Monday, November 10, 2008

Eto'o, Higuain ledak empat gol

Barcelona 6 Valladolid 0
Real Madrid 4 Malaga 3

TONGGAK Barcelona, Samuel Eto'o dan penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuain beraksi cemerlang apabila menjaringkan empat gol ketika membantu kemenangan pasukan masing-masing dalam saingan Liga Sepanyol pagi semalam.

Eto'o menjaringkan empat gol pada babak pertama ketika Barcelona membelasah Valladolid 6-0 di Nou Camp, manakala Higuain menjaringkan semua gol Real Madrid dalam perlawanan sengit yang berkesudahan juara La Liga musim lalu itu menang 4-3.

Eto'o kini menambah koleksi jaringan musim ini kepada 13 gol untuk mendahului senarai penjaring Liga Primera Sepanyol.

Barcelona kini mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga dengan mengumpul 25 mata daripada 10 perlawanan, dua mata mengatasi Real di tempat kedua.

Kemenangan 4-3 Real ke atas Malaga dilihat mampu meningkatkan semula semangat juang pemain pasukan tersebut dan mengelak gergasi Sepanyol itu daripada gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan bagi semua kejohanan.

Chelsea kembali ke persada EPL

Blackburn 0 Chelsea 2

DUA gol daripada Nicolas Anelka sudah cukup buat Chelsea kembali mendahului carta Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan 2-0 ke atas Blackburn malam ini.

Anelka menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 selepas percubaan jauh Alex terkena badannya sebelum melantun ke gawang Blackburn.

Anelka menambah gol kedua Chelsea dan peribadinya pada minit ke-68 dengan memanfaatkan bola tolakan daripada Frank Lampard selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti Blackburn.

Kemenangan berkenaan merupakan hadiah terbaik buat jurulatih Chelsea, Luiz Felipe Scolari yang menyambut hari kelahirannya yang ke-60 hari ini.

Ia juga sebagai penawar buat penyokong The Blues selepas menyaksikan kelab London itu tewas 1-3 di tangan Roma dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lepas.

Sunday, November 9, 2008

Samir Nasri, Robbie Keane menyinar

Arsenal 2 Manchester United 1
Liverpool 3 West Brom 0

SAMIR Nasri dan Robbie Keane muncul hero Arsenal dan Liverpool apabila kedua-dua pemain berkenaan menghasilkan jaringan berganda untuk membantu kemenangan pasukan masing-masing dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.

Tumpuan tentunya terarah kepada pertembungan dua seteru tradisi EPL, Arsenal dan Manchester United yang memihak kepada The Gunners dengan kemenangan 2-1.

Kedua-dua gol Arsenal dijaringkan Samir Nasri pada minit ke-22 dan 48 manakala gol tunggal United diperoleh pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Rafael Da Silva.

Kemenangan itu cukup manis buat Arsenal terutama pengurusnya, Arsene Wenger yang menyimpan hasrat menamatkan saingan musim ini dengan muncul juara liga.

Sementara itu Liverpool berjaya merampas kedudukan Chelsea di tangga teratas liga selepas menang 3-0 ke atas West Brom di Anfield.

Bagaimana pun kedudukan Liverpool dijangka tidak mampu bertahan lama apabila Chelsea turun beraksi menentang Blackburn Rovers malam ini.

Sebarang kemenangan membolehkan Chelsea kembali mengungguli takhta liga berdasarkan kelebihan jaringan yang nyata memihak skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari itu.