Monday, October 12, 2009

Kelayakan Piala Dunia: Bolivia calar rekod Brazil


BERAKSI tanpa perancang utama, Kaka dan penyerang, Luis Fabiano telah mencalarkan rekod tanpa kalah Brazil dalam 19 perlawanan, termasuk 11 kemenangan berturut-turut apabila juara dunia lima kali itu tewas 1-2 kepada Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan yang tidak memberi apa-apa makna kepada kedua-dua pasukan.

Sebelum turun gelanggang, Brazil sudah pun layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan, manakala Bolivia telah tersingkir daripada persaingan.

Menariknya, kali terakhir Brazil tewas juga dalam aksi kelayakan Piala Dunia iaitu ketika menentang Paraguay pada Jun 2008. Brazil kalah 2-0 dalam perlawanan berkenaan.

Edgar Olivares menanduk masuk tendangan sudut pada minit ke-10 dan Marcelo Martins menambah kelebihan tuan rumah di Stadium Hernando Siles pada minit ke-30 dengan melencongkan sepakan percuma mengatasi benteng pertahanan dan di luar jangkauan penjaga gol Brazil, Julio Cesar.

Brazil mencipta banyak peluang sebelum menemui gawang pada minit ke-70 apabila Maicon memintas sepakan percuma Bolivia dalam kawasan Brazil untuk serangan balas pantas yang disudahi Nilmar dengan tandukan cantik.

Brazil yang tidak pernah menang di La Paz sejak 1997, kekal di tangga teratas sekali pun berkongsi dengan Paraguay dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan dengan 33 mata dan baki satu perlawanan dengan Venezuela Rabu (pagi Khamis) ini.

Manakala Bolivia berada di tangga kedua terbawah selepas hanya memungut 15 mata daripada 17 perlawanan. Satu-satunya kemegahan buat Bolivia ialah selain berjaya menewaskan Brazil, mereka juga menang ke atas Argentina dan Paraguay dalam aksi kelayakan Amerika Selatan itu.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

No comments: