Wednesday, September 30, 2009

Piala Malaysia 2009: Sorotan hari kedua

Kumpulan A
Perlis 3 Pahang 2
KL Plus 4 Melaka 1

PERLIS mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas Kumpulan A selepas menumpaskan pasukan Pantai Timur, Pahang 3-2 di Stadium Utama Kangar.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ketiga serta 25 dan Ahmad Fakri Saarani (m-35) manakala dua gol Pahang oleh Abdul Rahman Kadir (m-15) yang disusuli jaringan Mohd Badrul Isani (m-20).

Selepas seri 1-1 dengan Pahang, Sabtu lepas, KL Plus bertindak garang pada perlawanan kedua dengan membelasah Melaka 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk berada satu tangga di belakang Perlis.

Kumpulan B
N Sembilan 8 Sarawak 0
Terengganu 2 Johor 0

Negeri Sembilan mencuri tumpuan apabila berkenduri gol membelasah Sarawak 8-0 termasuk jaringan hatrik penyerang muda kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Razak.

Manakala Terengganu terus menyaingi Negeri Sembilan untuk merebut posisi teratas kumpulan B selepas menang 2-0 ke atas Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Negeri Sembilan kekal di tangga teratas hasil kemenangan besar ke atas Sarawak manakala peluang Johor dan Sarawak untuk ke suku akhir kian sulit selepas tewas kedua-dua perlawanan.

Kumpulan C
Perak 0 Kuala Lumpur 1
Johor FC 4 UPB-MyTeam 1

Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata berharga apabila mengatasi Perak 1-0 biarpun terpaksa bermain keseluruhan babak kedua dengan 10 pemain selepas Kamarulzaman Mahmud dibuang padang sejurus sebelum rehat.

Mohd Badrul Hisham muncul wira Kuala Lumpur apabila menemui sentuhan jaringan pada minit ke-65.

Bagaimanapun Johor FC berjaya melonjak ke tangga teratas Kumpulan C susulan kejayaan membenam UPB-MyTeam 4-1 di Stadium JCorp.

MyTeam bagaimanapun lebih awal menjaringkan gol menerusi Mohd Zamri Chin pada minit ke-35 sebelum Johor FC membalas menerusi Mohd Farid Ideris (m-43), Nurul Azwan Roya (m47), Sumardi Hajalan (m-69). Farid melengkapkannya dengan gol keempat pada minit ke-81.

Kumpulan D
Selangor 3 PDRM 0
KM Naza 2 Sabah 1

Tiada masalah buat juara Liga Super dan Piala FA, Selangor untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D sekali gus meletakkan mereka pada landasan selesa melayakkan diri ke suku akhir.

Finalis tahun lalu itu tidak menghadapi masalah mengenepikan PDRM 3-0 di Stadium Shah Alam menerusi ledakan Amirulhadi Zainal pada minit ke-18, Safee Sali (m-39) dan kapten, Amri Yahyah (m-87).

Kuala Muda Naza pula berjaya menebus kekalahan di tangan PDRM Sabtu lepas dengan menjinakkan sabah 2-1 untuk naik ke tangga kedua Kumpulan D.

Kumpulan E
Kelantan 1 Kedah 0
ATM 1 Pulau Pinang 1

Gol tunggal daripada sepakan percuma menarik Indra Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan untuk berada di landasan tepat mengintai slot ke suku akhir selepas mengatasi cabaran Kedah 1-0 di Stadium Sultan Mohd Ke-IV.

Kemenangan ke atas juara bertahan itu membolehkan Kelantan selesa memimpin Kumpulan E dengan enam mata maksimum selepas dua perlawanan.

Manakala ATM melonjak ke tangga kedua selepas seri buat kali kedua berturut-turut, kali ini mengikat Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Carta Penuh Piala Malaysia 2009

No comments: