Wednesday, October 14, 2009

Saingan 8 pasukan terakhir & jadual suku akhir Piala Malaysia 2009

SELEPAS perlawanan malam tadi, lapan pasukan yang layak ke suku akhir saingan bola sepak Piala Malaysia 2009 ialah KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor, Kelantan, Perlis, Terengganu dan KM Naza.

Bagi Kumpulan A, KL Plus muncul juara biarpun mereka tewas 0-1 kepada Perlis pada aksi di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

Satu lagi perlawanan kumpulan tersebut menyaksikan Pahang membelasah Melaka 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Negeri Sembilan pula sah sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tatkala Johor membelasah Sarawak 5-0 di Johor Bahru.

Selangor pula yang sudah sah sebagai juara Kumpulan D tewas 2-3 kepada KM Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala PDRM terikat 2-2 dengan Sabah di Selayang.

Satu lagi pasukan, Perak biarpun muncul naib juara Kumpulan C turut terkeluar selepas menamatkan saingan dengan mengumpul 11 mata.

Perak mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium Perak, Ipoh sekali gus membolehkan Johor FC muncul juara Kumpulan C.

UPB-MyTeam pula mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Juara bertahan, Kedah gagal menjadi tiga pasukan tempat kedua terbaik di kalangan lima kumpulan apabila slot itu berjaya diisi naib juara Kumpulan A, Perlis (13 mata), naib juara Kumpulan B, Terengganu (12 mata) dan naib juara Kumpulan D, Kuala Muda Naza (12 mata).

Kejayaan membelasah Pulau Pinang 4-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam tadi sekadar menyaksikan Kedah mengumpul 10 mata untuk muncul naib juara Kumpulan E di belakang Kelantan yang mengumpul 15 mata selepas membelasah ATM 5-0 di Kota Bharu.

Perlawanan suku akhir bakal berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 24 Oktober ini.

Lihat Jadual Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2009
Lihat Jadual Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2009

No comments: