Tuesday, February 5, 2008

Kemenangan Barcelona tidak gugat kedudukan Real

Real Madrid masih selesa memimpin liga dengan kelebihan enam mata

JARINGAN lewat permainan menerusi Xavi Hernandez memberikan Barcelona kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabarnya, Osasuna pada saingan Bola Sepak Liga Primera Sepanyol semalam.

Pemain tengah Barcelona itu yang menggantikan Deco pada minit ke-81, bijak mengawal bola sebelum melakukan sepakan voli ke gawang gol lawan.

Kemenangan tipis itu sangat berharga buat Barcelona dan jurulatih, Frank Rijkaard untuk membuka peluang dalam buruan juara liga.

‘‘Saya tidak memikirkan tentang Madrid. Mereka ada kelebihan tetapi mungkin untuk seketika sebab mereka masih di atas (liga),’’ kata jurulatih dari Belanda itu selepas perlawanan.

Bagaimanapun kemenangan tersebut tidak memberi kesan kepada kedudukan mereka dalam carta liga dengan pendahulu, Real Madrid kekal di tangga teratas mengumpul 53 mata sekalipun tewas 0-2, sehari sebelumnya. Barcelona pula di tempat kedua dengan 47 mata diikuti Villarreal dan Espanyol yang berkongsi 39 mata.

Dalam pada itu, Valencia menamatkan badi kekalahan dalam 10 perlawanan dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Valladolid manakala penyerang Brazil, Luis Fabiano menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Recreativo Huelva 2-1.

No comments: