Thursday, October 1, 2009

Liga Juara: Chelsea menang tipis, Porto lega


BUAT kali kedua berturut-turut Chelsea meraih kemenangan kurang meyakinkan ketika menewaskan APOEL Nicosia pada saingan Kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah, di Cyprus awal pagi tadi.

Gol tunggal Nicolas Anelka pada minit ke-18 membantu skuad The Blues meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Cyprus itu untuk kekal di tangga teratas kumpulan dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti jelas tidak mendapat jawapan yang diharapkan untuk mencuci aib selepas tewas 1-3 kepada Wigan Athletics dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lepas.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, FC Porto yang tewas 0-1 kepada Chelsea pada perlawanan pembukaan kali ini tidak melakukan kesilapan untuk membenam wakil Sepanyol, Atletico Madrid 2-0.

Bagaimana pun tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-75 sebelum mampu merobek gawang pelawat menerusi Radamel Falcao.

Tujuh minit kemudian kedudukan terus kukuh buat Porto apabila pemain pertahanannya, Rolando pantas menyambar bola yang melantun selepas percubaan awal Bruno Alves mengenai tiang gol.

Kemenangan itu membolehkan Porto menduduki tangga kedua di belakang Chelsea manakala Atletico menghuni tangga terbawah kumpulan dengan hanya satu mata selepas seri tanpa jaringan dengan Nicosia pada perlawanan pertama.

Carta Kumpulan Liga Juara Eropah
Keputusan Penuh Liga Juara Eropah

No comments: