Thursday, October 1, 2009

Liga Juara: United raih kemenangan kedua


MANCHESTER United terselamat daripada diaibkan apabila jaringan Michael Carrick pada minit ke-78 memberikan kemenangan 2-1 ke atas kelab Jerman, Wolfsburg selepas juara England itu ketinggalan 1-0 pada minit awal separuh masa kedua dalam aksi Liga Juara Eropah di Old Trafford, awal pagi tadi.

Wolfsburg yang mendahului hasil tandukan Dzeko terpaksa berputih mata selepas pemain veteran tuan rumah, Ryan Giggs menyamakan kedudukan daripada tendangan percuma tiga minit selepas gol pendahuluan itu.

United, naib juara Liga Juara-juara musim lalu terus mengasak ke gawang lawan dan akhirnya berjaya mendahului perlawanan susulan jaringan menarik pemain tengahnya, Michael Carrick dalam perlawanan kedua kumpulan B itu.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut buat United setelah menang tipis 1-0 ke atas Besiktas pada perlawanan pembukaan dua minggu lalu untuk mendahului kumpulan dengan enam mata maksimum.

Wolfsburg pula berada di tangga kedua dengan mengutip tiga mata selepas menang 3-1 ke atas CSKA Moscow dalam perlawanan pertama.

Pada satu lagi aksi kumpulan B, CSKA menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Besiktas 2-1 hasil jaringan Alan Dzagoev pada minit ketujuh dan Milos Krasic (m-61). Gol Tunggal Besiktas dijaringkan pada minit akhir perlawanan menerusi Ekrem Dag.

Sementara itu, di Munich, perlawanan antara Bayern Munich dan Juventus di stadium Allianz Arena, Jerman berkesudahan seri tanpa jaringan dalam saingan kumpulan A.

Satu lagi perlawanan kumpulan A, Bordeaux menang tipis 1-0 ke atas Maccabi Haifa hasil jaringan tunggal pemain pertahanan, Michael Ciani pada minit ke-83.

Bayern Munich dan Bordeaux masing-masing memungut empat mata selepas sekali menang dan sekali seri namun kelebihan jaringan memihak kepada gergasi Jerman itu.

Carta Kumpulan Liga Juara Eropah
Keputusan Penuh Liga Juara Eropah

No comments: