Monday, February 11, 2008

Liga England: Kekalahan United legakan Arsenal

Man United 1 Man City 2

Chelsea 0 Liverpool 0


PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Arsenal boleh menarik nafas lega apabila pencabar terdekatnya, Manchester United gagal mengutip sebarang mata apabila tumbang di gelanggang sendiri kepada pasukan tetangga, Manchester City 1-2 malam tadi.

Dua gol pada babak pertama menerusi, Darius Vassell dan penyerang baru, Benjani Mwaruwari pada minit ke-25 dan 45 membolehkan City mengutip tiga mata penuh untuk terus bersaing merebut slot kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Skuad Red Devils yang tidak pernah tewas kepada kelab jirannya itu di Old Trafford sejak tahun 1974 turun dalam suasana memperingati ulang tahun ke-50 'Tragedi Munich' yang mengorbankan lapan pemain kelab itu dalam perjalanan pulang ke England selepas satu perlawanan Piala Eropah tahun 1958.

Lebih mengguris hati apabila perlawanan itu turut disaksikan bekas-bekas pemain United yang terselamat dalam nahas udara itu.

Sempena memperingati tragedi tersebut pemain dan penyokong kedua-dua pasukan memberi penghormatan kepada mangsa dengan bertafakur selama seminit.

Pada perlawanan itu United turun tanpa bintang utamanya, Wayne Rooney dan Patrice Evra yang digantung perlawanan, manakala tonggak tengah diletakkan di bangku simpanan.

Selepas 25 minit perlawanan bermula tuan rumah dikejutkan dengan gol awal menerusi Darius Vassel yang memanfaatkan gerakan menarik antara Stephen Ireland dan Martin Petrov.

Sekalipun cuba mencari gol penyamaan, namun semuanya serba tidak menjadi buat United termasuk sepakan percuma Cristiano Ronaldo dari jarak 25 meter tinggi melepasi palang gol.

Sebaliknya penyokong Red Devils sekali lagi tersentak apabila pemain antarabangsa Zimbabwe, Benjani Mwaruwari berjaya menanduk masuk hantaran silang Petrov melepasi jangkauan penjaga gol, Van der Sar, seminit sebelum rehat.

Jaringan tersebut merupakan gol sulung bekas pemain Portsmouth itu dalam penampilan pertama buat kelab barunya.

Selepas bertungkus lumus memburu gol, pemain tengah England, Michael Carrick akhirnya menemui sasaran di hujung permainan namun ia agak terlewat untuk mengelakkan kekalahan pertama United dalam 13 perlawanan berturut-turut.

Kekalahan itu menyaksikan United kini ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang mampu melebarkan jurang kepada lima mata seandainya kelab London itu mampu menjinakkan Blackburn Rovers, awal pagi esok.

Mengulas kekalahan tersebut penolong pengurus United, Carlos Queiroz menyalahkan jadual perlawanan antarabangsa pada pertengahan minggu lalu sebagai punca anak-anak buahnya gagal beraksi di tahap terbaik.

"Setiap kali mereka kembali daripada beraksi dengan skuad kebangsaan, mereka tidak berada pada tahap terbaik kerana keletihan," katanya kesal.

Sementara itu pasukan tangga ketiga, Chelsea mempersia-siakan peluang untuk kembali bersaing dalam perebutan juara Liga Perdana England apabila diikat tanpa jaringan oleh Liverpool dalam perlawanan lewat malam tadi.

The Blues yang berpeluang merapatkan jurang dengan Arsenal kepada tiga mata seandainya menewaskan Liverpool gagal menggugat benteng pertahanan pelawat. Satu-satunya kebanggaan buat tuan rumah ialah mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan liga di Stamford Bridge kepada 76 perlawanan berturut-turut.

No comments: