Sunday, October 4, 2009

EPL: Statistik Pertemuan Chelsea-Liverpool


MUSIM lalu Chelsea yang dibimbing jurulatih kelahiran Brazil, Luiz Felipe Scolari kalah kedua-dua perlawanan menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Lebih menarik, Liverpool berjaya menamatkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah The Blues di gelanggang kebal mereka, Stamford Bridge apabila menang 1-0 menerusi jaringan sendiri Jose Bosingwa.

Perlawanan kedua di Anfield pula lebih dramatik apabila The Reds menewaskan Chelsea 2-0, kesemuanya menerusi jaringan Fernando Torres ketika perlawanan sebenar akan berakhir dalam tempoh satu minit. Torres menjaringkan gol pertama pada minit ke-89 dan seminit kemudian penyerang Sepanyol itu sekali berjaya menewaskan Petr Cech untuk gol kedua Liverpool.

Sebelum itu Chelsea di bawah kendalian jurulatih kontroversi, Jose Mourinho banyak memberi igauan kepada skuad bimbingan Rafael Benitez.

Pada musim 2005/06 Chelsea menang kedua-dua perlawanan liga, menang 4-1 di Anfield dan sekali lagi menang 2-0 di Stamford Bridge.

Musim 2006/07 pula lebih seimbang apabila The Blues menang 1-0 di Stamford Bridge sebelum tewas 0-2 di Anfield.

Manakala musim 2007/08 pula tiada pihak yang boleh mendabik dada siapa lebih kuat apabila kedua-dua perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri.

Begitu pun malam ini, suasana sudah pun berbeza apatah lagi The Blues kini dibimbing bekas bos AC Milan, Carlo Ancelotti yang sudah pun membuktikan kewibawaannya apabila Chelsea menang tujuh perlawanan awal musim berturut-turut sebelum tewas 1-3 di tangan Wigan minggu lalu ketika mereka beraksi dengan 10 pemain.

Manakala Liverpool berada di tahap terbaik selepas membelasah Hull City 6-1 dengan jaringan hatrik Fernando Torres.

Bagaimanapun kekalahan 0-2 di tangan kelab Itali, Fiorentina dalam saingan Liga Juara Eropah pada pertengahan minggu mungkin memberi sedikit kelebihan psikologi kepada anak buah Ancelotti.

Jadual Perlawanan EPL
Carta EPL Terkini

No comments: