dalam zon penyingkiran.

Keputusan Perlawanan EPL

Piala Malaysia: Pasukan pilihan elak kejutan

HARI kedua persaingan bola sepak Piala Malaysia 2009 kembali malam ini dengan dua pasukan popular - Kedah dan Selangor terus diperhatikan sambil barisan kerdil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cuba mencuri tumpuan peminat lagi.

Sabtu lalu sudah membuktikan bahawa reputasi Liga Super sekadar bernilai di kertas dan juara bertahan dan pemenang tiga piala itu wajar pantas menyedari bahawa gelanggang Piala Malaysia jauh berbeza malah mampu menampilkan keputusan luar dugaan.

Berdepan Kelantan apatah lagi di gelanggang 'keramat', Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, Kedah memikul misi berat untuk diharungi terutama sekali dalam memulihkan semangat yang direntap ATM kerana mencuri satu mata mereka di Alor Setar.

Dengan memiliki ramai bintang kebangsaan selain khidmat bekas jurulatih negara, B Sathianathan, The Red Warriors tampak seperti telah melupakan kegagalan meraih tiga tempat teratas liga dan pemergian mengejut Peter Butler ketika menang 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Kesempatan terbaik pula terhidang buat ATM mengulangi prestasi terpuji Sabtu lalu apabila menyambung aksi di Selayang malam ini ekoran ketiadaan ketua pasukan Pulau Pinang yang dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil tidak memberikan mereka penalti.

The Red Giants pula yang seolah-olah terselamat dek tuah daripada diikat Sabah tanpa gol, perlu memandang PDRM yang mendapat kembali sentuhan K Thaiyanathan sebagai bukan lagi pasukan belasahan atau tercorot Liga Super lalu apabila mereka bertembung di Shah Alam.

Hanya menang tipis di Tawau sedangkan PDRM mengejutkan KM Naza 1-0 yang merupakan kemenangan sulung Liga M mereka musim ini, turut menuntut barisan depan Selangor khususnya Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal, R Surendren, Rudie Ramli dan Safee Sali melipatgandakan usaha memburu gol dan tiga mata lagi.

Daripada sepanjang 10 perlawanan Sabtu lalu, hanya Perlis yang didapati menang agak selesa, 2-0 ke atas Melaka dan prestasi yang sama dijangka mampu diteruskan naib juara Liga Super 2009 itu dalam melayani kunjungan Pahang di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Negeri Sembilan dan Terengganu bukan sekadar saling bersaing menerajui Kumpulan B bahkan berpeluang memanfaatkan masalah di luar padang lawan mereka, Sarawak dan Johor yang masing-masing dibelenggu keperitan kewangan persatuan dan kerenah jurulatih, Nasir Yusof.

Peneraju dan penghuni tangga kedua kumpulan ini pasti tidak rela kepulangan ceria dengan mata penuh dari Johor Bahru dan Kuching, Sabtu lalu, berganti dengan aksi longlai di depan penyokong sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Aksi Kumpulan C juga sama hebat di Pasir Gudang dan Ipoh, malam ini dengan Johor FC dan Perak tidak mampu bersandarkan nasib lagi semata-mata ketika masing-masing menewaskan Kuala Lumpur dan UPB-MyTeam 1-0 untuk menyambar tiga mata dari gelanggang lawan.

Namun sentuhan tepat dalam menyudahkan peluang ternganga seperti dimiliki pemain Johor FC, Farid Ideris dan Razali Umar Kandasamy dari Perak, Sabtu lalu wajar dipandang serius oleh anak buah Khan Hung Meng dan Razip Ismail sekali gus mengelakkan sebarang kesilapan mudah yang bakal mengundang padah lagi.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

Monday, September 28, 2009

Liga Eropah: Rekod Chelsea, Inter lebur - Barcelona, Real Madrid kekal penguasaan


BEBERAPA kelab tersohor Eropah akhirnya terpaksa berpijak di bumi nyata dengan menerima hakikat tiada pasukan yang kebal selamanya sekali pun dibarisi bintang-bintang bola sepak ternama.

Di ENGLAND, Chelsea satu-satunya kelab yang belum pernah tewas akhirnya tersungkur jua, malangnya bukan di tangan kelab hebat seperti Manchester United mahu pun Liverpool tetapi rebah di kaki Wigan Athletics.

The Blues yang memimpin carta liga sejak awal musim bukan saja tewas buat pertama kali bahkan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka kepada musuh tradisi, Manchester United selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menang ke atas Stoke City.

Sekali pun mempunyai jumlah mata yang sama banyak dengan Chelsea, United berjaya memintas skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu berdasarkan selisih jaringan lebih baik berbanding pasukan berpengkalan di Stamford Bridge itu.

Jika silap percaturan kedudukan Chelsea mungkin makin sulit kerana mereka bakal berdepan Liverpool hujung minggu ini. Iaitu perlawanan yang bakal menjadi tumpuan utama peminat bola sepak EPL.

Manakala di ITALI, nasib serupa dialami juara bertahan Serie A, Inter Milan selepas Sampdoria berjaya menewaskan barisan bekas bos Chelsea, Jose Mourinho 1-0 menerusi gol babak kedua dari Giampaolo Pazzini sekali gus melonjak ke tangga teratas liga.

Inter kini berada di tangga ketiga, dua mata di belakang pendahulu, untuk berkongsi kedudukan dengan Fiorentina yang menang 1-0 ke atas Livorno hasil gol dari sepakan penalti Stevan Jovetic pada minit ke-76. Satu lagi pasukan gergasi, Juventus menghuni tangga kedua dengan 14 mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Bologna malam tadi.

"Ia adalah gol yang penting di hadapan penonton yang membanjiri stadium," kata penjaring gol kemenangan Sampdoria, Pazzini.

"Kami kini di tempat teratas dan ini adalah malam yang hebat. Jelas, kami dapat segera bangkit selepas tewas di Florence," katanya merujuk kepada kekalahan 2-0 di tangan Fiorentina, Rabu lalu, yang menamatkan rentetan empat kemenangan mereka.

Bagaimana pun di SEPANYOL, Barcelona dan Real Madrid kekal bersaing sesama sendiri dan tiada tanda kedua-dua pasukan berkenaan kehilangan rentak permainan mereka untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan La Liga.

Real Madrid kini di tangga teratas, berkongsi 15 mata dengan Barca yang hanya dibezakan kelebihan satu gol berbanding skuad Catalan itu.

Pada aksi semalam, Real Madrid membelasah Tenerife 3-0 manakala Barcelona menjinakkan Malaga 2-0. Karim Benzema menjaringkan dua gol buat Real manakala bintang Brazil, Kaka melengkapkan kemenangan skuad serba putih itu.

Jadual Bola Sepak Terkini
Keputusan Perlawanan Terkini

Saingan Eropah pentas kebangkitan Chelsea


SETELAH mengalami kekalahan mengejut 1-3 di tangan Wigan, dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas, Chelsea kini bertekad akan menggunakan pertarungannya dengan wakil Cyprus, APOEL Nicosia pada pentas Liga Juara- Juara Eropah awal pagi Khamis ini untuk mengembalikan reputasinya yang tercemar itu.

Kekalahan kelmarin merupakan kali pertama mereka dikalahkan sejak Mac lalu, dan juga kali pertama kalah sejak Ancelotti, bekas bos AC Milan, mengambil alih pasukan dari Stamford Bridge itu.

Tetapi apa yang membimbangkan menjelang pertarungan itu nanti ialah Ashley Cole dan John Obi Mikel yang mungkin terlepas peluang beraksi gara-gara mengalami kecederaan di Stadium DW.

Cole mendapat kecederaan lutut yang memaksa beliau dikeluarkan manakala pemain tengah, Mikel menghadapi kecederaan buku lali.

Ancelotti juga perlu menerima fakta bahawa Henrique Hilario terpaksa menggantikan Petr Cech menjelang pertemuan penting dengan Liverpool Ahad depan selepas penjaga gol itu dikenakan tindakan keluar padang ketika kalah kepada Latics.

Selain daripada Ancelotti ingin melihat anak buahnya bermain lebih garang apabila menentang Nicosia, beliau juga mahu pasukannya terus bersaing dengan United sepanjang musim ini dalam perebutan mahkota Liga Perdana England.

"Saya fikir persaingan akan berlarutan sehingga akhir musim ini. Saya tidak tahu bagaimana kami boleh kecundang di tangan Wigan sedangkan kami telah membuat persiapan rapi," keluhnya.

Dengan Manchester United mengalahkan Stoke City, ia bermakna pasukan pimpinan Sir Alex Ferguson itu kini merampas tangga teratas liga daripada The Blues buat pertama kali musim ini dengan kelebihan jaringan.

Jadual Liga Juara-Juara Eropah

EPL: Sunderland sebaris Arsenal, Man City


SUNDERLAND meneruskan kecemerlangan pada saingan Liga Perdana Inggeris apabila menundukkan Wolverhampton Wanderers 5-2 di Stadium of Light, malam tadi, sekali gus berada sebaris dengan pasukan ternama seperti Arsenal dan Manchester City dalam carta liga.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-0 tetapi Wolves bangkit menyamakan kedudukan. Sunderland mendahuli pada awal babak pertama menerusi dua penalti oleh Darren Bent dan Kenwyne Jones.

Bagaimanapun Wolves bangkit menerusi jaringan sendiri John Mensah dan Kevin Doyle.

Sunderland terus mengasak dan memperoleh gol ketiga menerusi Jones pada minit ke-70 diikuti Michael Turner (73) dan Bent sekali lagi menemui sentuhan gol keduanya.

Dengan kemenangan itu Sunderland kini berkongsi 12 mata dengan Aston Villa, Manchester City dan Arsenal. Tottenham Hotspur dan Liverpool pula satu tangga di atas dengan 15 mata.

Chelsea, yang tercicir mata apabila kalah buat kali pertama musim ini kepada Wigan Athletic 3-1 , semalam kini mempunyai 18 mata untuk tempat kedua di belakang pendulu liga, Mannchester United yang menang 2-0 ke atas Stoke City.

Manchester City boleh melonjak untuk empat teratas jika berjaya menundukkan West Ham United pada pertemuan awal pagi nanti.

Jadual Perlawanan EPL
Keputusan Perlawanan EPL

Piala Malaysia: Pasukan pilihan tepati ramalan


BEBERAPA pasukan pilihan seperti Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Perlis bermula cemerlang apabila mencatatkan kemenangan pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia yang bermula Sabtu lalu.

Juara Piala FA dan Liga Super, Selangor yang berada dalam kumpulan D meraih tiga mata apabila menumpaskan Sabah 1-0 di Kompleks Sukan Tawau hasil jaringan tunggal Mohd Safee Sali pada minit ke-26.

Selangor bagaimanapun terpaksa berkongsi kedudukan di tangga teratas kumpulan bersama dengan PDRM yang menumpaskan Kuala Muda Naza 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah yang berada dalam kumpulan E pula sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Keputusan seri itu membolehkan Kelantan mendahului kumpulan setelah menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Batu Kawan melalui jaringan Indraputra Mahayuddin (minit ke-66) dan Mohd Khalid Jamlus (minit ke-73) meskipun tuan rumah terlebih dahulu di depan melalui jaringan S. Thinagaran pada minit ke-38.

Dua jaringan penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-28 dan 41 pula membolehkan Negeri Sembilan mengatasi Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dengan gol tuan rumah dijaringkan oleh Rizal Roslan pada minit ke-76.

Terengganu memberikan saingan kepada Negeri Sembilan dalam Kumpulan B apabila menumpaskan Sarawak 1-0 di Stadium Sarawak hasil jaringan tunggal Khairul Izwan Khalid pada minit ke-62.

Naib juara Liga Super, Perlis turut mencatatkan kemenangan apabila menumpaskan Melaka 2-0 di Stadium Hang Tuah hasil jaringan Ahmad Fakri Saarani (minit ke-70) dan Mohd Syazwan Zainon (minit ke-81) untuk mendahului kumpulan A setelah Pahang dan KL Plus seri 1-1 di Stadium Darul Makmur.

Johor FC dan Perak pula menguasai kumpulan C apabila masing-masing mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur dan UPB-MyTeam.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

Sunday, September 27, 2009

Piala Carling: Arsenal, Liverpool berentap awal


DUA seteru utama Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool bakal berdepan sesama sendiri di pusingan keempat Piala Liga England (Carling Cup) selepas undian semalam.

The Gunners akan menjadi tuan rumah kepada The Reds dalam perlawanan yang dijadual berlangsung pada 26 Oktober depan di Stadium Emirates.

Selain perlawanan berkenaan empat lagi aksi turut membabitkan pertemuan sesama kelab Liga Perdana Inggeris di pusingan 16 pasukan terakhir itu.

Chelsea menanti kunjungan Bolton, Aston Villa bertandang ke Sunderland, Portsmouth berdepan Stoke City manakala finalis tahun lalu, Tottenham Hotspurs berdepan Everton di White Hart Lane.

Juara bertahan, Manchester United mendapat laluan mudah selepas diundi bertemu kelab Liga Kejuaraan, Barnsley manakala jirannya, Manchester City menjadi tuan rumah kepada Scunthorpe sementara Blackburn berdepan Peterborough.

La Liga: Barcelona, Real kekal rentak


REAL Madrid dan Barcelona mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Liga Sepanyol selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing awal pagi tadi.

Menjadi tuan rumah kepada Tenerife, Madrid bagaimana pun bermain agak buruk pada babak pertama sebelum kemasukan Kaka dan Guti selepas rehat mengubah rentak permainan skuad berjersi serba putih itu untuk mencatat kemenangan 3-0.

Pemain Perancis, Karim Benzema menjaringkan dua gol Real pada minit ke-47 dan 58 manakala jaringan Kaka pada minit ke-77 melengkapkan kemenangan tuan rumah untuk kekal bersaing dengan juara bertahan, Barcelona di puncak liga dengan 15 mata maksimum daripada lima perlawanan.

Dalam pada itu Barcelona yang bertandang ke Malaga turut memungut tiga mata penuh selepas menewaskan lawannya itu 2-0 hasil jaringan Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-39 dan Gerard Pique minit ke-59.

Keputusan perlawanan berkenaan membolehkan Real Madrid kembali mengambil alih teraju liga dari Barcelona berdasarkan kelebihan jaringan gol memihak kepada kelab berpengkalan di Bernabeu itu.

Keputusan Liga Primera Sepanyol

Serie A: Sampdoria akhiri rekod tanpa kalah Inter


REKOD tanpa kalah Inter Milan akhirnya lebur selepas tewas 0-1 di tangan Sampdoria sekaligus menyaksikan juara bertahan Serie A itu jatuh ke tangga kedua liga di belakang lawannya itu.

Sampdoria berjaya memintas Inter Milan untuk berada di puncak Liga Itali hasil jaringan tunggal Giampaolo Pazzini pada minit ke-72.

Pazzini menjaringkan gol ketiganya musim ini melepaskan banyak peluang keemasan bagi menewaskan Inter buat kali pertama.

Sampdoria sekarang ini memungut 15 mata dari enam perlawanan, manakala Inter di tempat kedua dengan 13 mata.

Kedudukan Inter juga mungkin terus tergugat memandangkan beberapa pencabar lain seperti Juventus hanya akan beraksi hari ini.

Keputusan Liga Serie A Itali

EPL: Aksi hebat Mannone julang Arsenal


JARINGAN tunggal penyerang Belanda, Robin van Persie pada babak kedua sudah cukup buat Arsenal mencuri tiga mata penuh daripada Fulham selepas aksi penuh bertenaga pasukan tuan rumah digagalkan oleh tindakan menyelamat hebat penjaga gol The Gunners, Vito Mannone.

Penjaga gol yang mengambil alih posisi ditinggalkan Manuel Almunia akibat kecederaan itu tidak menghampakan kepercayaan diberi pengurus The Gunners, Arsene Wenger apabila berjaya menyelematkan semua lapan percubaan tepat pasukan tuan rumah.

Arsenal beraksi selepas mengetahui pendahulu liga, Chelsea kecundang di tangan Wigan dan tiga mata dipungut malam tadi membolehkan mereka merapatkan jurang untuk meneruskan saingan memburu gelaran liga yang kali terakhir dimenangi pada musim 2003/04.

Mempunyai satu lagi perlawanan dalam tangan Arsenal memanjat ke tangga kelima liga selepas mengumpul 12 mata, satu tangga mengatasi Manchester City, namun kedudukan mungkin berubah jika City berjaya menundukkan West Ham dalam aksi yang berlangsung lewat dua hari daripada pencabar lain.

Skuad bimbingan Mark Hughes itu hanya tewas sekali dalam aksi sengit menentang juara bertahan, Manchester United di Old Trafford minggu lalu.

Jika berjaya mengatasi West Ham dengan defisit jaringan melebihi dua gol, City mampu melonjak ke tangga keempat di belakang Liverpool namun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Keputusan Perlawanan EPL

EPL: Manchester United rampas takhta liga


BUAT pertama kalinya musim ini, Manchester United merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea berikutan kekalahan mengejut musuh ketatnya itu di tangan Wigan malam tadi.

Sebaliknya United berjaya mengatasi tentangan kental Stoke City untuk mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Britannia.

Tonggak veteran, Ryan Giggs, masuk sebagai pemain gantian, mengumpan untuk Dimitar Berbatov menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-62.

John O'Shea menggandakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-77 selepas menanduk masuk sepakan percuma Ryan Giggs.

Kemenangan 2-0 United ke atas Stoke City membolehkan skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu mengumpul 18 mata daripada tujuh perlawanan liga, iaitu jumlah mata sama dengan Chelsea, namun selisih jaringan gol membolehkan Red Devils menolak The Blues ke tangga kedua liga.

Keputusan Perlawanan EPL

EPL: Wigan lebur rekod tanpa kalah Chelsea


REKOD tanpa kalah Chelsea dalam enam perlawanan awal akhirnya lebur selepas skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu tewas mengejut 3-1 kepada Wigan Athletics dalam aksi Liga Perdana Inggeris di gelanggang lawan malam tadi.

Chelsea ketinggalan satu gol selepas 16 minit perlawanan bermula menerusi jaringan Titus Bramble, namun kedudukan mula seimbang selepas dua minit babak kedua bersambung selepas penyerang Ivory Coast, Didier Drogba berjaya menyempurnakan umpan leret daripada Florent Malouda.

Namun nasib Chelsea mula berubah lima minit kemudian apabila penjaga gol utamanya, Petr Cech dilayang kad merah selepas dipersalahakan dalam insiden pelanggaran keras dengan Hugo Rodallega.

Akibatnya, Chelsea bukan saja kehilangan seorang pemain malah pengadil menghadiahkan lawan tendangan penalti yang mudah disempurnakan Rodallega selepas dia berjaya menewaskan penjaga gol gantian The Blues, Henrique Hilario untuk menjadikan kedudukan berpihak kepada tuan rumah 2-1.

Beraksi dengan 10 pemain nyata menyulitkan anak buah Ancelotti untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan sebaliknya pelawat terus dihukum pada hujung perlawanan menerusi jaringan Paul Scharner untuk membolehkan tuan rumah mencatat rekod kemenangan ke atas Chelsea 3-1 sekaligus memberikan kekalahan pertama skuad The Blues musim ini.

Kekalahan itu juga bermakna Chelsea kehilangan cengkaman di persada liga dan terpaksa menyerahkan kepada musuh ketatnya, Manchester United untuk mendahului carta berdasarkan kelebihan tipis dari segi jaringan gol yang menyebelahi skuad Red Devils.

Keputusan Perlawanan EPL

Saturday, September 26, 2009

EPL: Liverpool, Tottenham menang besar


EMPAT gol jaringan Robbie Keane membantu Tottenham Hotspurs mencatat kemenangan besar dengan membelasah pendatang baru, Burnley 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane malam ini.

Keane memula tirai jaringan selepas mudah menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-18 sebelum menambah tiga lagi gol di babak kedua perlawanan pada minit ke-74, 77 dan 87.

Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan oleh Jermain Jenas pada minit ke-33. Kemenangan ini membolehkan Spurs memanjat dua tangga untuk menghuni kedudukan keempat dalam carta liga di belakang Liverpool yang turut menang besar malam ini.

Di ANFIELD, penyerang sensasi Sepanyol, Fernando Torres melakukan hatrik untuk membantu Liverpool membelasah Hull City 6-1.

Jaringan pertama Torres hadir pada minit ke-12 sebelum Geovanni mengikat kedudukan 1-1 untuk Hull.

Bagaimana pun Torres memastikan Liverpool terus di depan 13 minit kemudian dan keputusan 2-1 kekal hingga berakhir babak pertama.


Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung Torres melengkapkan jaringan hatriknya bagi mengukuh kedudukan tuan rumah sebelum ketua pasukan The Reds, Steven Gerrard menjadikan kedudukan berubah menjadi 4-1 pada minit ke-61.

Ryan Babel melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan menjaringkan dua gol pada dua minit terakhir perlawanan untuk keputusan penuh 6-1 memihak kepada skuad bimbingan Rafael Benitez.

Juara bertahan, Manchester United pula berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Stoke City 2-0 hasil jaringan Dimitar Berbatov pada minit ke-62 dan John O'shea minit ke-77.

