Sunday, October 11, 2009

Piala Dunia: Itali, Jerman sahkan tempat ke Afrika


GOL pada minit ke-90 daripada penyerang gantian, Alberto Gilardino membantu juara bertahan, Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas mengikat tuan rumah, Ireland 2-2, pada aksi kelayakan yang berlangsung awal pagi tadi.

Tiga minit sebelum itu, Ireland hampir mencatatkan kemenangan mengejut 2-1 menerusi tandukan terbang Sean St Ledger sebelum Gilardino mengarah bola melewati penjaga gawang Shay Given.

Pemain tengah Ireland, Glenn Whelan meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit kelapan sebelum Mauro Camoranesi menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Ireland akan menamatkan pusingan kelayakan di tempat kedua Kumpulan 8 selepas perlawanan dengan Montenegro Rabu ini manakala Itali menutup saingan kelayakan dengan menunggu kehadiran Cyprus.


Sementara itu, Miroslav Klose pada separuh masa pertama membawa Jerman ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 selepas menang tipis 1-0 ke atas Russia dalam aksi kelayakan Zon Eropah, malam tadi.

Pemain tengah itu memanfaatkan peluang untuk membocori gol lawan pada minit ke-35 menerusi hantaran Mehut Ozil yang mengelirukan penjaga gol Russia, Igor Akenfeyev. Ia adalah jaringan Klose ke-50 untuk pasukan kebangsaannya.

Jerman kini memungut 25 mata selepas menang lapan dan seri sekali untuk menduduki tangga teratas kumpulan diikuti Russia (21 mata).

Russia boleh melayakkan diri ke Afrika Selatan jika menang dalam perlawanan 'play-off'.

Juara setiap kumpulan Zon Eropah layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 manakala lapan pasukan tempat kedua terbaik daripada sembilan kumpulan akan berentap dalam perlawanan 'play-off' untuk merebut empat tempat terakhir ke Afrika Selatan.

Carta Kelayakan Piala Dunia 2010
Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010
Jadual Kelayakan Piala Dunia 2010

No comments: