Sunday, October 4, 2009

EPL: Sunderland ikat Manchester United 2-2


United ketinggalan 0-1 babak pertama
Bangkit dua kali sebelum terikat 2-2
Sunderland bermain 10 orang

JUARA bertahan, Manchester United nyaris berputih mata sebelum berjaya mengutip satu mata selepas gol sendiri Anton Ferdinand pada minit akhir masa kecederaan membolehkan anak buah Sir Alex Ferguson itu mengikat Sunderland 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi ini.

Bermain di gelanggang sendiri ternyata bukan suatu tugas mudah buat United apabila ketinggalan satu gol pada babak pertama hasil jaringan penyerang England, Darren Bent seawal minit ketujuh.

United yang memburu kemenangan ketujuh berturut-turut untuk mengekalkan posisi teratas Liga Perdana Inggeris hanya memperoleh gol penyamaan menerusi jaringan Dimitar Berbatov pada minit ke-51.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila tujuh minit kemudian United sekali ketinggalan hasil jaringan Kenwyne Jones.

Ketika pasukan pelawat berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh, Ferdinand melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri ketika ingin menyelamatkan kekalutan dalam kotak penalti pada masa kecederaan.

Keputusan itu bakal menyaksikan United terlepas kedudukan teratas liga kepada Chelsea andainya kelab London itu berjaya menundukkan Liverpool dalam perlawanan lewat sehari.

Carta EPL Terkini
Keputusan Perlawanan EPL

No comments: