Wednesday, July 30, 2008

Peminat Malaysia hampa tiada siaran langsung

Perlawanan Malaysia lawan Chelsea

BOLA sepak memang sukan nombor satu di Malaysia. Buktinya perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Chelsea malam tadi disaksikan 50,000 penonton yang hadir di Stadium Shah Alam.

Sayangnya, stesen televisyen kita tidak berminat untuk menyiarkan perlawanan berkenaan secara langsung, jika tidak lebih ramai lagi akan terpacak di depan tv malam tadi.

Apa tidaknya, kehadiran sebuah kelab terkemuka dunia dan penuh dengan limpahan pemain bertaraf bintang tentunya peminat ingin menyaksikan, lebih-lebih lagi ia membabitkan skuad kebangsaan kita.

Kalau begini keadaannya tidak perlulah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susah-susah membuat promosi besar-besaran jika sekadar untuk mengajak peminat ke stadium sahaja.

Rasanya tidak sukar mana untuk mengajak peminat memenuhi stadium jika membabitkan sebuah kelab seperti Chelsea.

Dalam perlawanan malam tadi, semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain negara selain sokongan padu lebih 50,000 penonton di Stadium Shah Alam masih belum cukup untuk mengekang kehebatan pemain berkelas dunia dari kelab Chelsea.

Sebaliknya, skuad Pilihan Malaysia kendalian B. Sathianathan itu terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-2 kepada Chelsea pada perlawanan persahabatan sempena siri Jelajah Asia Chelsea 2008.

Bagi The Blues, kemenangan itu sekali gus melengkapkan rekod bersih mereka sepanjang siri jelajah musim ini selepas skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu menewaskan Guangzhou Pharmaceutical (4-0) dan Chengdu Blades (7-0) sebelum ini.

Begitupun, pujian seharusnya diberikan kepada pemain negara berdasarkan corak permainan yang disajikan sekali gus berjaya memberi tekanan kepada jentera pertahanan The Blues sepanjang 90 minit permainan itu berlangsung.

Buktinya, dua percubaan daripada pemain muda Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal pada awal babak pertama permainan hampir membolosi gawang Chelsea yang dikawal bintang Republik Czech, Peter Cech.

Namun, pada minit ke-29, Nicolas Anelka berjaya menyentap semangat juang pemain negara menerusi gol pertama Chelsea hasil rembatan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd. Helmi Eliza.

Selain itu, bintang baru Chelsea, Deco turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan pemain antarabangsa Portugal itu pada awal permainan gagal menerjah jaring.

Pada minit ke-52, Chelsea berjaya menambah gol kedua menerusi Ashley Cole yang menyempurnakan hantaran daripada Frank Lampard.

Berita dan laporan berkaitan:

Keputusan perlawanan Malaysia - Chelsea

Tiada siaran langsung perlawanan Malaysia-Chelsea

Chelsea gagal benam Malaysia

50,000 saksi perlawanan Malaysia-Chelsea

Scolari salahkan keadaan padang

Lawan Chelsea: Malaysia perlu guna kesempatan terbaik buktikan kebolehan

Sunday, July 13, 2008

Beckham pemain bola sepak terkaya dunia


BEKAS kapten pasukan bola sepak England, David Beckham mengatasi pemain Brazil, Ronaldinho sebagai pemain berpendapatan paling besar tahun lalu.

Identiti pemain bola sepak berpendapatan paling tinggi didedahkan majalah terkemuka, Forbes, minggu lalu.

Beckham menerima £24.4 juta (RM156.16 juta) - gajinya di kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy dan perjanjian iklan pelbagai produk berjenama yang lumayan.

Pendapatannya jauh mengatasi Ronaldinho yang menduduki tangga kedua, £16.3 juta (RM104.32 juta).

Jumlah pendapatan itu bukan sahaja merangkumi gaji, tetapi juga termasuk bayaran daripada perjanjian pengiklanan.

Rakan Ronaldinho di kelab Barcelona, Thiery Henry berada di tangga ketiga dengan pendapatan £12.5 juta (RM80 juta).

Sekalipun mengalami kecederaan dan prestasi semakin menurun, bekas pemain terbaik dunia tiga kali, Ronaldo tetap menerima pendapatan tinggi dengan nilai £10.6 juta (RM67.4 juta).

Bintang Brazil dan AC Milan itu mengatasi pemain terbaik Liga Perdana England, Cristiano Ronaldo yang berada di tangga kelima dengan nilai pendapatan tahun lalu berjumlah £9.2 juta atau RM58.5 juta.

Secara keseluruhannya bintang bola sepak dari kelab utama Eropah mendominasi senarai pemain yang menerima pendapatan paling tinggi di dunia.

Friday, July 11, 2008

Isu Ronaldo: Man United makin tersepit


KEMELUT perpindahan bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo memasuki episod baru apabila Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Sepp Blatter menyuarakan pendapatnya agar kelab Liga Perdana England itu melepaskan pemain terbaiknya itu.

Sambil itu Blatter turut menggesa Manchester United agar tidak melayan Ronaldo seperti “hamba zaman moden” dan merelakan pemain Portugal itu berpindah ke Real Madrid jika dia berhasrat berbuat demikian.

Ronaldo yang meminati Real sejak kecil, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol itu sejak akhir musim lalu biarpun meledakkan 42 gol dalam semua kejohanan musim lalu serta membantu United menjulang trofi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam pertelagahan berterusan mengenai masa depan pemain berusia 23 tahun itu, Blatter berkata amalan mengikat pemain untuk satu tempoh kontrak yang panjang seumpama “perhambaan zaman moden”.

Beliau turut menggesa Manchester United dan Real Madrid untuk ‘duduk semeja’ jika Ronaldo mahu berpindah ke kelab Sepanyol.

Peminat Marseille berharap Drogba kembali ke Perancis

PEMINAT kelab Marseille melancarkan satu kutipan derma untuk mengumpul 22 juta pound (RM141.1 juta) yang dipercayai mampu membayar Chelsea bagi mendapatkan semula bintang mereka, Didier Drogba.

Pengurus baru The Blues, Luiz Felipe Scolari menjelaskan Drogba masih lagi dalam perancangannya musim depan namun penyerang Ivory Coast itu berkeras ingin meninggalkan Stamford Bridge.

Barcelona, AC Milan dan Inter Milan dikatakan berminat ke atas Drogba, namun peminat Marseille telah melancarkan usaha tersendiri bagi membawa pemain berusia 30 tahun kembali ke kelab lamanya empat tahun lalu.

Seorang peminat yang dikenali sebagai Kain telah menyediakan satu sistem kutipan dalam laman web untuk peminat mereka menderma satu, dua atau lima euro kepada kelab itu.

"Mari kita lihat sama ada peminat kami dapat membayar perpindahannya dengan setiap seorang menderma satu atau dua euro ke kelab ini," katanya.

Kutipan tersebut berjaya menarik perhatian segera peminat mereka dan setakat ini telah pun berjaya mengumpul sekitar 5,000 euro (RM25,583) hasil kutipan 800 peminat setakat ini.

"Kami tahu ia mungkin sangat rumit untuk dicapai, malah ia juga nampak mustahil," kata salah seorang penderma, Yaniss.

"Tapi apa yang kami mahu ialah usaha ini mendapat perhatian oleh Pape Diouf (presiden Marseille) dan ahli lembaga pengarah yang lain." - Kosmo