Monday, March 23, 2009

Barcelona, Real Madrid menang selesa


DUA kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid terus menghangatkan persaingan merebut kejuaraan Liga Primera Sepanyol apabila kedua-duanya menang bergaya ke atas lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung awal pagi tadi.

Pendahulu liga, Barcelona bagaimanapun lebih mencuri tumpuan apabila membelasah pasukan pertengahan liga, Malaga 6-0 di Stadium Nou Camp.

Xavi Hernandez memulakan pesta gol Barcelona pada minit ke-19 manakala penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi menggandakan jaringan tuan rumah enam minit kemudian sebelum bekas bintang Arsenal, Thiery Henry mengambil giliran menghukum benteng Malaga pada minit ke-32 seterusnya Samuel Eto'o muncul penjaring terakhir sebelum perlawanan berhenti rehat.

Sebaik bersambung babak kedua, skuad tuan rumah hanya mengambil masa enam minit untuk merobek kerapuhan benteng pasukan pelawat apabila Daniel Alves mudah menanduk hantaran tinggi daripada Andres Iniesta.

Eto'o kemudiannya menambah gol peribadi keduanya pada perlawanan berkenaan dan jaringan keenam Barca untuk terus mengukuhkan kedudukan kelab itu di persada Liga Primera.

Sementara itu dalam perlawanan lebih awal, Real Madrid masih belum mengaku kalah untuk memintas skuad Catalan itu apabila menang 3-0 ke atas pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Almeria.

Penyerang Belanda, Klaas Jan Huntelaar terus mempamer bisanya dengan mencetak dua gol pada minit ke-53 dan 66, manakala gol pertama diperoleh menerusi jaringan Marcelo pada minit ke-23.

Keputusan perlawanan itu masih mengekalkan kedudukan Real di tangga kedua dengan 63 mata, kurang enam mata di belakang Barcelona.

Dalam pada itu, kedudukan Sevilla di tangga ketiga terus kukuh selepas kejayaan membenam Valladolid 4-1 hasil jaringan hatrik bintang Mali, Frederic Kanoute.

Pasukan yang masih bersaing di Liga Juara Eropah, Villareal pula kekal enam mata di belakang Sevilla selepas menang 2-0 ke atas Athletic Bilbao.

Wenger congak strategi daki puncak


KETIKA pemain-pemain Arsenal sedang sibuk memanaskan badan menjelang aksi menentang Newcastle di St James Park kelmarin, pengurusnya, Arsene Wenger sempat mengerling ke skrin televisyen yang menunjukkan Manchester United dan Chelsea tewas mengejut kepada lawan masing-masing.

Ketika itu Wenger mula merencana strategi agar pasukan mudanya mampu melakukan sesuatu yang akan membantu mereka merapatkan kedudukan dengan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Selepas itu, Arsenal berjaya mencatatkan kemenangan yang meletakkan Chelsea dan Liverpool berada dalam keadaan tergugat dan Wenger tidak menolak kemungkinan bakal memberi cabaran kepada kelab pendahulu dari Old Trafford.

Kini Wenger percaya masanya sudah tiba buat Arsenal untuk merampas takhta selepas menang 3-1 ke atas Newcastle yang sekarang sedang bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

“Ia satu bilion dalam satu, saya melihat keputusan yang lain dan merasakan ia satu peluang terbaik kepada kami untuk mengambil peluang serta merapatkan kedudukan di persada liga. Sekarang kami mahu memberi cabaran dan menamatkan saingan liga dekat dengan pasukan yang berada di tangga teratas.

“Kami mempunyai pasukan yang begitu muda dan mereka semakin meningkat dari masa ke semasa. Semangat mereka sangat menakjubkan dan kami menunjukkan kualiti yang dimiliki.

“Mereka tidak sedar betapa mudanya kami. Kami mempunyai enam atau tujuh pemain bawah 20 dan 22 tahun, kami rasa mampu terus meningkat dalam permainan seterusnya,” katanya.

Walaupun mereka gagal untuk memecah kedudukan tiga tempat teratas, Arsenal mempunyai prospek cerah untuk menamatkan persaingan di tangga keempat di hadapan Aston Villa bagi meraih slot ke Liga Juara Eropah musim depan.

“Ia terletak di tangan kami sekarang. Kami mungkin ketinggalan lapan mata di belakang mereka dua minggu lalu tetapi sekarang ia terpulang kepada cara kami beraksi. Kami tidak perlu fokus seperti mana yang dilakukan Aston Villa,” katanya.

Ferguson berang aksi anak buah


PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson membidas barisan bintangnya yang kurang bermaya ketika tewas dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham kelmarin.

Juara bertahan itu mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh seminggu, sekali gus membuka laluan buat pencabar terdekatnya, Liverpool untuk merapatkan jurang kepada hanya satu mata di samping mempunyai perbezaan gol lebih baik.

Dalam nada marah Ferguson menyifatkan pasukannya tidak layak mengutip sebarang mata ketika tewas 0-2 kepada Fulham.

“Ia amat mengecewakan kerana kami gagal untuk menepati cabaran ditetapkan. Apabila anda tewas pada bulan Mac dan April, ia boleh mengundang padah buat pasukan anda. Kami bernasib baik kerana masih memiliki kelebihan yang kecil ini. Saya harapkan pemain saya yang akan mewakili negara masing-masing untuk tugas perlawanan antarabangsa akan kembali semula dengan prestasi terbaik,” katanya.

Pada masa sama dia turut mempersoalkan kad merah dilayangkan pengadil kepada Wayne Rooney.

“Adakah dia membaling bola itu ke arah pengadil. Bola itu dibaling ke tempat sepakan percuma diambil, adakah ia terkena pengadil berkenaan? Tidak. Dia membalingnya bagi membolehkan perlawanan diteruskan semula.

"Tetapi tiada guna bercakap mengenai pengadil. Kami tidak beraksi dengan baik untuk menang dan berhak untuk tewas," rungutnya.

Benitez: Liverpool mampu musnahkan siapa sahaja


PRESTASI hebat Liverpool dalam kancah Eropah dan domestik berterusan apabila memberi pukulan 'TKO' kepada Everton menerusi kemenangan besar 5-0 ke atas kelab yang bersaing bagi merebut slot ke Liga Juara Eropah musim depan itu.

Kejayaan tersebut juga sekali gus menangkis dakwaan bahawa kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Manchester United minggu lalu sebagai 'menang nasib'.

Kemenangan terbaru ini terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam liga dan kini hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata daripada pendahulu, United yang sudah mengumpul 65 mata.

Begitupun, United masih ada kelebihan satu perlawanan berbanding Liverpool.

Apa yang dibuktikan Liverpool memang sungguh menakjubkan kerana telah menghasilkan 13 gol dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Pada separuh masa pertama sahaja, skuad bimbingan Rafael Benitez itu sudah selesa mendahului 3-0.

Jaringan tersebut memang tidak diduga kerana perlawanan baru berlangsung separuh jalan.

Namun, apa yang dibuktikan oleh The Reds itu membuktikan banyak kebenaran daripada kenyataan Benitez bahawa mereka sudah bersedia "memusnahkan sesiapa sahaja selepas ini".

Aston Villa mangsa amukan Liverpool


LIVERPOOL membuktikan ungkapan 'mampu menewaskan siapa sahaja' selepas beraksi garang untuk membenam Aston Villa 5-0 di Anfield awal pagi tadi.

Ketua pasukan, Steven Gerrard sekali lagi menjadi nadi kemenangan besar itu dengan melakukan jaringan hatrik ke atas pasukan bimbingan Martin O'neil itu.

Pada perlawanan berkenaan, Liverpool hanya mengambil masa lapan minit untuk mendahului Villa.

Jaringan pembukaan itu hadir menerusi rembatan Dirk Kuyt dari dalam kotak penalti hasil sepakan percuma daripada Steven Gerrard.

Selepas itu mereka terus garang seperti Harimau yang sedang lapar membaham mangsa.

Larian Gerrard di kawasan tengah sudah cukup untuk mengkucar-kacirkan benteng lawan.

Hasilnya, mereka mudah mencari ruang untuk menambah jaringan.

Ketika perlawanan berusia 33 minit, Liverpool sudah memperoleh gol kedua menerusi percubaan Alberto Reira dan enam minit selepas itu, Gerrad pula mencatat nama sebagai penjaring untuk gol ketiga pasukannya hasil daripada sepakan penalti.

Pengadil menghadiahkan sepakan tersebut selepas pertahanan Villa menjatuhkan Reira dalam kotak penalti dan Gerrard yang mengambil tugas tersebut mudah menyempurnakannya.

Dalam keadaan tertekan, Villa turut mendapat beberapa peluang untuk mengurangkan jurang gol.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-31 menerusi percubaan Luke Young, tetapi rembatannya diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Pepe Reina.

Pada separuh masa kedua, rentak Liverpool semakin garang.

Serangan bertali arus dan pertahanan lawan terus dipaksa bekerja keras.

Selepas empat minit babak kedua bermula, The Reds sudah mendahului 4-0 menerusi sepakan percuma daripada Gerrard di luar kotak penalti.

Kegarangan mereka tidak terhenti setakat itu, sebaliknya terus melancarkan gerak berbahaya.

Sebaik perlawanan memasuki minit ke-65, Liverpool sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan seperti diduga, Gerrard mudah menyempurnakannya untuk membolehkan mereka mendahului 5-0.

Untuk menambahkan lagi malam derita Villa itu, penjaga gol Villa, Brad Friedel pula dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas mengasari Fernando Torres.

Sunday, March 22, 2009

EPL: Chelsea kecundang, Arsenal cemerlang


PENCABAR kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Chelsea gagal mengambil kesempatan untuk merapatkan jurang dengan Manchester United apabila kecundang kepada Tottenham 1-0 di White Hart Lane, lewat malam tadi.

Gol tunggal jaringan Luka Modric, lima minit selepas babak kedua bersambung menghadiahkan kekalahan pertama Chelsea sejak dibimbing jurulatih dari Belanda, Guus Hiddink.

Kekalahan itu bermakna Chelsea kekal di tangga kedua liga dengan perbezaan empat mata selepas United tewas kepada tangan Fulham di Craven Cottage.

Kedudukan Chelsea bakal diambil alih Liverpool jika kelab bimbingan Rafael Benitez itu berjaya menewaskan Aston Villa di Anfield malam ini.

Sementara itu Arsenal menang selesa 3-1 ke atas Newcastle di St James Park untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat yang kini disaing hebat Aston Villa.

Semua gol Arsenal dijaringkan dalam tempoh 10 minit pada babak kedua perlawanan masing-masing menerusi Nicklas Bendtner minit ke-57, Abou Diaby (64) dan Samir Nasri (67).

Gol sagu hati tuan rumah dijaringkan oleh Obafemi Martins pada minit ke-58 setelah pemain Nigeria itu gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.

EPL: United sudah jatuh ditimpa tangga

Tewas dua perlawanan liga berturut-turut, Rooney dan Scholes pula dibuang padang

IBARAT sudah jatuh ditimpa. Itulah nasib dialami Manchester United apabila dua tonggaknya, Paul Scholes dan Wayne Rooney dibuang padang ketika kekalahan kedua berturut-turut menimpa skuad bimbingan Sir Alex Ferguson dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Bertandang ke Craven Cottage, United nyata masih dihantui kekalahan 1-4 di tangan Liverpool minggu lalu apabila gagal menjelmakan aksi mantap untuk menerima aib kali kedua, kali ini tewas 2-0 kepada Fulham.

Paul Scholes dilayangkan kad merah apabila menggunakan tangannya bagi menyekat serangan yang dijelmakan barisan depan tuan rumah pada minit ke-17.

Tindakan berkenaan ternyata membawa padah buat bintang veteran itu apabila pengadil perlawanan, Philip Dowd tanpa teragak-agak melayangkan kad merah di samping menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Kesempatan berkenaan dipergunakan sebaiknya oleh tonggak tengah Fulham itu untuk memberikan gol pendahuluan sehingga berakhir babak pertama.

Gol kedua Fulham hadir pada minit ke-87 menerusi pemain gantian, Zoltan Gera yang bijak menyudahkan hantaran Andrew Johnson dari sebelah kanan.

Dua minit kemudian malapetaka kedua menimpa United apabila Rooney diarah keluar padang apabila menerima kad kuning kedua selepas membantah tindakan pengadil.

Begitu pun kedudukan United di persada liga masih selamat untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Begitu pun jika Liverpool gagal menewaskan Aston Villa malam esok, kedudukan United sukar untuk digugat memandangkan juara bertahan itu masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

EPL: Fulham di depan, Paul Scholes dibuang padang


KEDUDUKAN Manchester United di tangga teratas Liga Perdana Inggeris semakin terancam apabila anak didik Sir Alex Ferguson itu ketinggalan 0-1 kepada Fulham dalam aksi babak pertama yang berlangsung lewat malam ini.

Keadaan bertambah parah buat United apabila tonggak veterannya, Paul Scholes diarah keluar padang selepas sengaja menampan bola dengan kedua-dua tangannya ketika hendak menyelamatkan tandukan Bobby Zamora dalam kotak penalti pada minit ke-17.

Ekoran kesalahan berkenaan, Fulham dihadiahkan sepakan penalti dan kesempatan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Danny Murphy yang tenang menewaskan Edwin Van der Sar untuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-18.

Sementara itu dalam perlawanan lebih awal, Portsmouth menang tipis 2-1 ke atas Everton hasil jaringan berganda bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch pada minit ke-22 dan 75.

Saturday, March 21, 2009

Liga Super: Selangor kekal, Kelantan kenduri gol

PERBEZAAN jaringan memberi kelebihan buat Selangor untuk terus memimpin carta Liga Super mengatasi Kelantan selepas dua pasukan pendahulu itu berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung malam ini.

Stadium Sultan Mohd Ke-IV terus memberi tuah buat Kelantan, kali ini Pulau Pinang menjadi mangsa terbaru Sang Kijang berkenduri gol menerusi kemenangan 4-1.

Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Mohd Norfarham Mohamad pada minit ke-23 dan ke-56, Ramzul Zahini Adenan (ke-38) dan kapten pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-65.

Gol pelawat dijaringkan pada minit ke-90 melalui Mohammad Noraslan.

Begitu pun kemenangan 2-1 Selangor ke atas Kuala Muda Naza di Alor Star memaksa skuad Kijang terus menghuni tangga kedua liga sekali pun kedua-dua pasukan mengumpul jumlah mata sama (21 mata).

Selangor bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-68 sebelum Rudie Ramli membuka jaringan dan Mohd Hazrul Hafiq menambah gol kedua pelawat pada minit ke-79.

Namun Akmal Rizal Ahmad Rakhli meledak gol tunggal Kuala Muda Naza pada minit ke-82.

Satu lagi pasukan pencabar utama Liga Super, Perlis gagal memungut mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan jirannya, Perak di Stadium Utama, Kangar.

Liga Super: Kelantan, Selangor, Perlis bersaing hebat


SELEPAS berehat selama hampir sebulan, saingan Liga Super kembali bersambung malam ini dengan pendahulu, Selangor bertandang ke Stadium Darulaman, Alor Star untuk melayan skuad Kuala Muda Naza sambil Kelantan mengharapkan tuah di gelanggang sendiri untuk merampas pendahulu takhta.

Kelantan yang menunjukkan kebangkitan yang boleh dianggap mendadak sejak disertai beberapa pemain bertaraf bintang itu akan menentang Pulau Pinang di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di Kota Bharu.

Perlis yang menduduki tangga ketiga turut mempunyai kelebihan setanding dengan pasukan Kelantan apabila anak buah ketua jurulatih, Irfan Bakti itu menanti kunjungan Perak di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Selangor, Kelantan dan Perlis masing-masing mengumpul jumlah mata yang sama iaitu 18 mata dan hanya dipisahkan menerusi kelebihan jaringan dan bolos sekali gus membuatkan ketiga-tiganya tidak boleh tercicir sebarang mata malam ini.

Justeru, rencana siapakah di antara K Devan (Selangor), Peter Butler (Kelantan) dan Irfan Bakti (Perlis) yang bakal menjadi kerana pertembungan kesembilan malam ini bakal membuka ruang untuk salah satu daripada ketiga-tiga skuad bimbingan mereka untuk bergelar pendahulu.

Sementara itu, Kuala Muda Naza menjanjikan saingan sukar buat Selangor apabila pasukan itu bertandang ke Alor Star malam ini

“Kami mahu raih tiga mata penuh pada perlawanan esok (malam ini) ketika bertemu pendahulu liga, Selangor dan bukannya keputusan seri,” demikian kata ketua pasukan Kuala Muda (KM) Naza, Anuar Jusoh.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukannya kini beraksi lebih baik berbanding pada permulaan Liga Super musim ini dan yakin pasukannya dapat mengutip mata penuh pada perlawanan esok.

“Saya yakin dengan kemampuan pasukan saya untuk mengatasi pendahulu liga ketika ini walaupun ini adalah pertama kali mereka beraksi pada Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu.

“Saya bukan mahu cakap besar tetapi fakta perlawanan kami sebelum ini akan menjadi bukti dengan kemampuan kami dan kini saya dan rakan sepasukan lebih mengenali antara satu sama lain dan persefahaman kami bertambah mantap.

Peluang United pertahan mahkota Eropah


MANCHESTER United mempunyai laluan selesa untuk mengekalkan mahkota Liga Juara-Juara Eropah musim ini berdasarkan undian peringkat suku akhir semalam.

Orang yang paling gembira dengan undian tersebut sudah tentu pengurusnya, Sir Alex Ferguson yang menyaksikan Manchester United berdepan FC Porto, kemungkinan pasukan paling lemah yang masih meneruskan cabaran peringkat suku akhir.

Bahkan jika berjaya melepasi halangan suku akhir laluan United ke final tetap cerah apabila berjaya mengelak pertemuan dengan dua pasukan bekas juara, Barcelona dan Liverpool atau pun Chelsea.

Sebaliknya United berpotensi untuk berdepan kelab senegara, Arsenal di peringkat empat pasukan terakhir atau kemungkinan bertemu Villareal jika wakil Sepanyol itu berjaya menumpaskan The Gunners di suku akhir.

“Undian ini baik untuk kami, kami pernah menentang Porto sebelum ini dan sudah pasti, kami menghormati mana-mana kelab Portugal.

“Kami menerima bantuan besar daripada individu Portugal bermula dengan Carlos Queiroz (bekas penolong jurulatih) tapi, kini dengan Cristiano Ronaldo dan Nani. Jadi, kami memahami bola sepak Portugal,” kata Ferguson.

Bagaimanapun jika sejarah berulang kembali, Porto bakal memberikan masalah besar buat United apabila kelab dari Portugal itu menghancurkan impian anak didik Ferguson di pusingan kedua pada 2004 seterusnya muncul juara tahun berkenaan.

Liga Juara: Liverpool-Chelsea berentap lagi


BUAT kali kelima dalam tempoh lima tahun, Liverpool diundi menentang Chelsea pada undian pusingan suku akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah malam tadi.

Musim lalu kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir di mana kemenangan berpihak kepada Chelsea dengan agregat 4-3 sebelum dikecewakan Manchester United dalam aksi final penuh dramatik.

Tetapi dua pertemuan terdahulu pada 2005 dan 2007 menyaksikan Liverpool mengatasi Chelsea pada peringkat yang sama.

“Harap ia tidak akan memberi kesan kepada kami apabila suku akhir kedua berlangsung di tempat lawan.

“Kami kena pastikan tidak melakukan kesilapan seperti perlawanan separuh akhir pertama musim lalu.

“Ia bakal menjadi dua perlawanan yang sukar tetapi jika kami main baik, kami yakin boleh memenanginya,” kata pengurus Liverpool, Rafael Benitez Benitez.

Suku akhir pertama akan berlangsung pada 7 dan 8 April (awal pagi 8 dan 9 April waktu Malaysia) manakala perlawanan kedua pada 14 dan 15 April (15 dan 16 April).

Saingan separuh akhir pula akan diadakan pada 28 dan 29 April (29 dan 30 April) manakala perlawanan kedua pada 5 dan 6 Mei (6 dan 7 Mei).

Friday, March 20, 2009

Liga Juara: Manchester United jumpa Porto


JUARA bertahan, Manchester United diundi menentang kelab Portugal, FC Porto manakala naib juara musim lalu, Chelsea bertemu musuh tradisi yang juga kelab senegara, Liverpool dalam undian suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Nyon, Switzerland lewat petang tadi.

Dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan pertemuan bekas juara, Barcelona dan Bayern Munich manakala satu lagi wakil England akan ditentang kelab Sepanyol, Villareal.

Menurut laman web rasmi UEFA, perlawanan suku akhir pertama dijadualkan pada 7 dan 8 April (awal pagi 8 dan 9 April waktu di Malaysia) manakala timbal balik kedua berlangsung seminggu berikutnya.

Bagi Undian separuh akhir pula membabitkan antara pemenang bagi perlawanan Manchester/Porto dan Villareal/Arsenal.

Manakala pemenang bagi perlawanan Barcelona/Bayern Munich akan menentang pemenang perlawanan Liverpool/Chelsea bagi satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir.

Musim lalu Manchester United berjaya menjulang gelaran Eropah selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti penuh dramatik dalam aksi final yang berlangsung di Moscow.

Piala UEFA: City mara, juara bertahan tersingkir


MANCHESTER City nyaris tersingkir daripada saingan Piala UEFA apabila mensia-siakan kelebihan dua jaringan ke atas wakil Denmark, Aalborg BK yang berjaya menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan timbal balik kedua untuk mengikat aggregat 2-2.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti apabila kedudukan terus terikat sehingga berakhir tambahan masa 30 minit.

Penjaga gol, Shay Given muncul penyelamat maruah Manchester City apabila berjaya menepis dua tendangan penalti Aalborg pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Given mempamerkan kecemerlangan dengan menyelamatkan tendangan Thomas Augustinussen dan bekas penyerang Sheffield United, Luton Shelton.

Semua tendangan penalti City mudah disepak masuk menerusi Ched Evans, Elano, Shaun Wright-Phillips dan Richard Dunne untuk memastikan City muncul wakil tunggal England yang masih bersaing ke pusingan suku akhir.

Dalam pada itu penyandang juara, Zenit St Petersburg tersingkir daripada kejohanan sekali pun menang 1-0 ke atas wakil Itali, Udinese di Moscow.

Zenit tewas 2-1 secara aggregat selepas Udinese menang 2-0 pada perlawanan pertama di Itali minggu lalu.

Enam lagi pasukan yang mara ke suku akhir ialah Werder Bremen dan Hamburg SV (Jerman), Paris St Germain dan Marseille (Perancis) serta Dynamo Kiev dan Shakhtar Donetsk (Ukraine).

Thursday, March 19, 2009

Piala UEFA: Man City, Hamburg punyai kelebihan

SELEPAS aksi mantap pada perlawanan pertama, Manchester City dan Hamburg dilihat bersedia untuk melangkah ke suku akhir Piala UEFA awal pagi esok manakala juara bertahan, Zenit St Petersburg masih berdepan halangan jika mahu terus bersaing.

Ketika masih mempunyai khidmat Andrey Arshavin, Zenit merangkul gelaran juara musim lalu, tapi mereka kini tewas 2-0 di tangan kelab Itali, Udinese dan kelab Rusia itu berdepan penyingkiran jika gagal bangkit.

Setahun lalu, kelab bimbingan Dick Advocaat mampu melakar kejutan walaupun tewas 3-1 di Marseille tetapi bangkit memenangi pertemuan itu menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan. Tetapi kali ini, mereka tidak mempunyai modal di tempat lawan.

Dengan keupayaan kelab Inggeris mengetepikan saingan kelab Itali pada Liga Juara-Juara, Udinese adalah satu-satunya wakil Itali yang tinggal untuk saingan peringkat Eropah dan mengetepikan penyandang juara itu mampu mengubat luka.

Seperti Udinese, Manchester City turut mempunyai kelebihan 2-0 hasil pertemuan pertama ketika menentang kelab Denmark, Aalborg. dan pemain tengah, Stephen Ireland berkata City dijangka tidak berdepan masalah untuk mara.

Hamburg yang dibimbing bekas jurulatih Spurs, Martin Jol, mencurahkan segala ilmunya bagi membolehkan pasukan itu bersaing untuk merebut gelaran liga tempatan.

Gerrard, Torres nadi kekuatan Liverpool - Giggs


"LIVERPOOL memiliki pemain kelas dunia dan ia dapat dilihat pada diri (Steven) Gerrard, Fernando Torres, Xabi Alonso dan juga Jamie Carragher.

"Pemain-pemain ini memiliki kemahiran di posisi masing-masing dan mereka mampu menjadi pasukan yang kuat walaupun Gerrard dan Torres tidak beraksi," demikian pengakuan jujur bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs mengenai kemampuan The Reds menjinakkan pasukan diwakilinya, Manchester United serta kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dengan jaringan empat gol.

Bagi Giggs, Torres dan Gerrard dianggap nadi kekuatan Liverpool sejak musim lalu.

"Tidak banyak pasukan yang boleh mencatat kemenangan di Santiago Bernabeu," jelas Giggs yang begitu kecewa dengan kekalahan 1-4 United kepada Liverpool minggu lalu.

Bagi Giggs, gandingan pemain berbakat dalam skuad The Reds itu adalah kunci utama kepada kejayaan mereka menumbangkan Real dan United sebelum ini.

Jelas Giggs, kehebatan Liverpool sebenarnya dapat dilihat kepada permainan kolektif yang digerakkan oleh kaptennya, Steven Gerrard.

Empat hari sebelum Liverpool berkunjung ke Old Trafford, skuad kendalian Rafael Benitez itu berjaya menumbangkan Real Madrid 4-0 pada aksi kedua, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Pada aksi pertama, Liverpool menang 1-0 di Santiago Bernabeu, sekali gus membuktikan kualiti sebenar yang dimiliki barisan Liverpool.

Wednesday, March 18, 2009

Benitez optimis peluang Liverpool rangkul gelaran


"JIKA kami boleh menewaskan (Manchester) United dan (Real) Madrid, kami boleh menewaskan sesiapa saja," demikian reaksi pengurus Liverpool, Rafael Benitez susulan perlawanan di Old Trafford Sabtu lalu yang menyaksikan Liverpool mengaibkan tuan rumah 4-1.

Sebelum bertemu United, Liverpool turut 'berkenduri' gol apabila membelasah juara Liga Sepanyol musim lalu, Real Madrid 4-0 pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Justeru itu tidak pelik apabila Benitez dan anak-anak buahnya kini dibuai keyakinan bahawa mereka mampu menamatkan penantian 19 tahun peminat-peminat The Reds untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Ketika ini Liverpool masih ketinggalan empat mata di belakang United dengan berkongsi 61 mata bersama Chelsea, namun terpaksa merelakan The Blues memintas mereka berdasarkan kelebihan jaringan yang memihak barisan anak didik Guus Hiddink itu.

Begitu pun untuk merampas gelaran EPL bukanlah suatu tugas mudah buat Benitez memandangkan mereka masih perlu mengharapkan United tewas beberapa perlawanan sebelum berkira-kira untuk memintas juara bertahan itu.

Menyedari keadaan itu Benitez berharap kelab-kelab lain berupaya menyekat United daripada terus memungut mata penuh seterusnya menggagalkan misi anak didik Alex Ferguson untuk membolot lima kejuaraan musim ini.

"Kami telah menunjukkan caranya. United beraksi dengan penuh yakin dan sekurang-kurangnya sekarang orang sudah nampak yang mereka boleh ditewaskan.

"Pesanan saya untuk semua pasukan, United memang hebat ketika menyerang, tetapi ketika bertahan, mereka ada kelemahan dan kami telah memanfaatkan kelemahan itu," jelas Benitez.

Arsenal jumpa Chelsea separuh akhir Piala FA


ARSENAL bakal membuat perhitungan dengan pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada pertembungan separuh akhir Piala FA selepas berjaya melepasi halangan Hull City dalam perlawanan suku akhir ulangan di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

The Gunners yang menang 2-1 pada perlawanan berkenaan bagaimana pun dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat menerusi jaringan Nick Barmby pada minit ke-13.

Tuan rumah terpaksa menanti sehingga minit ke-74 sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie.

Jaringan William Gallas 10 minit kemudian memastikan Arsenal menempah pertemuan dengan Chelsea pada perlawanan separuh akhir yang dijadual pada 18 April depan.

Satu lagi pertemuan separuh akhir membabitkan pendahulu EPL, Manchester United dengan Everton pada 19 April akan datang.

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Wembley.

Tuesday, March 17, 2009

'Big Four' kembali kuasai EPL


SAINGAN bola sepak Liga Perdana Inggeris atau EPL kini hanya berbaki sembilan perlawanan untuk ditamatkan (kecuali Manchester United masih berbaki 10 perlawanan).

Sebagaimana tradisinya, empat kelab gergasi atau lebih popular dengan gelaran 'Big Four' kembali menguasai saingan EPL setelah Arsenal tercicir ke tangga kelima lebih sebulan yang lalu.

Pada waktu itu, Aston Villa berjaya memecah dominasi 'Big Four' di mana satu ketika berjaya menghuni tangga ketiga liga mengatasi Chelsea, manakala Arsenal pernah menjunam ke tangga keenam.

Bagaimana pun kekalahan Aston Villa di tempat sendiri kepada Tottenham 1-2 Ahad lepas memaksa kelab bimbingan Martin O'neil itu memberi laluan buat Arsenal berada di tangga keempat setelah skuad The Gunners membenam Blackburn 4-0 pada perlawanan Sabtu lalu.

Sekali pun kedua-dua pasukan mempunyai jumlah mata sama iaitu 52 namun kelebihan jaringan jelas milik Arsenal untuk buruan slot ke Liga Juara Eropah musim depan.

Keputusan paling menarik tentunya kejayaan Liverpool meng'ganyang' juara bertahan, Manchester United 4-1 di Old Trafford manakala Chelsea pula menang tipis 1-0 ke atas Manchester City.

Begitu pun United kekal mendahului carta liga dengan kelebihan empat mata, dan dijangkakan buruan kejuaraan liga bakal berlangsung sengit hingga ke penghujung musim.

Debaran lapan kelab terbaik Eropah


EMPAT kelab dari England sekali lagi berjaya meloloskan diri ke peringkat lapan kelab terbaik yang bakal bersaing sesama mereka untuk menempah slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Dua finalis tahun lalu, Manchester United dan Chelsea serta Liverpool dan Arsenal bakal membuat perhitungan sama ada bertembung sesama sendiri atau diberi tentangan oleh empat lagi kelab iaitu bekas juara, Barcelona, Porto dan Bayern Munich serta Villareal.

Undian peringkat suku akhir dan separuh akhir bakal berlangsung di Nyon, Switzerland pagi Jumaat ini (20 Mac) waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) di mana perlawanan suku akhir pertama dijadualkan pada 8 dan 9 April (waktu Malaysia) manakala suku akhir kedua seminggu berikutnya.

Perlawanan separuh akhir pertama pula akan berlangsung pada 1 Mei (waktu Malaysia) dan perlawanan timbal balik kedua pada 8 Mei (waktu Malaysia).

Aksi kemuncak yang dinanti-nantikan peminat bola sepak seluruh dunia dijadual pada 21 Mei (waktu Malaysia) di Istanbul, Turki.

Monday, March 16, 2009

Chelsea teruskan tekanan ke atas United

Chelsea 1 Manchester City 0

GOL tunggal Michael Essien pada babak pertama sudah cukup buat Chelsea untuk memungut tiga mata penuh dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge malam tadi.

Bintang Ghana itu menampan secara bersahaja sepakan percuma Frank Lampard pada minit ke-18 membuatkan penjaga gawang Manchester City, Shay Given terkesima apabila bola terus melambung ke dalam gawang.

Kemenangan berkenaan membolehkan skuad The Blues kembali berada di kedudukan kedua liga selepas diambil alih Liverpool apabila skuad The Reds berjaya membenam pendahulu liga, Manchester United 4-1 di Old Trafford, dalam aksi sehari lebih awal.

Chelsea dan Liverpool masing-masing memungut 61 mata, namun kelebihan jaringan memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan yang lebih berpihak kepada The Blues.

Kemenangan tipis itu turut mengekalkan rekod bersih pengurus baru Chelsea, Guus Hiddink kepada tujuh kemenangan berturut-turut tanpa kalah sejak mengambil alih jawatan berkenaan daripada Luiz Felipe Scolari bulan lalu.

Sunday, March 15, 2009

Chelsea intai peluang kejar United

PENGURUS baru Chelsea, Guus Hiddink menyedari bahawa pasukannya tidak boleh gagal mengutip kemenangan ke atas City apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, malam ini.

Apabila Chelsea berhadapan Manchester City dalam perlawanan keempat liga musim ini, pertemuan itu berlangsung dengan spekulasi mengenai prospek City untuk mempamerkan prestasi lebih bertenaga dan memecah masuk ke dalam kelompok empat pasukan utama.

Tidak lama kemudian, City melakukan kejutan apabila membeli Robinho ketika Chelsea hangat memburu bintang Real Madrid itu, sekali gus mengesahkan kelab itu bakal memberi cabaran hebat kepada pesaing mereka.

Namun, pertemuan kedua-dua pasukan pada 13 September 2008 itu menyaksikan Chelsea tiada masalah menewaskan City 3-1 biarpun beraksi di tempat lawan.

Kemenangan tersebut menyaksikan jurang antara kedua-dua pasukan jauh berbeza.

Selepas enam bulan berlalu, kedua- dua pasukan akan bertemu di Stamford Bridge malam ini dengan menyaksikan jurang tersebut masih kekal di mana Chelsea kini berada di tangga kedua liga manakala City sekadar di tangga kelapan.

Sejak kehadiran pengurus baru, Guus Hiddink, Chelsea terus cemerlang dengan rekod lima kemenangan dalam kempen liga domestik.

Dari hari pertama bertugas sebagai pengurus Chelsea, Hiddink menegaskan bahawa sesatunya harapan The Blues untuk mengejar Manchester United ialah memenangi semua baki perlawanan liga dan berharap pendahulu itu menggugurkan mata.

Setakat ini Chelsea menepati sasaran mereka untuk memenangi perlawanan, tapi malang buat Hiddink dan anak buahnya, skuad juara bertahan bimbingan Sir Alex Ferguson itu juga turut cemerlang.

Justeru, Hiddink mengakui bahawa sesatunya harapan untuk mendekatkan diri dengan juara bertahan itu bergantung kepada kemampuan Liverpool menghalang United daripada mengutip mata di Old Trafford, 24 jam sebelum pasukannya bertemu City hari ini.

“Jika Liverpool dapat menghalang mereka, ia akan membuatkan musim ini akan jadi lebih menarik,” katanya. “Tapi United tampak memiliki keazaman tinggi untuk mengekalkan kedudukan mereka.

“Apabila saya bercakap kami mampu memenangi liga, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukannya ketika itu, tapi United tidak melakukan sebarang kesilapan dan begitu juga kami. Sehingga keadaan menjadi mustahil untuk kami mengejar United, kami akan terus berjuang.”

Pengurus City, Mark Hughes pula sering membuat kenyataan gembira mendapat khidmat Robinho tapi dia dipercayai kecewa dengan prestasi pemain itu ketika bermain di gelanggang lawan.

Keutamaan Hughes ketika ini - jika khidmatnya masih diperlukan selepas tamat musim ini - ialah memperkuatkan benteng pasukan dengan Terry berada di tangga teratas senarai pemain yang ingin dibelinya selepas usaha memikat pertahanan England itu gagal sebelum ini.

City juga gagal mendapatkan pemain Valencia, David Villa, minggu ini, tapi kebimbangan utama Hughes sekarang ialah beraksi cemerlang pada baki musim ini ketika kelabnya cuba menamatkan saingan EPL dalam kelompok tujuh pasukan terbaik dan menamatkan kemarau 35 tahun menjulang Piala UEFA.

Tanpa Craig Bellamy, Nigel De Jongh dan Vincent Kompany yang tidak dapat diturunkan di Stamford Bridge, City mungkin menerima satu lagi pengajaran pahit bahawa wang tidak semestinya menjamin kemenangan.

Man United kekal terajui EPL

Liverpool berjaya rapatkan jurang mata dengan United

BABAK-babak menarik pertembungan dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan Liverpool di Old Trafford pada 14 Mac 2009 yang berakhir dengan kemenangan besar 4-1 milik anak buah Rafael Benitez.

Liverpool aibkan Man United di Old Trafford

Manchester United 1 Liverpool 4

LIVERPOOL mengejutkan peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris susulan kemenangan bergaya ke atas juara bertahan, Manchester United 4-1 malam tadi.

Apatah lagi kemenangan berkenaan dicatat di gelanggang keramat United di Old Trafford, sekali gus menyaksikan pemburuan gelaran EPL kembali terbuka apabila skuad bimbingan Rafael Benitez itu berjaya merapatkan jurang mata kepada empat berbanding perbezaan 10 mata jika The Reds tewas pada perlawanan paling dinanti-nantikan.

Ia adalah minggu yang sangat cemerlang buat Liverpool selepas kejayaan mengaibkan gergasi Sepanyol, Real Madrid 4-0 di Anfield pada saingan Liga Juara Eropah, Rabu lepas.

Kemenangan Liverpool sekurang-kurangnya memberikan sedikit harapan kepada pasukan bimbingan Rafeal Benitez untuk mencabar United yang sebelum ini dilihat tidak mempunyai tanda untuk mencicirkan sebarang mata dalam baki 10 perlawanan terakhir EPL.

Pada awalnya tuan rumah dilihat mampu meneruskan momentum kejayaan untuk melebarkan penguasaan di persada EPL apabila Cristiano Ronaldo memberikan gol awal buat United, namun kesilapan pemain pertahanan, Nemanja Vidic memberikan inspirasi buat The Reds untuk menguasai gelanggang pertarungan selepas itu.


Kecuaian Vidic nyata membawa padah apabila menyumbang kepada gol penyamaan pasukan pelawat menerusi penyerang sensasinya, Fernando Torres yang tenang menewaskan Edvin Van der Sar ketika berhadapan satu lawan satu dengan bekas penjaga gol utama Belanda itu pada minit ke-28.

Jaringan berkenaan nyata menaikkan semangat pemain-pemain Liverpool apabila menambah satu lagi gol menerusi ketua pasukan, Steven Gerrard untuk memperoleh kelebihan satu gol pada separuh masa.

Kubu United terus longlai di babak kedua yang menyaksikan anak buah Benitez menambah dua lagi gol sambil menyaksikan Vidic yang menjadi penyumbang kepada gol pertama, dibuang padang selepas dilayang kad merah pada minit ke-76.

Ia membawa kepada gol ketiga menerusi tendangan percuma Fabio Aurelio seminit selepas itu sebelum pemain gantian, Andrea Dossena melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool pada minit akhir perlawanan.

Liverpool kini berjaya memintas Chelsea untuk menghuni tangga kedua liga, dan The Blues boleh merampas kembali kedudukan mereka seandainya berjaya menewaskan Manchester City di Stamford Bridge malam ini.

Saturday, March 14, 2009

Liverpool atau United?

Pertembungan dua kelab gergasi England

KEJAYAAN menewaskan kelab besar seperti Real Madrid nyata memberikan momentum tambahan buat Liverpool untuk menjinakkan United di Old Trafford malam ini.

Malam ini, kelab dari Anfield itu bertandang ke Old Trafford dengan reputasi tinggi selepas membelasah Real 4-0 dalam saingan Liga Juara Eropah, Rabu lepas, seterusnya layak ke suku akhir dengan agregat 5-0.

Mereka akan berhadapan Manchester United, iaitu aksi yang ditunggu-tunggu oleh penyokong kedua-dua pasukan tersebut, apatah lagi ia bakal memberi kesan kepada pemburuan gelaran EPL buat kedua-dua pasukan.

Walaupun masih segar dengan kemenangan bergaya ke atas Real tetapi kehadiran mereka di Old Trafford membawa reputasi selaku pasukan yang menduduki tempat ketiga Liga Perdana England dan ketinggalan tujuh mata di belakang United.

Mereka sedar tugas sukar menanti mereka di Old Trafford tetapi Liverpool mengakui mereka sudah bersedia menghadapi aksi terhebat itu.

Mereka yakin memperoleh sesuatu daripada perlawanan itu sekiranya tampil dengan prestasi hebat seperti yang dipamerkan pada aksi menentang Real, Rabu lalu.

Mereka sedar bahawa Old Trafford adalah 'gelanggang maut' kepada pasukan pelawat tetapi mereka tidak gentar menghadapinya.

Berdasarkan prestasi ketika membelasah Real, Liverpool mampu menghadirkan masalah kepada United.

Pada aksi Liga Juara-Juara itu, semua posisi berfungsi dengan baik seolah-olah membawa petanda bahawa Liverpool memang sukar digugat.

United sebenarnya sudah sedar daripada awal kemampuan Liverpool.

Mereka juga tidak gentar kerana skuad bimbingan Alex Ferguson itu juga memiliki kemampuan yang agak luar biasa lebih-lebih lagi dengan kerakusan Wayne Rooney dan Criatiano Ronaldo yang semakin berbisa kebelakangan ini.

"Kami sudah membuktikan kepada semua bahawa United sukar dicantas.

"Pada awal saingan kami beraksi di bawah tahap sebenar tetapi sekarang keadaan sudah berubah dan sesiapa sahaja akan menjadi mangsa kami," kata Ferguson menjelang aksi genting itu.