Sebaliknya pendahulu liga, Chelsea mengalami kekalahan pertamanya musim ini selepas tewas 1-3 di Wigan. Malang berganda buat The Blues apabila penjaga golnya, Petr Cech dilayang kad merah pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu dalam perlawanan lebih awal, Louis Saha terus menambah keperitan buat Portsmouth bagi kekalahan ketujuh berturut-turut apabila penyerang Perancis itu melakukan penyudah cantik membolehkan Everton menang tipis 1-0 di Stadium Fratton Park.

Jaringan ketujuh Saha musim ini dalam semua kejohanan terjadi melalui kesilapan Younes Kaboul yang terus menyemarakkan permulaan suram Portsmouth musim ini.

Keputusan Perlawanan EPL

Piala Malaysia: Selangor, Kelantan mula langkah kanan

FINALIS musim lalu, Selangor membuka kempen Piala Malaysia 2009 dengan langkah kanan selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Tawau, malam ini.

Turut mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2009 ialah Perlis, Johor FC, Kelantan dan Terengganu.

Selangor yang muncul Juara Liga Super musim ini, berjaya meraih tiga mata penting di tempat lawan selepas mengalahkan tuan rumah hasil jaringan tunggal Safee Sali pada minit ke-24.

Bagaimanapun nasih berbeza dialami juara bertahan, Kedah yang terpaksa berpuashati dengan satu mata selepas diikat 1-1 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman walau pun menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Turut bermula dengan langkah kanan ialah Kelantan yang terpaksa mengejar dari belakang apabila ketinggalan 0-1 sebelum akhirnya menang 2-1 ke atas tuan rumah, Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan untuk mendahului kumpulan E.

Dalam aksi Kumpulan A, Singa Utara, Perlis pula menang 2-0 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah manakala Pahang dan KL Plus terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur.

Di Stadium Sarawak pula tuan rumah tewas 0-1 kepada wakil Pantai Timur, Terengganu manakala Johor tewas 1-2 di tangan Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan B.

Bagi Aksi Kumpulan C, Perak menang tipis 1-0 ke atas UPB-MyTeam, sementara PDRM turut menang tipis 1-0 mengatasi Kuala Muda Naza dalam saingan Kumpulan D yang turut disertai pasukan Selangor.

Keputusan Perlawanan Piala Malaysia

Serie A: Sampdoria uji kekuatan Inter Milan


JUARA bertahan, Inter Milan berkunjung ke Sampdoria, hari ini dalam perlawanan yang harus membuktikan betapa kebal kedua-dua barisan itu dalam menggapai cita-cita besar memburu gelaran Serie A, musim ini.

Sampdoria membuat kejutan apabila mendahului carta liga awal musim sebelum kecundang kepada Fiorentina 0-2, Rabu lalu - keputusan yang menyaksikan Inter mengambil alih tempat mereka selepas menewaskan Napoli 3-1.

Inter pasti ceria selepas kepulangan jurulatih, Jose Mourinho yang digantung satu perlawanan, Rabu lalu dan harus waspada ketika Juventus yang akan menentang Bologna, esok hanya di belakang mereka berasaskan perbezaan jaringan.

AC Milan pula enam mata di belakang pendahulu selepas hanya memenangi dua perlawanan dan ia tambah perit selepas tewas 0-1 kepada Udinese, Rabu lalu.

Jadual Perlawanan Serie A

EPL: Arsenal, Liverpool elak kesilapan


ARSENAL tidak boleh melakukan kesilapan apabila berkunjung ke Fulham hari ini selepas gagal menempatkan diri pada kedudukan enam teratas.

Rombakan terbesar yang bakal dilakukan pengurus mereka, Arsene Wenger adalah merehatkan penjaga gol utama, Manuel Almunia kerana masalah kesihatan.

Penjaga gol remaja Poland, Wojciech Szczesny hampir pasti menjadi pilihan Wenger, dan satu lagi pilihan yang ada ialah Vito Mannone.

"Dia (Szczesny) memiliki karisma, ketenangan serta keyakinan, anda boleh lihat kualitinya," ujar Wenger.

Liverpool pula mencari kemenangan ke atas pasukan tangga kedua tercorot, Hull City di Anfield, kemenangan yang bakal menghadirkan tekanan kepada jurulatih Hull, Phil Brown, yang sebelum ini diramalkan bakal tersingkir dari Liga Perdana.

Brown mengakui, pertemuan dengan Liverpool bukan penentu nasib pasukannya, sebaliknya dia lebih bimbang dengan perlawanan mendatang, bertemu Wigan, Portsmouth, Fulham dan Burnley.

"Tidak semua orang suka berada pada kedudukan tiga tercorot, kami kena bersaing untuk keluar dari posisi itu. Sekarang masih awal, saya fikir bermula saingan sebenar adalah memasuki Oktober nanti," kata Brown.

Jadual Perlawanan EPL

EPL: United tiada tanda hilang rentak

JUARA bertahan, Manchester United berkunjung ke Stoke City, hari ini dengan status selaku pasukan kedua di carta liga, belakang Chelsea dengan mengumpul 15 mata, tiga mata kurang daripada skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu.

Sejak tewas mengejut kepada Burnley dalam perlawanan pembukaan, Ogos lalu United bangkit merakamkan enam kemenangan berturut-turut dan kini tiada sebarang petanda pasukan hilang rentak sejak kehilangan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid.

"Lazimnya, bulan Oktober akan melihat kami lebih konsisten dan harap-harap ia akan berlaku sekali lagi untuk kami. Skuad ini kuat dan masalah saya adalah siapa mahu dipilih untuk setiap perlawanan," kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.

Pilihan kesebelasan utama Ferguson akan jadi tumpuan selepas Michael Owen - menyumbat gol kemenangan ketika bertemu Manchester City selain aksi memikatnya ketika saingan Piala Liga di Wolves - memperkukuh usaha untuk diberi peluang sejak dari wisel permulaan.

Apapun, pengendali berbangsa Scotland itu dijangka akan menggandingkan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov dalam kesebelasan utama menentang Stoke. Tapi, berdasarkan aksi hebat selepas masuk sebagai pemain gantian menentang City, Owen mungkin diberi peluang menggalas tugas penting itu.

Jadual perlawanan EPL

Piala Malaysia: Selangor idam trofi keempat


SELANGOR berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama merangkul empat gelaran semusim apabila menerima undian mudah dalam saingan Piala Malaysia yang bermula hari ini.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Selangor diramal mudah untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan D bersama KM Naza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

Pasukan bimbingan K Devan itu dilihat mempunyai barisan yang serba lengkap di setiap posisi dan konsisten sepanjang musim ini.

Skuad Merah Kuning sudah menjulang Piala Malaysia (serta Piala Malaya) sebanyak 32 kali dengan kali terakhir melakukannya pada 2005 selepas menewaskan Perlis 3-0 tetapi kempunan trofi berprestij itu kepada Kedah 3-2, tahun lalu.

Kumpulan yang dianggap sedikit sukar ialah dari Kumpulan B, apabila empat pasukan negeri termasuk pasukan pilihan, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak mengisi slot tersebut.

Kumpulan C pula dianggap terbuka dengan mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang untuk ke suku akhir, Johor FC mengetuai kumpulan diikuti Perak, UPB-MyTeam dan Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur yang dibimbing oleh Razip Ismail, sudah pasti mahu membuktikan bahawa saingan Piala Malaysia kali ini perlu dianggap serius buat mereka.

Menjuarai Piala Malaysia secara hatrik iaitu pada 1987, 1988 dan 1989 boleh dianggap terlalu lama dan penyokong pasukan Skuad Ibukota itu.

Kumpulan E menyaksikan Kedah dan Kelantan akan bertemu sesama sendiri, manakala Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengisi dua lagi slot untuk kumpulan tersebut.

Saingan sengit juga bakal berlaku dalam Kumpulan E, apabila Kedah dan Kelantan diundi bersama, kedua-dua pasukan yang banyak membariskan pemain anak tempatan sentiasa mendapat sokongan padu dari penyokong setia mereka.

Kelantan sudah pasti akan cuba memadam kesedihan selepas gagal menjuarai Piala FA tahun ini setelah tewas di tangan Selangor dalam saingan akhir.

Kedah pula walaupun terumbang-ambing pada awal saingan, mereka berjaya bangkit selepas itu dengan sentuhan beberapa pemain kebangsaan termasuk Khyril Muhymeen Abd. Zambri dan Baddrol Bakhtiar.

Juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir dan diiringi tiga pasukan yang menduduki tangga kedua terbaik dari lima kumpulan tersebut.

Saingan suku akhir pertama di jangka akan bermula pada 20 Oktober ini, diikuti dengan suku akhir kedua empat hari kemudian

Perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 7 November bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jadual Piala Malaysia


Keputusan Piala Malaysia

Friday, September 25, 2009

EPL: Tugas getir Wigan halang Chelsea


BOLOS sembilan gol dalam dua perlawanan menentang Manchester United dan Arsenal membuatkan Pengurus Wigan, Roberto Martinez perlu melakukan sesuatu terhadap benteng pertahanan skuad kendaliannya yang begitu rapuh sebelum berkira-kira untuk membuat kejutan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea malam esok.

Selain daripada dua kekalahan besar itu, Wigan turut dimalukan dalam saingan Piala Liga oleh pasukan dari Liga Satu, Blackpool, apabila dibolosi empat kali sebelum tewas 1-4 pada aksi pusingan kedua bulan lalu.

Martinez, dari Sepanyol kembali ke kelab di mana dia menjadi wira sebagai pemain selepas meninggalkan kerjaya menarik sebagai pengurus bersama Swansea City, menyaksikan pasukannya melepaskan lima gol kepada Manchester United, Ogos lalu dan dibelasah 4-0 oleh Arsenal hujung minggu lalu.

Bagaimana pun beliau jelas kurang senang dengan persembahan pasukannya ketika menentang Arsenal, terutama apabila para pemain kelihatan lemah semangat ketika berdepan cabaran berdepan pasukan yang lebih baik.

Chelsea pula semakin cemerlang di bawah kendalian Carlo Ancelotti, menang kesemua enam perlawanan awal dan kini di tangga teratas liga dan Martinez sedar 'mentera' cara permainan corak hantaran kemas diperlukan apabila menentang skuad The Blues itu nanti.

Sejak Wigan menyertai liga utama di England, mereka hanya mampu mengutip satu mata daripada lapan perlawanan dengan Chelsea, yang sepatutnya menurunkan Didier Drogba selepas dia tidak beraksi dalam Piala Liga menentang Queen Park Rangers akibat cedera pangkal paha.

Menang di Wigan bakal memberikan kemenangan ke-12 liga buat Chelsea - dengan mengambil kira lima perlawanan terakhir musim lalu.

Manchester United, tiga mata di belakang Chelsea di tempat kedua akan beraksi di Stoke City manakala pasukan di tangga ketiga, Liverpool menentang Hull City di padang sendiri.

Manchester City, yang masih perit akibat kalah 3-4 kepada United minggu lalu, terpaksa menunggu sehingga Isnin ini untuk beraksi apabila mereka menentang West Ham United.

Pasukan tercorot, Portsmouth memburu mata pertama musim ini apabila bermain di tempat sendiri menentang Everton.

Jadual perlawanan EPL

Thursday, September 24, 2009

La Liga: Ronaldo, Kaka julang Madrid


GERGASI Sepanyol, Real Madrid terus membuat langkahan sempurna pada awal musim ini apabila merekod empat kemenangan berturut-turut daripada empat perlawanan Liga Primera Sepanyol.

Bintang termahalnya, Ronaldo serta Kaka masing-masing menyumbat satu gol bagi membolehkan Madrid mencatat kemenangan 2-0 ke atas Villareal dalam saingan awal pagi tadi.

Jaringan itu membolehkan Ronaldo menyaingi penyerang Barcelona, Lionel Messi untuk muncul penjaring terbanyak liga dengan masing-masing sudah mencetak lima gol setakat ini.

Manakala bagi bintang Brazil, Kaka pula ia adalah jaringan sulungnya kepada pasukan berjersi serba putih itu sejak berpindah dari kelab Itali, AC Milan.

Kemenangan berkenaan membolehkan Real Madrid berkongsi kedudukan teratas dengan Barcelona selepas kelab Catalan itu menang 4-1 ke atas Racing Santander dalam perlawanan semalam.

Keputusan perlawanan lain

Serie A: Inter di puncak liga, Milan dirundung malang


INTER Milan berjaya merampas kedudukan teratas Liga Serie A Itali selepas menewaskan Napoli 3-1 pada saingan di San Siro, awal pagi tadi.

Kekalahan 0-2 Sampdoria di tangan Fiorentina membolehkan skuad bimbingan Jose Mourinho itu mengungguli takhta liga, namun kedudukan kembali berubah jika Juventus berjaya menundukkan pasukan tangga keenam, Genoa awal pagi esok.

Buat sementara Inter Milan berada di puncak dengan mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, manakala Juventus yang mencatat rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan lalu berada di tangga kedua dengan 12 mata maksimum.

Penguasaan tuan rumah jelas terbukti apabila dua gol terhasil dalam tempoh lima minit perlawanan bermula.

Penyerang antarabangsa Cameroon, Samuel Eto'o membuka tirai jaringan pada minit kedua selepas percubaannya dalam kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Morgan De Sanctis.

Sanctis sekali lagi tertewas hanya selang tiga minit kemudian apabila gagal menahan percubaan Diego Milito yang memanfaatkan umpanan daripada Maicon.

Pertahanan Brazil, Lucio terus menambah derita pelawat apabila berjaya menanduk masuk umpanan dari tendangan sudut Wesley Sneijder pada minit ke-32.

Napoli yang cuba bangkit selepas itu nyata gagal meroboh pertahanan Inter sebaliknya hanya berpuas hati dengan gol tunggal jaringan Ezequiel Lavezzi pada minit ke-37 bagi membolehkan tuan rumah merekod kemenangan keempat musim ini.


Sementara itu AC Milan dirundung malang apabila tewas 0-1 di tangan Udinese dalam perlawanan yang berlangsung di tempat lawan.

Sekali pun menguasai sebahagian besar perlawanan namun penyudah yang kurang tajam memaksa skuad bimbingan Leonardo itu pulang dengan tangan kosong.

Antonio Di Natale menjadi pemusnah pasukan pelawat selepas bijak menyudahkan bola yang terlantun dari percubaan awal Mauricio Isla pada minit ke-22.

Pada babak kedua Leonardo menggantikan Alexandre Pato dengan membawa masuk Ronaldinho namun ia gagal mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan kedua daripada lima perlawanan musim ini menyebabkan Milan jatuh ke tangga ke-11 liga manakala Udinese naik ke tangga ketujuh.

Keputusan perlawanan lain

Piala Carling: Man United, Chelsea menang tipis


JUARA bertahan, Manchester United dan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea menarik nafas lega apabila sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk melepasi pusingan ketiga Piala Liga England (Carling Cup) awal pagi tadi.

Bermain di OLD TRAFFORD, United mampu menarik nafas lega apabila jaringan tunggal penyerang muda, Danny Welbeck pada minit ke-66 sudah cukup buat tuan rumah untuk melangkah ke pusingan keempat kejohanan.

Sebelum itu barisan Sir Alex Ferguson yang diperkuat dengan kehadiran Michael Owen dan Michael Carrick dikejutkan dengan layangan kad merah ke atas Fabio Da Silva selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Pemain pertahanan berasal dari Brazil itu diarah keluar padang selepas menjatuhkan Michael Kightly pada minit ke-29.

Begitu pun pasukan pelawat gagal memanfaatkan situasi berkenaan untuk memecah kebuntuan gol sebaliknya United yang berjaya mengambil kesempatan apabila Welbeck tidak mensia-siakan umpanan Owen pada minit ke-66.

Penyerang berusia 18 tahun itu tenang menewaskan penjaga gawang Wolves, Marcus Hahnemann untuk gol tunggal perlawanan seterusnya membawa tuan rumah ke pusingan seterusnya.

Sementara itu di STAMFORD BRIDGE, Chelsea berjaya mengiringi seteru utamanya dalam liga itu ke pusingan keempat juga hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Queens Park Rangers.


Gol tunggal The Blues hanya terhasil pada babak kedua menerusi penyerangnya, Salomon Kalou.

Penyerang antarabangsa Ivory Coast itu melepaskan rembatan kaki kirinya pada minit ke-52 untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Tom Heaton.

Di STADIUM CITY OF MANCHESTER pula, kelab dimiliki hartawan Arab, Manchester City turut melangkah ke pusingan keempat selepas menewaskan Fulham 2-1.

Begitu pun City terpaksa berhempas pulas hingga ke masa tambahan sebelum berjaya mengesahkan kemaraan mereka.

Bekas pemain Arsenal, Kolou Toure muncul penyelamat barisan Mark Hughes itu apabila menanduk masuk bola tendangan sudut Martin Petrov untuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-111.

Sebelum itu, penyokong City terpaku seketika apabila percubaan Zoltan Gera pada minit ke-34 menerjah masuk ke gawang tuan rumah untuk barisan pelawat mendahului 1-0 pada babak pertama.

City hanya memerlukan enam minit selepas perlawanan babak kedua bersambung untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Gareth Barry hasil umpanan Craig Bellamy.

Keputusan pusingan ketiga Piala Carling 2009/10

Piala Carling: Tottenham, Everton kenduri gol


TOTTENHAM dan Everton mengesahkan laluan ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (Carling Cup) selepas menang besar ke atas lawan masing-masing di pusingan ketiga awal pagi tadi.

Finalis musim lalu, Spurs yang bertandang ke Deepdale membelasah tuan rumah, Preston North End 5-1 hasil jaringan hatrik penyerang tinggi lampai, Peter Crouch.

Dua lagi gol Spurs masing-masing dijaringkan Jermain Defoe pada babak pertama manakala Robbie Keane menghasilkan jaringan tiga minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar.

Gol saguhati tuan tuan rumah pula dijaringkan penyerang gantian, Chris Brown pada minit ke-83.

Kemenangan berkenaan sedikit sebanyak menjadi penawar buat pengurus Spurs, Harry Redknapp selepas pasukan kendaliannya itu tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Manchester United dan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

Pada saingan musim lalu, Spurs kurang bernasib baik apabila tewas menerusi penentuan penalti di tangan Manchester United selepas perlawanan sebenar terikat tanpa sebarang jaringan.


Sementara itu pasukan pertengahan Liga Perdana, Everton membelasah satu lagi wakil EPL, Hull City 4-0 di tempat lawan untuk meneruskan saingan ke pusingan keempat.

The Toffees mendahului tuan rumah 3-0 pada babak pertama hasil jaringan Ayegbeni Yakubu pada minit ke-11, Jo (m-20) dan Dan Gosling (m-24).

Satu lagi gol pasukan pelawat dijaringkan oleh pemain tengahnya, Leon Osman pada minit ke-57.

Sementara itu di VILLA PARK, tuan rumah, Aston Villa sekadar menang tipis 1-0 ke atas pasukan Liga Kejuaraan, Cardiff City menerusi jaringan tunggal Gabriel Agbonlahor pada minit ketiga.

Keputusan pusingan ketiga Piala Carling 2009/10

La Liga: Barcelona amuk, rampas takhta liga


JUARA bertahan, Barcelona kembali merampas takhta Liga Sepanyol dengan kemenangan selesa 4-1 di Racing Santander untuk mengekalkan rekod kemenangan bersih awal musim ini.

Bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan dua gol, termasuk satu hasil gerakan solo untuk muncul pendahulu penjaring terbanyak liga dengan lima gol.

Penyerang baru, Zlatan Ibrahimovic turut mengekalkan rentak meledak gol dalam setiap perlawanan dan setakat ini sudah menjaringkan empat gol.

Zlatan Ibrahimovic menanduk bola lintang Messi dari jarak dekat dan bola yang melantun ditanduk oleh Henrique untuk gol pembukaan Barcelona pada minit ke-20.

Pada minit ke-24, Xavi Hernandez dan Messi saling bertukar hantaran berhampiran kawasan penalti Santander sebelum pemain sayap Argentina itu menjaringkan gol menerusi sepakan kaki kiri.

Tiga minit kemudian, pemain pertahanan, Gerard Pique mengawal bola hantaran ke belakang Ibrahimovic dalam kawasan penalti sebelum dia merembat deras melepasi penjaga gol Antonio Rodriguez.

Barcelona meneruskan penguasaan di sepanjang perlawanan menyebabkan Santander gagal meraih walau satu pun peluang gol di babak pertama.

Ibrahimovic, yang menjaringkan gol dalam semua empat perlawanan liga, terpaksa mendapatkan rawatan akibat kecederaan pergelangan kaki pada minit ke-46.

Dia masuk semula ke dalam padang namun kemudiannya digantikan oleh Pedro Rodriguez pada minit ke-53.

Barcelona beraksi lebih mudah di babak kedua namun Messi menghangatkan permainan pada minit ke-68 apabila mengelecek pemain pertahanan Santander berhampiran kawasan penalti dan melepaskan rembatan kaki kiri tepat ke penjuru gawang.

Jaringan kelimanya setakat ini menjadikan dia penjaring terbanyak liga.

Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola mengeluarkan pemain Argentina itu seminit kemudian dan memasukkan Andres Iniesta, yang baru sahaja beraksi setelah pulih dari kecederaan.

Santander akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-71 apabila pemain sayap Oscar Serrano mengelecek pemain pertahanan Barcelona dan pemain itu merembat dengan kaki kiri ke penjuru kiri gawang.

Keputusan perlawanan lain