Wednesday, October 28, 2009

Kelantan hampiri final, N Sembilan menang tipis

INDRA Putra Mahayuddin menjaringkan gol ke-10 dalam kempen Piala Malaysia 2009 ketika membantu Kelantan menundukkan Perlis 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mohd Ke-IV malam tadi.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-22 melalui gerakan yang bermula daripada Che Hishamuddin Hassan yang melorong bola cantik kepada Indra yang melarikan bola ke kawasan kotak penalti.

Pemain pertahanan Perlis, Mazlizam Mohamad yang ditugaskan mengawal pergerakan Indra telah menjatuhkannya hingga memaksa pengadil perlawanan, Shokri Nor menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan.

Indra yang diberi tanggungjawab tersebut berjaya menggamatkan stadium untuk gol pembukaan tuan rumah.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan jaringan 1-0, pemain pertahanan Kelantan, Rizal Fahmi Rosid meledak gol kedua skuad Kijang pada masa kecederaan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan sekadar mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu.

Gol kemenangan Negeri Sembilan dihasilkan oleh Aidil Zafuan Abd Radzak yang berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-51.

Sekalipun Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hariri Mohd Safie diarah keluar padang kerana mengutip dua kad kuning pada minit ke-79, Negeri Sembilan gagal menggunakan kelebihan yang ada untuk menambah jaringan.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung pada Sabtu ini (31 Oktober) dengan Perlis dan Terengganu akan menjadi tuan rumah.

Monday, October 26, 2009

Liverpool menang bergaya ke atas Manchester United


LIVERPOOL akhirnya mengakhiri empat kekalahan berturut-turut dengan bergaya apabila menjadikan pendahulu carta Liga Perdana Inggeris, Manchester United sebagai mangsa kebangkitan di Anfield, lewat malam ini.

Dua jaringan masing-masing sumbang Fernando Torres (lihat video jaringan Torres) serta pemain gantian David Ngog membolehkan The Reds menang 2-0 dalam aksi yang penuh dengan ketegangan yang memaksa pengadil melayangkan dua kad merah, masing-masing kepada Nemanja Vidic (minit 89) dan Javier Mascherano (m-90 + 3).

Kemenangan malam ini membolehkan Liverpool kembali menghampiri kelompok empat pasukan teratas liga yang kini dipimpin Chelsea selepas skuad The Blues menang 5-0 ke atas Blackburn malam semalam.

United berada di tangga kedua dengan 22 mata, dua mata kurang daripada The Blues diikuti Tottenham (19 mata), Arsenal (18 - sebelum perlawanan malam ini) dan Liverpool sama mata dengan Arsenal.

Dalam pada itu Manchester City gagal mensia-siakan kelebihan dua jaringan apabila membenarkan Fulham bangkit mengikat kedudukan 2-2, juga dalam aksi yang berlangsung lewat malam ini.

Joleon Lescott meletakkan City di depan pada minit ke-54 sebelum Martin Petrov menambah satu lagi jaringan enam minit kemudian.

Namun Blackburn bangkit menerusi jaringan Damien Duff pada minit ke-62 dan Clint Dempsey minit ke-68.

Keputusan Perlawanan EPL

Sunday, October 25, 2009

Kelantan menang bergaya, mara ke separuh akhir

KELANTAN melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2009 selepas menundukkan KL Plus 3-0 dalam aksi suku akhir kedua malam ini untuk menang dengan aggregat 4-1.

Beraksi di gelanggang keramat, Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila pemain sensasinya Indra Putra Mahyuddin menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13 untuk gol pendahuluan tuan rumah.

Dua lagi gol skuad Kijang dijaringkan oleh penyerang, Mohd Norfarhan Mohamad pada minit ke-75 dan 78.

Piala Malaysia: Selangor tumbang di Terengganu

HASRAT juara Liga Super, Selangor untuk menyapu bersih semua kejohanan musim ini tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2009 selepas tewas 5-4 menerusi penentuan penalti di tangan pasukan dari Pantai Timur, Terengganu malam ini.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah terpaksa mengharungi 120 minit masa perlawanan sebelum dapat mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan 2-2 secara aggregat dalam waktu perlawanan sebenar.

Beraksi di gelanggang sendiri, Terengganu berjaya membuka tirai jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-12 tetapi pada minit ke-62 Selangor menyamakan kedudukan menerusi jaringan D Surendren.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1 dan tambahan masa 30 minit masih gagal menghasilkan gol menyebabkan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada Terengganu.

Monday, October 19, 2009

EPL: Manchester City gagal atasi Wigan

MANCHESTER City terlepas peluang untuk melonjakkan diri ke dalam kelompok empat pasukan teratas apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Wigan Athletic dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Beraksi di tempat lawan, City bagaimana pun lebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Charles N’Zogbia pada penghujung babak pertama.

Namun mereka hanya memerlukan seminit selepas babak kedua bermula untuk menyamakan kedudukan menerusi Martin Petrov.

Begitu pun harapan City untuk terus menekan Wigan dan menambah gol terencat apabila pemain pertahanan mereka, Pablo Zabaleta dibuang padang tidak lama selepas itu kerana menerima kad kuning kedua.

Pengadil, Alan Wiley terus mencuri tumpuan semalam berikutan keputusannya melayangkan kad merah kepada Zabaleta.

Sebelum ini, Wiley dikritik hebat pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson kerana dilihat kurang cergas di dalam padang ketika menentang Sunderland dua minggu lalu.

Tetapi semalam, keputusan Wiley memberikan kad kuning pertama kepada Zabaleta boleh dipertikaikan walaupun kad kuning kedua adalah tepat.

Saturday, October 17, 2009

EPL: Chelsea tersungkur di Villa Park


Aston Villa 2 Chelsea 1

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Chelsea tewas buat kali kedua musim ini selepas membiarkan Aston Villa bangkit untuk menang 2-1 dalam aksi EPL malam ini.

Kekalahan terbaru ini bakal memberi kelebihan buat pencabar terdekat, Manchester United untuk kembali merampas takhta EPL apabila juara bertahan itu berdepan Bolton di Old Trafford dalam perlawanan lewat malam ini.

Chelsea mendahului 1-0 menerusi jaringan Didier Drogba pada minit ke-15m namun Aston Villa bangkit menyamakan kedudukan menerusi Richard Dunne pada minit ke-32.

Di babak kedua tuan rumah menambah satu lagi gol kedua menerusi tandukan James Collins hasil sepakan penjuru pada minit ke-52 dan berjaya mengekalkan kedudukan sehingga tamat perlawanan.

Jika United menang ke atas Bolton, Chelsea terpaksa membiarkan musuh ketatnya itu memimpin liga sekali lagi.

Friday, October 16, 2009

Piala Dunia B-20: Brazil buru mahkota kelima


Final: BRAZIL vs GHANA (Stadium Antarabangsa Kaherah, 2.00 pagi esok)

KEJOHANAN Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun 2009 kini sampai ke kemuncaknya apabila dua jaguh dari benua berlainan akan membuat perhitungan pada aksi final malam ini (2 pagi esok).

Juara empat kali, Brazil yang mengetepikan Costa Rica pada aksi separuh akhir akan menentang Ghana dalam satu lagi buruan mahkota kejuaraan, selepas wakil Afrika itu menewaskan Hungary 3-2 dalam satu lagi saingan separuh akhir pada hari yang sama.

Pada aksi separuh akhir, Brazil menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Alan Kardec pada babak kedua.

Jurulatih Brazil, Rogerio Lourenco berkata dia lebih mengutamakan keputusan daripada perlawanan Selasa lepas dan bukan kualiti permainan.

“Apa yang pasti saya amat gembira dapat layak ke final. Tapi sudah pasti ada tekanan untuk menang dan sesiapa sahaja menjadi jurulatih Brazil akan menyedari hakikat ini,” katanya.

Sementara itu, Ghana akan cuba muncul negara Afrika pertama memenangi kejohanan itu, manakala Brazil bertekad menjulang gelaran buat kali kelima dalam final malam nanti.

Ghana pernah mara ke final sebanyak dua kali sepanjang kejohanan ini. Mereka tewas kepada Brazil pada aksi final 1993 dan sekali lagi berputih mata apabila tewas kepada Argentina pada 2001.

Thursday, October 15, 2009

Piala Dunia: 23 negara layak, 12 tunggu play-off

LIMA lagi pasukan kebangsaan menjadikan jumlah 23 negara telah berjaya melayakkan diri secara automatik ke Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas semua zon (kecuali zon Afrika) selesai melangsungkan aksi pusingan kelayakan.

Negara terbaru yang layak ialah bekas juara dua kali, Argentina dari Zon Amerika Selatan dan Honduras (CONCACAF) serta tiga negara dari Zon Eropah atau UEFA iaitu Denmark, Switzerland dan Slovakia.

(Imej menunjukkan senarai 23 negara yang telah layak ke Piala Dunia 2010 berdasarkan urutan ranking dunia FIFA bulan September 2009 - dalam kurungan -)

Enam lagi tiket pusingan akhir menjadi rebutan di kalangan 12 negara dari lima zon. Lapan negara terbabit ialah dari Zon Eropah iaitu Perancis, Portugal, Greece, Slovenia, Russia, Bosnia, Ukraine dan Ireland.

Satu perlawanan membabitkan Zon Asia-Oceania iaitu Bahrain dan New Zealand dan satu lagi membabitkan Zon Amerika Selatan-Amerika Utara (CONCACAF) iaitu Uruguay menentang Costa Rica.

Manakala tiga lagi tiket (automatik) ialah di kalangan negara Zon Afrika yang masih belum menyelesaikan aksi pusingan kelayakan.

Negara yang telah layak mengikut zon:

ZON EROPAH:

Belanda, England, Sepanyol, Jerman, Serbia, Itali, Denmark, Switzerland, Slovakia.

ZON ASIA:

Jepun, Australia, Korea Selatan, Korea Utara.

ZON AFRIKA:

Afrika Selatan (tuan rumah), Ghana, Ivory Coast.

AMERIKA SELATAN:

Brazil, Paraguay, Chile, Argentina.

AMERIKA UTARA:

Mexico, Amerika Syarikat, Honduras.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010

Piala Dunia: Argentina layak, Uruguay play-off


JUARA dunia dua kali, Argentina terselamat daripada mala petaka selepas jaringan tunggal Mario Bolatti di hujung perlawanan memastikan skuad bimbingan Diego Maradona itu menang tipis 1-0 ke atas Uruguay sekali gus layak beraksi secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kemenangan itu membolehkan Argentina menghuni tangga keempat carta kelayakan dengan mengumpul 28 mata iaitu kedudukan terakhir Zon Amerika Selatan untuk tiket automatik ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

Taktikal legenda bola sepak dunia itu sekali lagi menjadi apabila beliau membawa masuk Mario Bolatti menggantikan penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuain pada minit ke-79.

Penyerang tengah kelab Huracan di Argentina itu tidak mensia-siakan kepercayaan Maradona apabila menjaringkan gol kemenangan negaranya pada minit ke-84 untuk memastikan tiket ke Afrika Selatan berada dalam genggaman.

Bagi Uruguay pula, peluang untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia belum tertutup apabila satu lagi pasukan pencabar, Venezuela sekadar seri tanpa jaringan dengan Brazil sekali gus membuka peluang buat Uruguay untuk kekal di tangga kelima yang membawa mereka ke perlawanan play-off menentang pasukan tangga keempat Zon CONCACAF.

Keputusan penuh aksi kelayakan Piala Dunia 2010
Carta kedudukan kelayakan Piala Dunia mengikut zon

Denmark, Switzerland, Slovakia layak automatik ke Piala Dunia 2010

TIGA lagi negara Eropah melengkapkan kuota sembilan tiket automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas berakhirnya aksi kelayakan malam dan awal pagi tadi.

Denmark, Switzerland dan Slovakia mengiringi enam negara yang telah layak lebih awal diketuai juara bertahan, Itali, juara Eropah, Sepanyol serta Jerman, England, Belanda dan Serbia.

Empat lagi tiket menjadi rebutan antara lapan negara yang menduduki tangga kedua terbaik dalam sembilan kumpulan Eropah di mana akan ditentukan menerusi perlawanan play-off pada November depan.

Lapan negara yang perlu melalui perlawanan play-off untuk melayakkan diri ke Afrika Selatan tahun depan ialah Perancis, Portugal, Greece, Slovenia, Russia, Bosnia, Ukraine dan Republik Ireland.

Negara favorite yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia ialah Sweden, Republik Czech serta giant-killer EURO 2008, Turki.

Dalam aksi awal pagi tadi Portugal menewaskan Malta 4-0 untuk menduduki tangga kedua kumpulan A manakala juara EURO 2004, Greece menang 2-1 ke atas Luxembourg untuk berada di tangga kedua kumpulan B.

Ukraine pula membelasah Andorra 6-0 sekali gus mengetepikan Croatia yang menang 2-1 ke atas Kazakhstan untuk berada di tangga kedua dengan perbezaan hanya satu mata.

Sweden gagal memintas Portugal dalam saingan kumpulan satu, sekali pun menang 4-1 ke atas Albania setelah finalis EURO 2004 itu berkelebihan satu mata untuk merebut slot melalui perlawanan play-off.

Keputusan penuh aksi kelayakan Piala Dunia 2010
Carta kedudukan kelayakan Piala Dunia mengikut zon
18 Negara telah layak ke pusingan akhir Piala Dunia

Wednesday, October 14, 2009

Jadual Piala Malaysia 2009 - pusingan kalah mati

SAINGAN Piala Malaysia 2009 kini memasuki fasa kedua selepas aksi peringkat kumpulan berakhir malam tadi di mana lapan pasukan meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati yang akan bermula pada Selasa, 20 Oktober 2009.

Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor FC, KL Plus, Terengganu, Perlis dan KM Naza bakal membuat perhitungan untuk menentukan pasukan mana paling layak beraksi di pentas final yang dijadualkan pada Sabtu, 7 November 2009.

Pusingan pertama suku akhir dijadual pada Selasa, 20 OKtober manakala perlawanan timbal balik kedua akan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober.

Peringkat separuh akhir pula dijadual pada Selasa, 27 Oktober 2009 perlawanan kedua pada Sabtu, 31 Oktober 2009.

Perlawanan akhir atau aksi final Piala Malaysia 2009 pada awalnya dijadualkan pada 21 November tetapi telah dipercepatkan ke Sabtu, 7 November 2009.

Ia bertujuan untuk memberi ruang lebih luas kepada skuad bola sepak kebangsaan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2011 dan Sukan SEA 2009 di Laos.

Jadual penuh pusingan suku akhir, separuh akhir dan final Piala Malaysia 2009 (klik link di bawah):

Jadual Suku Akhir Pertama
Jadual Suku Akhir Kedua

Jadual Separuh Akhir Pertama (akan dikemaskini kemudian)
Jadual Separuh Akhir Kedua (akan dikemaskini kemudian)

Jadual Final Piala Malaysia 2009 (akan dikemaskini kemudian)

Piala Dunia B-20: Brazil, Ghana mara ke final


JARINGAN tunggal Alan Kardec pada minit ke-67 sudah mencukupi buat juara Amerika Selatan, Brazil untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia B-20 2009 selepas menundukkan Costa Rica 1-0 di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, awal pagi ini.

Kemenangan itu membolehkan Brazil bertemu Ghana di pentas final selepas wakil Afrika itu menundukkan Hungary 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal malam tadi.

Brazil memenangi 70 peratus penguasaan bola dalam perlawanan berkenaan dengan melakukan 19 percubaan berbanding 12 dilakukan Costa Rica.

Dalam aksi lebih awal, Dominic Adiyiah sekali lagi muncul watak pemusnah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-10 dan 31 untuk membantu Ghana mengatasi Hungary 3-2.

Hungary cuba bangkit menerusi jaringan Marko Futacs pada minit ke-73 namun segera dibalas Abeiku Quansah pada minit ke-81 untuk kedudukan 3-1 sebelum Adam Balajti menjaringkan gol kedua Hungary tiga minit kemudian.

Saingan 8 pasukan terakhir & jadual suku akhir Piala Malaysia 2009

SELEPAS perlawanan malam tadi, lapan pasukan yang layak ke suku akhir saingan bola sepak Piala Malaysia 2009 ialah KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor, Kelantan, Perlis, Terengganu dan KM Naza.

Bagi Kumpulan A, KL Plus muncul juara biarpun mereka tewas 0-1 kepada Perlis pada aksi di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

Satu lagi perlawanan kumpulan tersebut menyaksikan Pahang membelasah Melaka 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Negeri Sembilan pula sah sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tatkala Johor membelasah Sarawak 5-0 di Johor Bahru.

Selangor pula yang sudah sah sebagai juara Kumpulan D tewas 2-3 kepada KM Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala PDRM terikat 2-2 dengan Sabah di Selayang.

Satu lagi pasukan, Perak biarpun muncul naib juara Kumpulan C turut terkeluar selepas menamatkan saingan dengan mengumpul 11 mata.

Perak mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium Perak, Ipoh sekali gus membolehkan Johor FC muncul juara Kumpulan C.

UPB-MyTeam pula mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Juara bertahan, Kedah gagal menjadi tiga pasukan tempat kedua terbaik di kalangan lima kumpulan apabila slot itu berjaya diisi naib juara Kumpulan A, Perlis (13 mata), naib juara Kumpulan B, Terengganu (12 mata) dan naib juara Kumpulan D, Kuala Muda Naza (12 mata).

Kejayaan membelasah Pulau Pinang 4-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam tadi sekadar menyaksikan Kedah mengumpul 10 mata untuk muncul naib juara Kumpulan E di belakang Kelantan yang mengumpul 15 mata selepas membelasah ATM 5-0 di Kota Bharu.

Perlawanan suku akhir bakal berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 24 Oktober ini.

Lihat Jadual Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2009
Lihat Jadual Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2009

Tuesday, October 13, 2009

Piala Malaysia 2009 tanpa juara bertahan


EMPAT lagi pasukan mengesahkan kemaraan mengiringi Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan KL Plus ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2009 selepas aksi terakhir peringkat kumpulan berlangsung malam ini.

Juara bertahan, Kedah terpaksa menerima hakikat gagal menempatkan diri di kalangan empat pasukan terakhir yang layak sekali pun mencatat kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang malam ini.

Empat pasukan terakhir yang layak ialah Johor FC, Perlis, Terengganu dan KM Naza. Perlis mara selaku naib juara kumpulan A selepas menang tipis 1-0 ke atas KL Plus untuk berkongsi mata dengan lawannya itu tetapi terpaksa akur di tangga kedua berdasarkan kelebihan jaringan memihak KL Plus..

Johor FC pula mara selepas mengikat Perak 1-1 yang memberi kelebihan kepada Johor FC untuk muncul juara kumpulan C manakala Perak tersingkir dari saingan. Terengganu pula bernasib baik apabila berjaya menempatkan diri di kalangan kelompok lapan pasukan terakhir sekali pun tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan.

Piala Malaysia: KM Naza mara, Kedah & Perak tersingkir


PENYANDANG juara, Kedah gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu apabila tersingkir dari saingan suku akhir sekali pun menumpaskan Pulau Pinang 4-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan malam ini.

Kemenangan malam ini bagaikan tidak membawa sebarang makna buat Kedah apabila mata yang dipungut tidak mencukupi untuk mencul sekurang-kurangnya di kalangan tiga pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik daripada lima kumpulan.

Selepas enam perlawanan, Kedah hanya mampu mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, seri sekali dan kalah dua kali.

Tiga pasukan yang menduduki tangga kedua terbaik dalam kumpulan ialah Perlis (13 mata), Terengganu (12 mata) dan KM Muda (12 mata).

Lima pasukan yang muncul selaku juara kumpulan pula ialah KL PLus(A), Negeri Sembilan (B), Johor FC (C), Selangor (D) dan Kelantan (E).

Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009

Piala Dunia B-20: Brazil, Costa Rica rebut tiket final

TEMPOH 120 saat berbaki perlawanan, pemain-pemain Jerman sudah mencongak yang mereka sudah melangkah ke separuh akhir, namun siapa sangka muncul watak pemusnah dalam tempoh berkenaan, mengakhiri harapan juara Eropah itu.

Masuk sebagai pemain gantian ketika itu, Maicon menjaring dua gol untuk memastikan cabaran jaguh Amerika Selatan, Brazil belum berakhir di Kejohanan Piala Dunia B-20 di Kaherah, Mesir.

Malam ini, kelibat pemain kelab Fluminense itu pasti tumpuan sekali lagi apabila Brazil melayani Costa Rica, untuk memburu tiket ke final yang dijadual Jumaat ini.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan wakil Afrika, Ghana menentang Hungary.

Jadual Piala Dunia B-20
Keputusan Penuh Piala Dunia B-20

Piala Malaysia: Kelantan tetap buru mata penuh lawan ATM

KELANTAN vs ATM (Stadium Sultan Mohd Ke-IV, 8.45 malam)

APA saja keputusan perlawanan menentang ATM malam ini tidak akan mengubah status Kelantan sebagai juara kumpulan E, namun pasukan bergelar 'The Red Warriors' atau Wira Merah itu tetap akan menurunkan kesebelasan utamanya.

Dengan status sebagai juara kumpulan, Kelantan secara automatik layak ke suku akhir yang dijadual Selasa depan (20 Oktober 2009).

Walaupun sudah layak ke suku akhir, pasukan Wira Merah menganggap perlawanan menentang ATM di Kota Bharu malam ini adalah pertembungan penting kerana ia sebahagian daripada persediaan menghadapi suku akhir minggu depan.

Skuad utama Kelantan bebas daripada masalah kecederaan dan pemain utamanya bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

Selepas merehatkan barisan utama ketika perlawanan menentang Kedah baru-baru ini yang berakhir dengan kekalahan, Kelantan masih mahu memburu kemenangan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berharap kepada penyokong pasukan itu supaya dapat hadir ke perlawanan malam ini untuk memberi sokongan padu kepada Sang Kijang.

Selain itu beliau menasihatkan supaya peminat tempatan tidak terlalu ghairah ketika menonton perlawanan sehingga berlakunya perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan perlawanan.

Jadual Penuh Perlawanan Malam Ini (13 Oktober)
Carta Kedudukan Terkini Piala Malaysia 2009

Piala Malaysia: KM Naza harap ihsan Selangor

KM NAZA vs SELANGOR (Stadium Darul Aman, 8.45 malam)

JIKA juara bertahan, Kedah memerlukan keajaiban untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia 2009, satu lagi pasukan dari negeri Jelapang Padi itu, Kuala Muda Naza (KM Naza) seakan mempunyai nasib sama apabila perlu menumbangkan Selangor untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga kedua terbaik.

Begitu KM Naza perlu bersaing sengit untuk merebut salah satu daripada tiga slot selaku naib juara kumpulan terbaik.

KM Naza kini hanya mengutip sembilan mata di belakang Selangor dalam Kumpulan D berbanding pasukan lain seperi Perlis dan Perak (10 mata) serta Terengganu (12).

Pasukan Penyu itu hanya perlukan seri untuk mengesahkan laluan ke suku akhir dan jika Perak mampu menundukkan Johor FC di Ipoh malam ini, KM Naza perlu menewaskan Selangor dengan jaringan besar untuk meraih kedudukan kedua terbaik.

Manakala Perlis turut berdepan halangan sukar kerana perlu menghadapi pendahulu kumpulan A, KL Plus di tempat lawan malam ini sebelum mencongak untuk mengisi slot lapan pasukan terbaik saingan Piala Malaysia 2009.

Selain Selangor, empat pasukan yang telah layak ke saingan suku akhir lebih awal ialah Kelantan (kumpulan E), KL Plus (kumpulan A) dan Negeri Sembilan (Kumpulan B).

Dengan empat lagi slot ke suku akhir menjadi rebutan, aksi perlawanan malam ini tentunya menjanjikan saingan sengit antara enam pasukan iaitu Perlis, Terengganu, Johor FC, Perak, KM Naza dan Kedah.

Jadual Penuh Perlawanan Malam Ini (13 Oktober)
Carta Kedudukan Terkini Piala Malaysia 2009

Piala Malaysia: Johor FC, Perak bersaing rebut tiket suku akhir

PERAK vs JOHOR FC (Stadium Perak, 8.45 malam)

KETIKA KL Plus sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir, dua lagi pasukan bertaraf kelab, Johor FC dan Kuala Muda Naza bertekad untuk turut mara ke kelompok lapan pasukan terakhir Piala Malaysia musim ini.

Dua pasukan kelab terbabit masih mempunyai peluang untuk mengisi slot ke suku akhir terutama Johor FC yang kini mendahului Perak dengan 12 mata dalam kumpulan C.

Begitupun laluan KM Naza dan Johor FC pada perlawanan hari ini tidak mudah.

Status pendahulu Kumpulan C bukan jaminan Johor FC mudah ke suku akhir apatah lagi lawan mereka hari ini ialah pencabar terdekat, Perak.

Lebih menyukarkan laluan, Johor FC beraksi di laman lawan di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Jika pun tewas, Johor FC masih mempunyai harapan untuk sekurang-kurangnya muncul salah satu daripada tiga pasukan terbaik di tangga kedua kumpulan.

Jika kalah, Perak akan memintas kedudukan Johor FC, sekali gus terpaksa menyandarkan peluang berdasarkan keputusan pasukan di tempat kedua dalam kumpulan lain.

Jadual Penuh Perlawanan Malam Ini (13 Oktober)
Carta Kedudukan Terkini Piala Malaysia 2009

Monday, October 12, 2009

Kelayakan Piala Dunia: Bolivia calar rekod Brazil


BERAKSI tanpa perancang utama, Kaka dan penyerang, Luis Fabiano telah mencalarkan rekod tanpa kalah Brazil dalam 19 perlawanan, termasuk 11 kemenangan berturut-turut apabila juara dunia lima kali itu tewas 1-2 kepada Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan yang tidak memberi apa-apa makna kepada kedua-dua pasukan.

Sebelum turun gelanggang, Brazil sudah pun layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan, manakala Bolivia telah tersingkir daripada persaingan.

Menariknya, kali terakhir Brazil tewas juga dalam aksi kelayakan Piala Dunia iaitu ketika menentang Paraguay pada Jun 2008. Brazil kalah 2-0 dalam perlawanan berkenaan.

Edgar Olivares menanduk masuk tendangan sudut pada minit ke-10 dan Marcelo Martins menambah kelebihan tuan rumah di Stadium Hernando Siles pada minit ke-30 dengan melencongkan sepakan percuma mengatasi benteng pertahanan dan di luar jangkauan penjaga gol Brazil, Julio Cesar.

Brazil mencipta banyak peluang sebelum menemui gawang pada minit ke-70 apabila Maicon memintas sepakan percuma Bolivia dalam kawasan Brazil untuk serangan balas pantas yang disudahi Nilmar dengan tandukan cantik.

Brazil yang tidak pernah menang di La Paz sejak 1997, kekal di tangga teratas sekali pun berkongsi dengan Paraguay dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan dengan 33 mata dan baki satu perlawanan dengan Venezuela Rabu (pagi Khamis) ini.

Manakala Bolivia berada di tangga kedua terbawah selepas hanya memungut 15 mata daripada 17 perlawanan. Satu-satunya kemegahan buat Bolivia ialah selain berjaya menewaskan Brazil, mereka juga menang ke atas Argentina dan Paraguay dalam aksi kelayakan Amerika Selatan itu.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

Sunday, October 11, 2009

Piala Dunia: Brazil tetap turunkan barisan terkuat

TANPA sebarang tekanan, Brazil akan menurunkan sepasukan pemain terbaik yang mampu menangani keadaan tanah tinggi ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Bolivia di La Paz, pagi esok (Isnin).

Brazil yang kini mendahului kumpulan kelayakan Zon Amerika Selatan dengan 33 mata, telah pun layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan, sebaliknya Bolivia yang berada di tangga kedua terbawah sudah pun tersingkir dari persaingan.

Dunga belum menamakan kesebelasan utama tetapi memberi bayangan dia mungkin melindungi pemain seperti kapten, Gilberto Silva, pemain perancang, Kaka dan penjaring utama, Luis Fabiano daripada keadaan udara nipis di Stadium Hernando Siles di ketinggian 3,600 meter dari aras laut.

Luco, Juan dan Robinho yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesakitan otot, juga mungkin terlepas perlawanan itu.

"Mereka yang punya daya ketahanan tinggi akan beraksi," kata Dunga kepada wartawan di pusat latihan Brazil di Teresopolis.

"Kami ada 22 pemain dalam skuad ini. Tiada pemain pilihan utama atau pun simpanan. Kami akan berbincang dengan pemain malam nanti untuk memutuskan barisan pemain...kami mungkin menukar dua atau tiga pemain tanpa mengubah perwatakan pasukan ini," katanya.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

Piala Dunia B-20: Jerman akur kebangkitan Brazil


BRAZIL memerlukan sentuhan pemain gantian, Maicon untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Bawah 20, menewaskan juara Eropah, Jerman 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi tadi.

Maicon masuk menggantikan Boquita pada minit ke-77 ketika Brazil ketinggalan 0-1 hasil jaringan Lewis Holtby empat minit sebelum Maicon di bawa masuk.

Holtby berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-73 selepas menanduk masuk hantaran tinggi Semih Aydilek yang gagal dihalang penjaga gol Brazil, Rafael.

Begitu pun dua minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat, Maicon berjaya mencelah di antara tiga pemain Jerman sebelum melepaskan rembatan dalam kawasan penalti untuk menewaskan Robert Zieler.

Tidak sampai seminit masa tambahan bermula, Maicon sekali lagi menghukum kelekaan pertahanan Jerman yang gagal mengeluarkan bola tinggi dari tengah padang sebelum disambar Maicon untuk jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan itu sekali gus membawa Brazil ke kelompok empat pasukan terakhir.

Keputusan Penuh Piala Dunia B-20
Jadual Piala Dunia B-20

Piala Dunia: 18 negara telah layak ke Afrika Selatan

HANYA Zon Asia dan Oceania yang telah menamatkan saingan kelayakan Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kebanyakan lain-lain zon hanya tinggal satu perlawanan untuk ditamatkan. Bagaimanapun sebanyak 18 negara daripada 32 slot pusingan akhir sudah pun melayakkan diri ke Afrika Selatan tahun depan.

Negara yang telah layak mengikut zon:

ZON EROPAH:

Belanda, England, Sepanyol, Jerman, Serbia, Itali.

ZON ASIA:

Jepun, Australia, Korea Selatan, Korea Utara.

ZON AFRIKA:

Afrika Selatan (tuan rumah), Ghana, Ivory Coast.

AMERIKA SELATAN:

Brazil, Paraguay, Chile.

AMERIKA UTARA:

Mexico, Amerika Syarikat.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

Piala Dunia: Itali, Jerman sahkan tempat ke Afrika


GOL pada minit ke-90 daripada penyerang gantian, Alberto Gilardino membantu juara bertahan, Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas mengikat tuan rumah, Ireland 2-2, pada aksi kelayakan yang berlangsung awal pagi tadi.

Tiga minit sebelum itu, Ireland hampir mencatatkan kemenangan mengejut 2-1 menerusi tandukan terbang Sean St Ledger sebelum Gilardino mengarah bola melewati penjaga gawang Shay Given.

Pemain tengah Ireland, Glenn Whelan meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit kelapan sebelum Mauro Camoranesi menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Ireland akan menamatkan pusingan kelayakan di tempat kedua Kumpulan 8 selepas perlawanan dengan Montenegro Rabu ini manakala Itali menutup saingan kelayakan dengan menunggu kehadiran Cyprus.


Sementara itu, Miroslav Klose pada separuh masa pertama membawa Jerman ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 selepas menang tipis 1-0 ke atas Russia dalam aksi kelayakan Zon Eropah, malam tadi.

Pemain tengah itu memanfaatkan peluang untuk membocori gol lawan pada minit ke-35 menerusi hantaran Mehut Ozil yang mengelirukan penjaga gol Russia, Igor Akenfeyev. Ia adalah jaringan Klose ke-50 untuk pasukan kebangsaannya.

Jerman kini memungut 25 mata selepas menang lapan dan seri sekali untuk menduduki tangga teratas kumpulan diikuti Russia (21 mata).

Russia boleh melayakkan diri ke Afrika Selatan jika menang dalam perlawanan 'play-off'.

Juara setiap kumpulan Zon Eropah layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 manakala lapan pasukan tempat kedua terbaik daripada sembilan kumpulan akan berentap dalam perlawanan 'play-off' untuk merebut empat tempat terakhir ke Afrika Selatan.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

Piala Dunia: Gol Palermo hidupkan peluang Argentina, perlu atasi Uruguay untuk layak


ARGENTINA menarik nafas lega apabila jaringan Martin Palermo pada minit ketiga masa tambahan membolehkan juara dunia dua kali itu menewaskan Peru 2-1 di gelanggang sendiri dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2010, pagi ini.

Sebelum itu pasukan bimbingan Diego Maradona terpaku apabila Hernan Rengifo, menyamakan kedudukan buat pelawat ketika perlawanan masa sebenar berbaki 20 saat selepas penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuain meletakkan Argentina di depan pada minit ke-48 menerusi rembatan dari jarak enam meter.

Palermo menyumbat gol dari jarak dekat dalam serangan minit terakhir ketika padang becak akibat hujan lebat.

Sebaik menjaringkan gol kemenangan tersebut, Palermo mengoyak bajunya dan mengangkat tangan ke langit untuk meraikan golnya itu di Stadium Peringatan River Plate.

Begitu pun nasib Argentina untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan masih belum terjamin apabila musuh ketatnya, Uruguay yang turut mengintai, menewaskan Ecuador 2-1 di tempat lawan, juga menerusi jaringan minit-minit akhir perlawanan apabila Diego Forlan berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Kemenangan Uruguay bermakna Argentina hanya satu mata di depan pasukan itu di tangga keempat, iaitu kedudukan terakhir untuk layak secara automatik.

Ecuador di tangga keenam, dua mata di belakang Argentina.

Nasib Argentina akan ditentukan pada perlawanan Rabu ini menentang Uruguay, di mana pasukan yang menang secara automatik layak ke Afrika Selatan tahun depan.

Jika seri, tiket play-off menentang pasukan tangga keempat zon CONCACAF telah pun terjamin buat Argentina, namun seandainya tewas skuad kedudukan Argentina akan ditentukan menerusi keputusan perlawanan Ecuador-Chile.

Chile muncul pasukan ketiga dari Zon Amerika Selatan selepas Brazil dan Paraguay yang telah mengesah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Colombia 4-2 dalam satu lagi aksi yang berlangsung pagi tadi.

Manakala Colombia terkeluar dari persaingan merebut tempat ke Afrika Selatan.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

Saturday, October 10, 2009

Piala Malaysia: KL Plus mara suku akhir

KL PLUS mengiringi Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2009 selepas kemenangan 4-0 ke atas Melaka malam ini telah menjamin sekurang-kurangnya tempat kedua terbaik daripada lima kumpulan.

Mengikut format Piala Malaysia 2009, juara setiap kumpulan layak secara automatik ke peringkat lapan pasukan terbaik manakala baki tiga tempat lagi diisi oleh pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik daripada lima kumpulan yang bersaing.

Setakat ini Kelantan dan Selangor telah sah sebagai juara Kumpulan E dan D setelah tidak mampu lagi dicabar mana-mana pasukan dalam kumpulan masing-masing.

Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor terikat 2-2 dengan PDRM, namun kejayaan memungut satu mata sudah memadai buat juara Liga Super itu untuk menjuarai Kumpulan D dengan mengumpul 13 mata.

Kuala Muda Naza berada di tangga kedua dengan sembilan mata, namun tempat ke suku akhir masih belum terjamin buat pasukan itu.

Begitu juga Kelantan yang sah muncul juara Kumpulan E walau pun tewas 0-1 di tangan Kedah malam ini. Begitu pun nasib Sang Kenari masih tidak menentu sekali pun berjaya memungut tiga mata penuh setelah hanya mampu mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.

Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009

Piala Dunia B-20: Itali tersingkir, Ghana sekat Korea


GHANA mengetepikan wakil Asia, Korea Selatan dalam aksi penuh mendebarkan untuk mara ke separuh akhir kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2009 di Stadium Mubarak, Suez malam tadi.

Manakala Hungary memerlukan tambahan masa 30 minit untuk mengetepikan Itali dalam pertembungan sesama wakil Eropah yang menyaksikan empat layangan kad merah.

Korea yang menewaskan Paraguay 3-0 pada pusingan kedua, ketinggalan dua gol dalam tempoh setengah jam pertama menerusi Dominic Adiyiah (m-8) dan Ransford Osei (m-28). Kedua-dua gol hasil hantaran lintang dari kedua-dua belah sayap yang melepasi pertahanan Korea.

Bagaimanapun Korea berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Park Hee-Seong selepas menerima hantaran tinggi daripada Jeong Dong-Ho pada minit ke-31.

Kebangkitan yang cuba dijelmakan pemain Korea tidak kesampaian apabila Adiyiah menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga Ghana pada minit ke-78.

Sekali pun Korea cuba bangkit menerusi jaringan Kim Dong Sub empat minit kemudian, namun kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.


Pada satu lagi aksi suku akhir, Hungary menyingkirkan Itali 3-2 pada aksi yang berlanjutan ke masa tambahan 30 minit dan empat layangan kad merah, tiga daripadanya kepada pemain Itali.

Vladimir Koman membuka jaringan seawal minit kedua buat Hungary menerusi tendangan penalti, namun jaringan Antonio Mazzotta lapan minit sebelum masa sebenar tamat membolehkan Itali kembali bernafas untuk memaksa perlawanan dilanjutkan selama 30 minit.

Krisztian Nemeth menghadirkan keceriaan kepada kem Hungary apabila berjaya menembusi gawang Itali pada minit ke-112 namun permainan kembali mendebarkan apabila Giacomo Bonaventura berjaya menyamakan kedudukan hanya seminit selepas jaringan Nemeth.

Namun, Nemeth akhirnya muncul wira Hungary apabila menyumbat gol kedua peribadinya, tiga minit sebelum wisel penamat.

Dua lagi slot separuh akhir bakal ditentukan malam ini apabila pasukan pilihan, Brazil membuat perhitungan dengan Jerman manakala wakil Asia, UAE berdepan Costa Rica.

Keputusan Penuh Piala Dunia B-20
Jadual Piala Dunia B-20

Thursday, October 8, 2009

Piala Dunia B-20: Brazil, UAE ke suku akhir


BRAZIL menjaringkan tiga gol dalam tempoh sembilan minit untuk menundukkan pasukan sebenua, Uruguay 3-1 dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Piala Dunia FIFA bawah 20 tahun, malam tadi.

Kemenangan berkenaan membolehkan pasukan Amerika Selatan itu mengiringi Itali, Korea Selatan, Ghana, Costa Rica, Hungary dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke peringkat suku akhir kejohanan kali ini yang berlangsung di Mesir.

Satu lagi slot suku akhir menjadi rebutan antara Jerman dan Nigeria yang akan membuat perhitungan awal pagi nanti. Manakala tuan rumah, Mesir terkandas di pusingan kedua selepas tewas 0-2 di tangan Costa Rica, semalam.

Dalam pertarungan antara dua wakil Amerika Selatan itu, Brazil memperoleh gol pertama menerusi Alan Kardec pada minit ke-22. Dua lagi gol Brazil dijaringkan Alex Teixeira pada minit ke-24 dan 31.

Gol sagu hati Uruguay pula dijaringkan Jonathan Urretaviscaya pada minit ke-36.

Di peringkat suku akhir nanti, Brazil akan menentang pemenang antara Jerman dan Nigeria untuk merebut tempat ke separuh akhir, Sabtu nanti.

Keputusan Penuh Piala Dunia B-20
Jadual Piala Dunia B-20

Tuesday, October 6, 2009

Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan ke suku akhir


SELANGOR, Kelantan dan Negeri Sembilan menepati ramalan awal apabila berjaya menempah slot ke suku akhir selepas memenangi perlawanan masing-masing untuk memungut mata maksimum daripada empat perlawanan peringkat kumpulan.

Di STADIUM SHAH ALAM, Selangor menundukkan Sabah 4-1 sekali gus kekal sebagai pendahulu kumpulan D, manakala Kelantan menewaskan Pulau Pinang 2-1 di STADIUM SULTAN MOHD KE-IV untuk memimpin kedudukan kumpulan E.

Sementara di STADIUM TUANKU ABDUL RAHMAN, Paroi, Negeri Sembilan turut berjaya mengutip tiga mata penuh walau pun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Johor bagi mengungguli saingan kumpulan B..

Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009

Piala Malaysia: Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan intai slot suku akhir

SEPULUH perlawanan Piala Malaysia berlangsung malam ini dengan tiga pasukan menjadi tumpuan selepas mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam tiga aksi peringkat kumpulan setakat ini.

Juara Liga Super, Selangor serta Kelantan dan Negeri Sembilan berjaya mengumpul sembilan mata maksimum selepas memenangi kesemua perlawanan kumpulan masing-masing dan jika berjaya mengutip tiga mata penuh malam ini tiket ke suku akhir sudah terjamin buat pasukan terbabit.

Menariknya semua tiga pasukan terbabit menjadi tuan rumah kepada lawan masing-masing yang dilihat peluang cerah untuk mengutip tiga mata penuh.

Selangor menanti kunjungan Sabah di Stadium Shah Alam, Kelantan melayani Pulau Pinang di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu manakala Negeri Sembilan menjadi tuan rumah kepada Johor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Perlawanan lain yang turut menarik perhatian ialah pertemuan antara Terengganu menentang Sarawak di Stadium Sultan Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ketika ini Terengganu bersaing dengan Negeri Sembilan untuk mendahului kumpulan B manakala Sarawak masih belum memungut sebarang mata selepas tewas ketiga-tiga perlawanan.

Aksi Kumpulan A pula lebih terbuka dengan KL Plus FC mendahului Perlis dengan perbezaan satu mata manakala Pahang turut mengintai peluang untuk mara ke suku akhir.

Jadual Piala Malaysia
Carta Kumpulan Piala Malaysia 2009

EPL: City bangkit ikat Aston Villa


Manchester City 1 Aston Villa 1

MANCHESTER City gagal menundukkan Aston Villa dalam aksi di Villa Park awal pagi tadi, namun keputusan seri 1-1 membolehkan kelab itu menduduki kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Satu mata dipungut di Villa Park bermakna City memintas Arsenal dan Liverpool untuk berada di tangga keempat liga di belakang Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspurs.

Dalam aksi awal pagi tadi itu, bekas pertahanan City, Richard Dunne meletakkan Villa di depan hasil sepakan sudut Stephen Warnock sebaik permainan bermula 15 minit.

City bagaimanapun bingkas bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang Craig Bellamy pada minit ke-67 hasil hantaran Emmanuel Adebayor, yang kembali bermain selepas menerima hukuman penggantungan tiga perlawanan.

City mengumpul 16 mata, sama dengan Tottenham Hotspur tetapi di belakang kelab London itu dengan perbezaan gol.

Carta EPL Terkini
Keputusan Perlawanan EPL

Piala Dunia B-20: Itali, Korea mara ke Suku Akhir


ITALI mengejutkan Sepanyol apabila menewaskan lawan yang terpaksa bermain 10 orang itu 3-1 pada aksi pusingan kedua kalah mati untuk mara ke Suku Akhir Kejohanan Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun, di Kaherah malam tadi.

Sepanyol yang dilabel pasukan pilihan selepas menjuarai Kumpulan B dengan rekod 19 gol tanpa bolos sebarang jaringan daripada tiga perlawanan awal mula goyah apabila Alberto Botio dilayang kad merah pada minit ke-28.

Namun Itali gagal menembusi gawang Sepanyol sehingga berakhir permainan babak pertama.

Bagaimanapun kekebalan benteng Sepanyol akhirnya roboh apabila Mattia Mustacchio berjaya menewaskan Sergio Asenjo 10 minit selepas babak kedua bersambung diikuti jaringan kedua menerusi Andrea Mazzarani enam minit kemudian.

Aaron Niguez berjaya menghidupkan peluang Sepanyol selepas berjaya menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-66, namun Mustacchio berjaya mematahkan kebangkitan skuad The Matador itu apabila sekali berjaya menewaskan Asenjo untuk gol kedua peribadi dan ketiga Itali.

Di peringkat Suku Akhir nanti, Itali akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pasukan sebenua, Ghana dan Afrika Selatan.

Sementara itu wakil tunggal Asia, Korea Selatan berjaya meneruskan saingan ke peringkat Suku Akhir selepas mengejutkan Paraguay 3-0.

Kesemua jaringan gol Korea dijaringkan pada babak kedua menerusi Kim Bo Kyung pada minit ke-55 dan dua jaringan daripada Kim Min Woo (m-60 dan 70).

Keputusan Penuh Piala Dunia B-20

Sunday, October 4, 2009

EPL: Chelsea tewaskan Liverpool, rampas kembali tangga teratas liga


Keputusan Penuh: Chelsea 2 Liverpool 0

CHELSEA kembali merampas tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan musuh ketatnya, Liverpool 2-0 dalam aksi sengit yang berlangsung di Stamford Bridge lewat malam ini.

Sebagaimana diduga pertemuan dua musuh ketat itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada satu pun yang mampu menghasilkan jaringan pada babak pertama.

Dua gol pada babak kedua menerusi jaringan daripada Nicolas Anelka dan pemain gantian, Florent Malouda membolehkan The Blues mengumpul 21 mata untuk berada di tangga teratas liga, dua mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester United yang sekadar seri 2-2 dengan Sunderland dalam perlawanan semalam.

Chelsea memperoleh gol pertama pada minit ke-60 selepas perebutan bola di kawasan tengah padang sebelum disambut Joe Cole yang bertindak pantas melorong bola kepada Drogba di sebelah kiri.

Penyerang Ivory Coast itu kemudiannya melepaskan umpanan bola tinggi yang pantas disambut Anelka dalam kotak penalti untuk gol pertama tuan rumah.

Gol kedua juga hasil gerakan lincah daripada Drogba, kali ini dari arah sebelah kanan yang berjaya memberi umpanan untuk disempurnakan oleh Florent Malouda pada minit ke-90.

Kekalahan kali ini semakin menyukarkan usaha The Reds untuk bersaing merapatkan jurang mata dengan Chelsea dan United di persada liga. Ia adalah kekalahan ketiga buat The Reds dalam saingan liga setakat ini.

----

HILARIO diturunkan menggantikan Petr Cech yang digantung akibat kad merah yang diterima ketika tewas menentang Wigan minggu lalu. Di bahagian depan Carlo Ancelotti menggandingkan Nicolas Anelka bersama Didier Drogba.

Fernando Torres pula turun selaku penyerang tunggal dengan bantuan kapten, Steven Gerrard dan Dirk Kuyt serta Alberto Reira.

CHELSEA: Henrique Hilario, John Terry, Ricardo Carvalho, Ashley Cole, Branislav Ivanovic, Deco, Michael Essien, Frank Lampard, Michael Ballack, Didier Drogba, Nicolas Anelka.

LIVERPOOL: Pepe Reina, Jamie Carragher, Martin Skrtel, Emiliano Insua, Glen Johnson, Lucas, Javier Mascherano, Alberto Riera, Dirk Kuyt, Fernando Torres, Steven Gerrard.

Carta EPL Terkini
Keputusan Perlawanan EPL

EPL: Arsenal tewaskan Blackburn 6-2

Keputusan Penuh: Arsenal 6 Blackburn 2

KEMASKINI: Arsenal menambah tiga lagi gol pada babak kedua untuk menundukkan Blackburn Rovers 6-2 dalam aksi yang didominasi sepenuhnya oleh tuan rumah. Tiga gol pada babak kedua masing-masing dijaringkan oleh Cesc Fabregas (m-57) Theo Walcott (m-75) dan Nicklas Bendtner (m-89).

LIMA gol terhasil pada babak pertama pertemuan antara Arsenal dengan Blackburn dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, di mana tuan rumah mendahului 3-2 hasil jaringan Thomas Vermaelen (m-17) Robin Van Persie (m-33) dan Andrei Arshavin (m-37).

Sebelum itu pelawat terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Steven Nzonzi yang menanduk masuk bola sepakan gol Paul Robinson pada minit keempat, manakala gol kedua Blackburn dijaringkan David Dunn pada minit ke-30 untuk pelawat mendahului The Gunners 2-1 pada satu ketika.

Bagaimanapun dua gol yang menyusul dalam tempoh empat minit selepas itu memberikan kelegaan buat penyokong tuan rumah sebelum perlawanan bersambung pada babak kedua.

ARSENAL: Vito Mannone, Thomas Vermaelen, William Gallas, Gael Clichy, Bacary Sagna, Alexandre Song, Abou Diaby, Cesc Fabregas (Aaron Ramsey - 76), Andrei Arshavin (Nicklas Bendtner - 76), Robin Van Persie, Tomas Rosicky (Theo Walcott - 69).

BLACKBURN: Paul Robinson, Gael Givet, Pascal Chimbonda, Martin Olsson, Christian Jacobsen, Steven Nzonzi, Keith Andrews, David Dunn (Benedict McCarthy - 62) (David Hoilett - 70), El-Hadji Diouf, Brett Emerton (Morten Gamst Pedersen - 55), Franco Di Santoo.

Statistik Arsenal vs Blackburn
Carta EPL Terkini
Keputusan Perlawanan EPL

EPL: Statistik Pertemuan Chelsea-Liverpool


MUSIM lalu Chelsea yang dibimbing jurulatih kelahiran Brazil, Luiz Felipe Scolari kalah kedua-dua perlawanan menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Lebih menarik, Liverpool berjaya menamatkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah The Blues di gelanggang kebal mereka, Stamford Bridge apabila menang 1-0 menerusi jaringan sendiri Jose Bosingwa.

Perlawanan kedua di Anfield pula lebih dramatik apabila The Reds menewaskan Chelsea 2-0, kesemuanya menerusi jaringan Fernando Torres ketika perlawanan sebenar akan berakhir dalam tempoh satu minit. Torres menjaringkan gol pertama pada minit ke-89 dan seminit kemudian penyerang Sepanyol itu sekali berjaya menewaskan Petr Cech untuk gol kedua Liverpool.

Sebelum itu Chelsea di bawah kendalian jurulatih kontroversi, Jose Mourinho banyak memberi igauan kepada skuad bimbingan Rafael Benitez.

Pada musim 2005/06 Chelsea menang kedua-dua perlawanan liga, menang 4-1 di Anfield dan sekali lagi menang 2-0 di Stamford Bridge.

Musim 2006/07 pula lebih seimbang apabila The Blues menang 1-0 di Stamford Bridge sebelum tewas 0-2 di Anfield.

Manakala musim 2007/08 pula tiada pihak yang boleh mendabik dada siapa lebih kuat apabila kedua-dua perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri.

Begitu pun malam ini, suasana sudah pun berbeza apatah lagi The Blues kini dibimbing bekas bos AC Milan, Carlo Ancelotti yang sudah pun membuktikan kewibawaannya apabila Chelsea menang tujuh perlawanan awal musim berturut-turut sebelum tewas 1-3 di tangan Wigan minggu lalu ketika mereka beraksi dengan 10 pemain.

Manakala Liverpool berada di tahap terbaik selepas membelasah Hull City 6-1 dengan jaringan hatrik Fernando Torres.

Bagaimanapun kekalahan 0-2 di tangan kelab Itali, Fiorentina dalam saingan Liga Juara Eropah pada pertengahan minggu mungkin memberi sedikit kelebihan psikologi kepada anak buah Ancelotti.

Jadual Perlawanan EPL
Carta EPL Terkini

Chelsea vs Liverpool: Pertembungan dua penggempur berbisa EPL


MALAM ini dua pasukan bermusuh, Chelsea dan Liverpool bakal bertembung di Stamford Bridge dalam salah satu aksi menarik Liga Perdana Inggeris sejak beberapa musim lalu.

Andai berpandu kepada statistik lalu di antara kedua-dua pasukan, Chelsea harus berasa gerun apabila berdepan penyerang berbisa The Reds, Fernando Torres menjelang pertemuan getir itu nanti.

Tiga gol oleh penyerang Sepanyol itu dalam dua pertarungan liga di Anfield, lima daripada enam dalam semua pertandingan menentang The Blues jelas tidak banyak memberi saat lapang kepada kapten, John Terry dan rakan sepasukan apabila bertembung di Stamford Bridge nanti.

Seperti harimau luka, Torres yang gagal menyumbat gol ketika Liverpool tewas mengejut kepada Fiorentina dalam Liga Juara-Juara Eropah, pertengahan minggu ini pasti mahu memadam duka itu dan barisan didik Carlo Ancelotti boleh menempuh detik sukar jika dia kembali ke rentak asal.

“Musim lalu kami menang di Stamford Bridge kerana kami percaya pada diri. Esok kami harus mengulangi sifat yang sama.

“Jika anda dapat menewaskan Chelsea di gelanggang lawan bererti anda dapat menewaskan sesiapa sahaja di liga dan Eropah,” kata Torres yang kini menjadi pendahulu penjaring terbanyak EPL dengan lapan gol.

Dalam pada itu, Carlo Ancelotti bukanlah seseorang yang mudah percaya kepada perkara karut tapi jika dia percayakan perkara itu, pastinya pertemuan dengan Liverpool malam ini bakal menjadi satu perlawanan EPL paling mendebarkan berbanding sebelum ini.

Manakan tidak, hampir setahun lalu, Liverpool berjaya mendominasi perlawanan di Stamford Bridge untuk menyaksikan pengurus baru ketika itu, Luiz Felipe Scolari menerima kekalahan pertama sekali gus rekod tanpa kalah di tempat sendiri turut berkecai.

Keretakan itu lama-lama makin parah dan tidak sampai sebulan, dia dipecat.

Pengurus dari Itali itu telah tewas sekali dalam perlawanan liga, kalah mudah 3-1 ke atas Wigan minggu lepas dan persoalan juga mula timbul mengenai taktik yang digunakannya selepas dua persembahan biasa dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

Ia sesuatu yang tidak munasabah jika hendak bercakap mengenai krisis tatkala musim masih lagi di peringkat awal sementara Chelsea masih lagi cemerlang mahupun di laman sendiri atau lawan.

Jadual Perlawanan EPL
Carta EPL Terkini

EPL: Chelsea-Liverpool janjikan pertembungan sengit, mendebarkan


PERTEMBUNGAN Chelsea dan Liverpool sentiasa menjanjikan saingan penuh mencabar dan mendebarkan.

Di Stamford Bridge malam ini, dua kelab gergasi England itu sekali lagi akan berentap dalam misi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam kempen Liga Perdana England.

Tatkala Chelsea berada di tangga kedua dengan mengumpul 18 mata, Liverpool pula mengekori rapat apabila hanya ketinggalan tiga mata di belakang skuad The Blues.

Baik Chelsea mahupun Liverpool, kedua-dua pasukan itu pastinya mahu mengelak daripada mengalami kekalahan kerana ia bakal menjejaskan peluang mereka memburu kejuaraan liga musim ini.

Selepas tujuh perlawanan, Liverpool telah mengalami dua kekalahan manakala Chelsea tewas sekali selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Wigan minggu lalu.

Menjelang pertembungan malam ini, kapten Chelsea, John Terry awal-awal lagi mengingatkan rakan sepasukannya agar lebih berwaspada dengan ancaman Liverpool.

Peringatan Terry itu dilihat ada kebenarannya kerana Liverpool berjaya mencalarkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah Chelsea di Stamford Bridge musim lalu apabila menang 1-0.

Sementara itu, kapten Liverpool, Steven Gerrard berkata, The Reds harus bangkit segera selain melupakan kekalahan 0-2 kepada Fiorentina pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

Jadual Perlawanan EPL
Carta EPL Terkini

EPL: Statistik pertemuan Arsenal-Blackburn

MUSIM lalu Arsenal memenangi kedua-dua pertemuan di gelanggang sendiri dan tempat lawan menentang Blackburn Rovers dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Kedua-dua perlawanan dimenangi The Gunners dengan keputusan 4-0 di kedua-dua venue.

Sebagai rekod, penyerang Belanda, Robin Van Persie muncul penjaring terbanyak Arsenal pada pertemuan kedua-dua kelab apabila menjaringkan lapan gol daripada tujuh aksi ketika menentang Blackburn.

Manakala penjaga gawang Blackburn, Paul Robinson telah melepaskan 41 gol sepanjang 14 perlawanan liga menentang Arsenal dengan pelbagai kelab.

Dalam enam pertemuan terakhir, Arsenal berjaya menembusi gawang Blackburn sebanyak 19 kali.

Blackburn tewas kesemua enam kunjungan terakhir ke Arsenal. Blackburn gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima aksi daripada enam perlawanan tersebut.

Manchester United adalah kelab tunggal yang berjaya menghalang tenaga penggempur Arsenal daripada menembusi gawang mereka sepanjang 17 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Arsenal lwn Blackburn

EPL: Sunderland ikat Manchester United 2-2


United ketinggalan 0-1 babak pertama
Bangkit dua kali sebelum terikat 2-2
Sunderland bermain 10 orang

JUARA bertahan, Manchester United nyaris berputih mata sebelum berjaya mengutip satu mata selepas gol sendiri Anton Ferdinand pada minit akhir masa kecederaan membolehkan anak buah Sir Alex Ferguson itu mengikat Sunderland 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi ini.

Bermain di gelanggang sendiri ternyata bukan suatu tugas mudah buat United apabila ketinggalan satu gol pada babak pertama hasil jaringan penyerang England, Darren Bent seawal minit ketujuh.

United yang memburu kemenangan ketujuh berturut-turut untuk mengekalkan posisi teratas Liga Perdana Inggeris hanya memperoleh gol penyamaan menerusi jaringan Dimitar Berbatov pada minit ke-51.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila tujuh minit kemudian United sekali ketinggalan hasil jaringan Kenwyne Jones.

Ketika pasukan pelawat berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh, Ferdinand melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri ketika ingin menyelamatkan kekalutan dalam kotak penalti pada masa kecederaan.

Keputusan itu bakal menyaksikan United terlepas kedudukan teratas liga kepada Chelsea andainya kelab London itu berjaya menundukkan Liverpool dalam perlawanan lewat sehari.

Carta EPL Terkini
Keputusan Perlawanan EPL

Saturday, October 3, 2009

EPL: Spurs ikat Bolton, Wigan putih mata


TOTTENHAM Hotspurs berjaya mencuri satu mata daripada tuan rumah, Bolton Wanderes selepas seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang penuh menghiburkan di Stadium Reebok lewat malam ini.

Manakala Wigan yang mengejutkan Chelsea 3-1 minggu lalu, kali ini kecundang kepada Hull City 2-1 untuk pulang dengan tangan kosong. Burnley pula menumpaskan Birmingham City juga 2-1.

Spurs bagaimanapun terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum berjaya mengikat tuan rumah dalam perlawanan yang berlangsung sengit itu.

Pemain tengah dari Jamaica, Ricardo Gardner membuka tirai jaringan untuk tuan rumah mendahului pada minit ketiga sebelum Niko Kranjcar mengikat kedudukan buat Spurs menerusi percubaan dari jarak dekat pada minit ke-34.

Kevin Davies kembali menggamatkan sorakan penonton tuan rumah apabila tandukannya pada minit ke-69 gagal diselamatkan penjaga gol Spurs, Carlo Cudicini.

Bagaimanapun kegembiraan penyokong tuan rumah tidak kekal lama apabila Vedran Corluka berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Kranjcar empat minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-2 sehingga berakhir perlawanan.

Jadual Perlawanan EPL
Keputusan Perlawanan EPL

Kelantan hampiri suku akhir, Kedah merana

HASRAT Kelantan untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia semakin cerah selepas menang perlawanan ketiga berturut-turut untuk mengungguli saingan kumpulan E dengan sembilan mata apabila mengatasi ATM 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Bagaimanapun Kelantan memerlukan jaringan pada masa kecederaan sebelum mengesahkan kemenangan buat menceriakan penyokong pasukan Kijang itu.

Sebaliknya ia malam yang penuh berliku buat juara bertahan, Kedah apabila tewas mengejut 0-1 di tangan pasukan berjiran, Pulau Pinang di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Selepas tiga perlawanan, pasukan Kenari itu hanya mampu mengutip satu mata dan kini berada di tangga tercorot kumpulan E.

Pulau Pinang di tangga kedua dengan empat mata manakala ATM ketiga dengan dua mata.

Keputusan Penuh Piala Malaysia
Carta Penuh Piala Malaysia 2009

EPL: Torres dipilih Pemain Terbaik September 2009


Sir Alex Ferguson dipilih pengurus bulanan terbaik

PENYERANG Liverpool, Fernando Torres yang kini mendahului penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dinamakan sebagai Pemain Terbaik EPL bagi bulan September.

Manakala bos Manchester United, Sir Alex Ferguson yang mengemudi kelabnya memenangi semua perlawanan liga bulan lalu dipilih bagi kategori Pengurus Terbaik.

Torres yang menjaringkan lima gol sepanjang bulan lalu - dua gol ketika Liverpool menang 3-2 ke atas West Ham dan jaringan hatrik ketika The Reds membelasah Hull City 6-1 minggu lepas.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu mendahului senarai penjaring terbanyak liga dengan lapan gol keseluruhan selepas mengharungi tujuh perlawanan liga.

Secara keseluruhan Torres telah menjaringkan 46 gol sepanjang penampilan sebanyak 65 kali bersama Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris sejak menyertai kelab itu pada 2007.

Ferguson pula dipilih berdasarkan persembahan terbaik United membolehkan kelab itu merampas tangga teratas liga daripada Chelsea.

Sejak menjadi pengurus kelab Liga Perdana Inggeris, Ferguson telah dipilih sebanyak 24 kali bagi anugerah Pengurus Terbaik Bulanan.

Piala Malaysia: Kedah buru tiga mata


JUARA bertahan, Kedah tiada pilihan selain perlu mengutip tiga mata penuh sewaktu melayani kunjungan Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia malam ini.

Kegagalan untuk meraih selain daripada tiga mata penuh akan menyaksikan Kedah semakin terhimpit di tempat ketiga, di belakang pendahulu awal Kumpulan E, Kelantan dengan enam mata dan Tentera di tempat kedua dengan dua mata.

Walaupun masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai kemungkinan Kedah tercicir awal, kegagalan Hijau Kuning untuk mengatasi lawan yang dianggap mudah, Tentera pada perlawanan pertama, mencetuskan kebimbangan ketumpulan jentera serangannya.

Mohd Azraai Khor yang merintih mengenai jentera serangannya yang setakat ini meledakkan satu gol ketika seri 1-1 ke atas Tentera, kini mengharapkan Mohd Farizal Rozali dan Mohd Azrul Ahmad menemui sentuhan dalam perlawanan malam ini.

Dengan format pertandingan kali ini membenarkan tiga pasukan naib juara kumpulan mara ke pusingan lapan terakhir, Kedah tidak mampu mengambil risiko dengan kutipan mata yang rendah.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia