Sunday, April 20, 2008

Manchester United nyaris kecundang

PEREBUTAN mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris terus sengit apabila Manchester United mencicirkan dua mata berharga sewaktu menentang Blackburn di Ewood Park malam tadi.

Penyerang Argentina, Carlos Tevez muncul menyelamatkan air muka United apabila golnya beberapa minit sebelum perlawanan tamat memastikan skuad Alex Ferguson itu membawa pulang satu mata selepas mereka ketinggalan menerusi gol Roque Santa Cruz pada minit ke-21.

Keputusan berkenaan bermakna pertemuan antara Chelsea dan United di Stamford Bridge minggu depan menjanjikan suatu perlawanan yang dinanti-nantikan bagi mengetahui siapa bakal merangkul mahkota liga musim ini.

Ini kerana jika United menang kemungkinan besar kelab itu bakal mengekalkan kejuaraan dimenanginya musim lalu.

Tetapi jika sebaliknya penentuan pasukan mana bakal bergelar juara kemungkinan besar hanya dapat ditentukan pada perlawanan terakhir nanti.

Sementara itu Arsenal mengembalikan sedikit harga diri apabila menundukkan Reading 2-0, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Walaupun keputusan itu tidak mampu menggugat kedudukan Manchester United dalam perebutan bola sepak Liga Perdana Inggeris, sedikit sebanyak ia mengubati kedukaan berterusan kelab itu selepas tersingkir dalam beberapa kejohanan utama.

Peluang Arsenal untuk menjulang kejuaraan liga sudah pun berakhir selepas kalah 1-2 kepada United, minggu lalu untuk meninggalkan persaingan kini menjadi rebutan antara United dan Chelsea.

Bagaimanapun, pasukan Gunners itu tidak mahu kekecewaan tersebut menjejaskan baki saingan dan malam tadi, mereka tetap mahu menceriakan penyokong di Stadium Emirates sekali pun akan menutup kempen tanpa sebarang gelaran.

Emmanuel Adebayor menjaringkan gol ke-21 dalam liga musim ini dengan meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-30.

Lapan minit kemudian, Gilberto Silva pula melebarkan kedudukan kepada 2-0 menerusi jaringan pertamanya bersama Arsenal musim ini.

Penyerang Belanda, Robin van Persie tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol ketiga pada babak kedua apabila sepakan percumanya terkena palang pintu gol.

Ini merupakan kemenangan kedua Arsenal daripada sembilan perlawanan liga, meletakkan pasukan itu empat mata ditinggalkan oleh Chelsea dan enam mata di belakang United.

Selepas mengalami kekalahan mengejut 0-2 kepada Fulham, minggu lalu Reading membuat enam rombakan, semalam termasuk meletakkan pemain sayap Amerika Syarikat, Bobby Convey dalam kesebelasan utama.

Meskipun Reading menggunakan pendekatan mengawal setiap pemain lawan, namun tuan rumah masih mampu mencipta gerakan, dan peluang kedua terbaik adalah tandukan Alex Song yang sedikit tersasar pada minit ke-29.

Adebayor akhirnya membuka jaringan dengan menyambut hantaran silang Kolo Toure sebelum memusingkan badan melepasi dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kaki kiri dari jarak 12 meter.

Gilberto melebarkan kedudukan 2-0, lapan minit kemudian selepas menyudahkan hantaran cantik Fabregas.

Sementara itu, Liverpool mengukuhkan kedudukan menghuni tangga keempat dan buruan tiket ke pentas Eropah, musim depan dengan kemenangan 2-0 ke atas Fulham di gelanggang lawan.

Pasukan bimbingan Rafael Benitez itu mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Jermaine Pennant pada minit ke-17 dan Peter Crouch, minit ke-70 untuk mengutip 69 mata bagi menjarakkan diri dengan kelebihan lapan mata dari Everton.

Bolton pula meraih tiga mata berharga dengan menewaskan Middlesbrough 1-0. West Ham menewaskan Derby 2-1 dan Wigan berjaya merampas satu mata apabila mengikat Tottenham 1-1.
(lagi artikel berkaitan klik di sini)

Thursday, April 17, 2008

Valencia raih trofi Raja Sepanyol buat kali ketujuh

DUA gol awal pada babak pertama oleh Juan Mata dan Alexis membantu Valencia memenangi Piala Raja Sepanyol buat kali ketujuh selepas membenam Getafe pada perlawanan akhir di Vicente Calderon, awal pagi tadi.

Satu lagi gol disumbangkan oleh bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Fernando Morientes pada minit ke-83. Manakala gol tunggal Getafe dijaringkan oleh Granero menerusi sepakan penalti di hujung separuh masa pertama.

Kemenangan memastikan Valencia mendapat slot automatik untuk beraksi dalam saingan Piala UEFA musim depan setelah harapan untuk bersaing dalam Liga Juara Eropah berkecai setelah hanya mampu menduduki tangga ke-16 dalam Liga Primera Sepanyol setakat ini.

Masa depan jurulatihnya, Ronald Koeman juga masih belum terjamin sekalipun memenangi trofi berkenaan ekoran prestasi buruk dicatat kelab berkenaan sepanjang musm ini.

Sekurang-kurangnya untuk seketika, Valencia boleh melupakan penampilan buruk mereka musim ini setelah menjuarai Copa del Rey.
Lagi laporan perlawanan

Tuesday, April 15, 2008

Hasrat Chelsea rangkul gelaran makin sukar

GOL penyamaan di masa tambahan oleh bekas penyerang England, Emile Heskey menyulitkan impian Chelsea untuk merangkul gelaran Liga Perdana England ketika pasukan itu sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Wigan di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Sebelum itu Michael Essien memberikan sedikit harapan buat tuan rumah untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Manchester United apabila tendangannya dari luar kotak penalti minit ke-55 menerjah ke penjuru kiri gawang lawan.

Keputusan itu menyaksikan United kini selesa mendahului pesaingnya itu dengan kelebihan lima mata selepas mereka mencatat kemenangan penting ke atas musuh ketatnya, Arsenal semalam.
(lagi artikel berkaitan klik di sini)

Monday, April 14, 2008

Manchester hampiri gelaran liga

BEKAS pemain Bayern Munich, Owen Hargreaves menjadi wira Manchester United apabila tendangan percumanya yang menarik menerjah jaring untuk gol kemenangan pasukannya ketika dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris bertemu sesama sendiri dalam saingan liga malam tadi.

Kemenangan 2-1 United ke atas Arsenal menyaksikan barisan anak buah Sir Alex Ferguson itu terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 34 perlawanan.

Koleksi 80 mata yang dipungut membolehkan Red Devils melebarkan jurang kepada enam mata dengan pasukan tangga kedua, Chelsea yang akan beraksi menentang Wigan di Stamford Bridge awal pagi esok (jadual hari ini). Manakala Arsenal kekal di tangga ketiga dengan 71 mata ( Carta lengkap liga klik di sini).

Selepas kedudukan terikat 1-1, United akhirnya mendapat gol kemenangan pada minit ke-72 melalui sepakan percuma lencong pemain tengahnya, Owen Hargreaves, yang melepasi benteng dalam keadaan Jens Lehmann sekadar terpaku menyaksikan bola menerjah jaring.

Sebelum itu penyerang Togo, Emmanuel Adebayor meletakkan Arsenal mendahului pada awal separuh masa kedua apabila menanduk masuk hantaran lintang Robin van Persie tetapi United menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Cristiano Ronaldo lima minit kemudian.

Sepakan penalti itu gara-gara kapten Arsenal, William Gallas tertampan bola dengan tangan ketika dia cuba menghalang percubaan Michael Carrick.

Kekalahan itu dianggap menutup terus peluang Arsenal dalam perebutan gelaran liga kerana saingan hanya berbaki empat perlawanan.

Sebelum ini, Arsenal yang dilihat berpeluang merampas kejuaraan liga daripada United tersingkir pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Liverpool, minggu lalu.

Keadaan itu bermakna Arsene Wenger terus kempunan untuk menamatkan empat musim tanpa kejuaraan liga sejak 2004 (lagi artikel berkaitan klik di sini).

Sunday, April 13, 2008

Liverpool terlalu hebat buat Blackburn

Steven Gerrard sekali lagi memain peranan utama di sebalik kemenangan bergaya The Reds membenam Blackburn 3-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield sebentar tadi. Ketua pasukan Liverpool itu dinafikan sepakan penalti pada separuh masa pertama, namun dia berjaya memadam kekecewaan tersebut menerusi gol pembukaan pada minit ke-60 sebelum membuat hantaran silang menarik untuk disudahkan oleh Fernando Torres, lapan minit sebelum permainan tamat.

Andriy Voronin yang masuk menggantikan Torres tiga minit selepas gol berkenaan turut menceriakan penonton tuan rumah apabila turut memahat nama selaku pencetak gol pada perlawanan itu. Roque Santa Cruz menghadiahkan gol sagu hati buat pelawat untuk kedudukan muktamad 3-1 memihak kepada skuad bimbingan Rafael Benitez.

Peluang Milan ke Liga Juara musim depan terancam


SELEPAS tersingkir di tangan kelab England, Arsenal pada pusingan kedua Liga Juara-Juara bulan lalu, hasrat Milan untuk melayakkan diri ke kejohanan sama musim depan dilihat makin getir selepas kecundang di tangan musuh ketatnya, Juventus pada saingan Liga Itali awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Milan kekal di tangga kelima liga, namun kedudukan tersebut mungkin akan berubah jika satu lagi pasukan yang turut mengintai peluang ke Eropah, Sampdoria mampu menewaskan Reggina malam ini, atau setidak-tidaknya membawa pulang satu mata berharga.

Ini kerana kedua-dua pasukan mempunyai jumlah mata yang sama, hanya kelebihan jaringan agak besar memihak kepada Milan untuk berada di tangga kelima.

Pun begitu Milan turut merasa khuatir jika pasukan tangga keempat, Fiorentina turut mencatat kemenangan malam ini. Jika kebimbangan itu menjadi kenyataan, Milan semakin jauh ditinggalkan dengan jurang tujuh mata.

Bagaimanapun lawan yang perlu dihadapi Fiorentina bukan calang-calang pasukan kerana mereka bakal ditentang pendahulu liga dan penyandang juara, Inter Milan. Tambahan pula pertarungan berlangsung di stadium keramatnya, San Siro.

Begitupun dengan prestasi semakin meningkat ditunjukkan kelab itu, tidak mustahil jika Inter mampu ditundukkan. Jika itu berlaku, Milan terpaksa menelan hakikat jika nama mereka tercicir pada kejohanan Liga Juara Eropah musim depan.

Klik di sini untuk laporan lengkap

Kenari kekalkan kejuaraan Liga Super


SAINGAN Liga Super masih berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan, namun Kedah sudah pun ditabalkan selaku juara apabila mereka menjinakkan Terengganu 2-1 di Stadium Darulaman, manakala pencabar terdekatnya, Selangor tewas mengejut kepada pasukan tercorot, Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Dengan 53 mata keseluruhan daripada 21 perlawanan yang dilalui, Skuad Kenari itu tidak mampu lagi dikejar mana-mana pasukan dan disahkan mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenanginya tahun lalu.

Bagaimanapun perjuangan pasukan Kenari tidak mudah, Terengganu ternyata memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada gol kemenangan kira-kira lima minit sahaja lagi permainan tamat.

Tandukan kemenangan pada minit ke-86 menerusi ketua pasukan, Cornellius Bernard Hugging menghadiahkan gelaran juara Liga Super kepada pasukan Hijau Kuning itu sekaligus menceriakan puluhan ribu penyokongnya yang membanjiri stadium.

Kini skuad Kenari hanya perlu menghabiskan baki tiga perlawanan terakhir bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sahaja. Tahniah buat skuad Kedah dan pemimpinnya diterajui Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul RAzak selaku Presiden KFA.
Lagi laporan klik di sini..

Saturday, April 12, 2008

Juventus, AC Milan sama-sama tertekan

BAGI peminat Liga Perdana Inggeris (EPL), pertemuan dua musuh tradisi, Arsenal dan Manchester United malam esok tentunya amat dinantik-nantikan. Lebih-lebih lagi saingan EPL kini semakin menuju ke puncaknya.

Bagaimanapun sebelum pertemuan dua kelab gergasi England itu, ada satu lagi perlawanan besar bagi peminat-peminat bola sepak Eropah. Mungkin pertemuan tersebut tidak sehangat pertembungan dua musuh tradisi di England itu.

Namun pertemuan 'maut' antara dua kelab gergasi Itali, AC Milan dan Juventus awal pagi esok turut menjanjikan saingan yang tidak kurang hebatnya.

Apatah lagi dua kelab berkenaan kini masih belum menjamin tempat mereka ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Selain dua kelab itu Fiorentina dan Sampdoria turut mengintai peluang untuk menjadi wakil Serie A di kejonan elit Eropah itu.

Justeru itu hanya kemenangan yang menjadi misi dua musuh tradisi di Itali itu. Lebih-lebih buat AC Milan yang semakin tersepit untuk menduduki sekurang-kurangnya tangga keempat liga.

Kini mereka berada di tangga kelima dengan ketinggalan empat mata di belakang Fiorentina. Jika kalah di tangan Juventus alamatnya hasrat mereka untuk beraksi di Eropah musim depan mungkin hanya tinggal impian.

Klik di sini untuk laporan lengkap

Tiga pasukan teratas Liga Perdana kekal kedudukan

PASUKAN KL Plus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana selepas mengutip tiga mata penuh pada aksi di Stadium Hang Tuah semalam.

Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan 2-0 ke atas pasukan tuan rumah, Melaka.

Dua gol pasukan pelawat masing-masing hadir menerusi penyerang import, Andrian Trinidad pada minit ke-78 dan Alex Agbo pada masa tambahan.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris itu kini mengungguli takhta liga dengan mengumpul 50 mata daripada 20 perlawanan liga musim ini.

Klik di sini untuk laporan lengkap