Wednesday, September 30, 2009

Piala Malaysia: Selangor cemerlang, Kedah terus gigit jari

JUARA Liga Super, Selangor di landasan selesa untuk melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2009 selepas menundukkan Polis (PDRM) 3-0 dalam aksi kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sebaliknya juara bertahan, Kedah berada di ambang bahaya tersingkir awal daripada saingan kalah mati apabila kecundang 1-0 kepada Kelantan dalam aksi sengit Kumpulan E di Stadium Sultan Mohd ke-IV.

Kedah yang seri mengejut 1-1 kepada pasukan kerdil Tentera, Sabtu lalu tersentak apabila Indra Putra Mahayuddin melencongkan bola sepakan percuma di luar kotak penalti melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-49.

Di STADIUM SHAH ALAM, Selangor tidak menghadapi masalah mengenepikan PDRM 3-0 menerusi ledakan Amirulhadi Zainal pada minit ke-18, Safee Sali (m-39) dan kapten, Amri Yahyah (m-87) yang mengikuti kejayaan 1-0 ke atas Sabah, Sabtu lalu.

Di STADIUM UTAMA Kangar, kesilapan daripada penjaga gol yang dilihat begitu utuh buat skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias hampir membawa padah kepada usaha Perlis meraih tiga mata, namun juara dua kali itu akhirnya meraih kemenangan 3-2 ke atas barisan corot Liga Super, Pahang.

Perlis membuka jaringan menerusi Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ketiga dan menambah satu lagi gol minit ke-25 serta Ahmad Fakri Saarani (m-35) dengan dua gol Pahang dihadiahkan Mohd Farizal kepada Abdul Rahman Kadir (m-15) yang disusuli jaringan Mohd Badrul Isani (m-20).

Di STADIUM PERAK, Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata berharga apabila mengatasi tuan rumah 1-0 biarpun terpaksa bermain keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain selepas Kamarulzaman Mahmud dibuang padang sejurus sebelum rehat.

Mohd Badrul Hisham muncul wira Kuala Lumpur apabila menemui sentuhan jaringan pada minit ke-65.

Di STADIUM JCORP, Johor FC melonjak ke tangga teratas Kumpulan C selepas menewaskan UPB-MyTeam 4-1 untuk rekod sempurna dua kemenangan selepas dua perlawanan setakat ini.

MyTeam bagaimanapun lebih awal menjaringkan gol menerusi Mohd Zamri Chin pada minit ke-35 sebelum Johor FC membalas menerusi Mohd Farid Ideris (m-43), Nurul Azwan Roya (m47), Sumardi Hajalan (m-69). Farid melengkapkannya dengan gol keempat pada minit ke-81.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

No comments: