Sunday, February 10, 2008

Piala Afrika: Tuan rumah raih tempat ketiga

Ghana tewaskan Ivory Coast 4-2 untuk ubati kekecewaan

Tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Afrika, Ghana mengubati kekecewaan gagal ke final dengan meraih tempat ketiga selepas menewaskan Ivory Coast 4-2 di Accra awal pagi tadi.

Selepas tumpas di tangan Cameroon 0-1 pada pusingan separuh akhir tiga hari lalu, Ghana perlu menang untuk sekurang-kurangnya mengurangkan kesedihan penyokong setia mereka yang sangat berharap pasukan itu mampu menjulang trofi di halaman sendiri.

Penyerang, Sulley Muntari tidak menunggu lama untuk menaikkan semangat rakan-rakannya apabila meletakkan Ghana di depan seawal minit ke-10.

Bagaimanapun penyerang Ivory Coast, Boubacar Sanogo berjaya melenyapkan sorakan penonton tuan rumah dengan menyumbat dua gol dalam tempoh sembilan minit untuk mendahului 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga 70 minit permainan untuk menyamakan kembali permainan menerusi gol jaringan Owusu Abeyie sebelum Junior Agogo dan Haminu Draman melengkapkan kemenangan bergaya di minit ke 80 dan 85.

Malam ini merupakan pertemuan kemuncak kejohanan melibatkan pertemuan antara juara bertahan, Mesir dan juara empat kali, Cameroon yang dijadual berlangsung jam 1.00 pagi.

No comments: