Sunday, October 11, 2009

Piala Dunia: Gol Palermo hidupkan peluang Argentina, perlu atasi Uruguay untuk layak


ARGENTINA menarik nafas lega apabila jaringan Martin Palermo pada minit ketiga masa tambahan membolehkan juara dunia dua kali itu menewaskan Peru 2-1 di gelanggang sendiri dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2010, pagi ini.

Sebelum itu pasukan bimbingan Diego Maradona terpaku apabila Hernan Rengifo, menyamakan kedudukan buat pelawat ketika perlawanan masa sebenar berbaki 20 saat selepas penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuain meletakkan Argentina di depan pada minit ke-48 menerusi rembatan dari jarak enam meter.

Palermo menyumbat gol dari jarak dekat dalam serangan minit terakhir ketika padang becak akibat hujan lebat.

Sebaik menjaringkan gol kemenangan tersebut, Palermo mengoyak bajunya dan mengangkat tangan ke langit untuk meraikan golnya itu di Stadium Peringatan River Plate.

Begitu pun nasib Argentina untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan masih belum terjamin apabila musuh ketatnya, Uruguay yang turut mengintai, menewaskan Ecuador 2-1 di tempat lawan, juga menerusi jaringan minit-minit akhir perlawanan apabila Diego Forlan berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Kemenangan Uruguay bermakna Argentina hanya satu mata di depan pasukan itu di tangga keempat, iaitu kedudukan terakhir untuk layak secara automatik.

Ecuador di tangga keenam, dua mata di belakang Argentina.

Nasib Argentina akan ditentukan pada perlawanan Rabu ini menentang Uruguay, di mana pasukan yang menang secara automatik layak ke Afrika Selatan tahun depan.

Jika seri, tiket play-off menentang pasukan tangga keempat zon CONCACAF telah pun terjamin buat Argentina, namun seandainya tewas skuad kedudukan Argentina akan ditentukan menerusi keputusan perlawanan Ecuador-Chile.

Chile muncul pasukan ketiga dari Zon Amerika Selatan selepas Brazil dan Paraguay yang telah mengesah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Colombia 4-2 dalam satu lagi aksi yang berlangsung pagi tadi.

Manakala Colombia terkeluar dari persaingan merebut tempat ke Afrika Selatan.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

No comments: