Saturday, October 3, 2009

Piala Malaysia: Selangor bangkit tewaskan KM Naza


PENYERANG gantian, Rudie Ramli muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Selangor pada masa kecederaan untuk menewaskan Kuala Muda (KM Naza) 3-2 pada aksi tunggal Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Gol kemenangan Selangor itu hadir pada minit ke-92 setelah Rudie berjaya menanduk masuk bola hantaran seorang lagi pemain gantian, Asraruddin Putra Omar dari sebelah kiri.

KM Naza terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului seawal minit ke-16 hasil rembatan kencang Farderin Kadir dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu terus selesa selepas memperoleh gol kedua pada minit ke-34 hasil jaringan Akmal Rizal Rakhli yang pantas menolak hantaran Farderin dari sebelah kiri.

Tatkala Selangor mula tertekan, penjaga gol KM Naza, Azizon Kadir pula ‘menghadiahkan’ gol buat Selangor apabila tersalah menghantar bola ke arah Amri Yahyah dan kapten Selangor itu mudah menolak masuk ke gawang KM Naza pada minit ke-42.

Malang menimpa KM Naza apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-64 setelah pertahanan mereka, Saiful Azrin dilayangkan kad kuning kedua.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas Safee Sali menolak masuk bola hantaran Asraruddin sebelum Rudie menyempurnakan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Skuad Selangor akan bertolak ke Singapura pagi ini untuk bertemu skuad negara jiran itu pada kejohanan tahunan Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung di Stadium Jalan Besar malam esok.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

No comments: