Saturday, October 10, 2009

Piala Dunia B-20: Itali tersingkir, Ghana sekat Korea


GHANA mengetepikan wakil Asia, Korea Selatan dalam aksi penuh mendebarkan untuk mara ke separuh akhir kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2009 di Stadium Mubarak, Suez malam tadi.

Manakala Hungary memerlukan tambahan masa 30 minit untuk mengetepikan Itali dalam pertembungan sesama wakil Eropah yang menyaksikan empat layangan kad merah.

Korea yang menewaskan Paraguay 3-0 pada pusingan kedua, ketinggalan dua gol dalam tempoh setengah jam pertama menerusi Dominic Adiyiah (m-8) dan Ransford Osei (m-28). Kedua-dua gol hasil hantaran lintang dari kedua-dua belah sayap yang melepasi pertahanan Korea.

Bagaimanapun Korea berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Park Hee-Seong selepas menerima hantaran tinggi daripada Jeong Dong-Ho pada minit ke-31.

Kebangkitan yang cuba dijelmakan pemain Korea tidak kesampaian apabila Adiyiah menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga Ghana pada minit ke-78.

Sekali pun Korea cuba bangkit menerusi jaringan Kim Dong Sub empat minit kemudian, namun kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.


Pada satu lagi aksi suku akhir, Hungary menyingkirkan Itali 3-2 pada aksi yang berlanjutan ke masa tambahan 30 minit dan empat layangan kad merah, tiga daripadanya kepada pemain Itali.

Vladimir Koman membuka jaringan seawal minit kedua buat Hungary menerusi tendangan penalti, namun jaringan Antonio Mazzotta lapan minit sebelum masa sebenar tamat membolehkan Itali kembali bernafas untuk memaksa perlawanan dilanjutkan selama 30 minit.

Krisztian Nemeth menghadirkan keceriaan kepada kem Hungary apabila berjaya menembusi gawang Itali pada minit ke-112 namun permainan kembali mendebarkan apabila Giacomo Bonaventura berjaya menyamakan kedudukan hanya seminit selepas jaringan Nemeth.

Namun, Nemeth akhirnya muncul wira Hungary apabila menyumbat gol kedua peribadinya, tiga minit sebelum wisel penamat.

Dua lagi slot separuh akhir bakal ditentukan malam ini apabila pasukan pilihan, Brazil membuat perhitungan dengan Jerman manakala wakil Asia, UAE berdepan Costa Rica.

Keputusan Penuh Piala Dunia B-20
Jadual Piala Dunia B-20

No comments: