Tuesday, September 29, 2009

Piala Malaysia: Kelantan ghairah, Kedah risau tenaga penggempur


DIKEMASKINI: Kelantan berjaya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan juara bertahan, Kedah 1-0 hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin. Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Kelantan selaku peneraju Kumpulan E dengan mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan. ATM di tangga kedua dengan dua mata selepas seri 1-1 dengan Pulau Pinang malam ini. Kedah dan Pulau Pinang berkongsi kedudukan terbawah kumpulan dengan satu mata.

SELEPAS berjaya menundukkan Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, Sabtu lalu Kelantan kini semakin ghairah untuk memburu mata dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Optimis untuk menjadi pasukan terawal melayakkan diri ke peringkat suku akhir, Kelantan sedar cabarannya cukup besar, dan usaha membenam Kedah di gelanggang sendiri malam ini pasti menjadi kayu pengukur kepada sejauh mana mereka boleh melangkah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, misi bertemu juara Piala Malaysia 2008 juga adalah misi untuk membalas dendam berikutan kekalahan mereka di tangan Kedah dalam saingan Liga Super di gelanggang sendiri Julai lalu.

Menurutnya, keserasian antara pemain dan jurulatih baru, B Sathianathan kini mula menunjukkan kesan yang positif.

"Hampir 90 peratus pemain sudah mengenali beliau (B Sathianathan) kerana mereka pernah berada di bawah jurulatih tersebut sebelum ini semasa di dalam skuad kebangsaan.

"Kita akan menurunkan pasukan yang benar-benar mantap untuk mengelakkan berlakunya kesilapan bagi mengekang asakan Kedah," ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Kelantan malam ini bakal menentukan arah tuju skuad bimbingannya - sama ada tersingkir atau pun kembali bernyawa buat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.

Menurut jurulatih yang memacu kejayaan treble skuad Kenari musim lalu itu, ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang mencetus masalah utama dan tambah perit permintaan mendapatkan penyerang baru turut mencapai jalan buntu.

"Pemain saya beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi ketumpulan barisan pemain serangan membuat kita berputih mata di gelanggang sendiri ketika Tentera adalah lawan yang harus dapat diatasi," katanya.

Azraai bertegas mereka harus membawa pulang mata dari Kelantan jika berhasrat mencerahkan harapan layak ke suku akhir dan menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan dimenangi, musim lalu.

"Ketiadaan Khyril (Muhymeen Zambri) memang dirasai tetapi ini bukan alasan kerana sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa kelibat penyerang kebangsaan ini," tambahnya.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

bunyi kaba kelate mene sebutir lawe kedoh,yo ko?

Kube Labu said...

kemah set kito.. gedebar kakloh game tadi..

keeper kita, halim napi pun kemah male ni.. steady ore kito... chaiyok3