Friday, February 1, 2008

Liga Perdana Inggeris (EPL)

Chelsea kekal saingi perebutan mahkota liga

JARINGAN tunggal pemain tengah, Michael Ballack sudah cukup buat Chelsea memungut tiga mata penuh di samping terus berada pada landasan bersaing merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kapten Jerman itu menanduk masuk bola hantaran Paulo Ferreira pada minit ke-32 untuk menewaskan Reading 1-0 di Stamford Bridge.

Chelsea yang melangkah ke final Piala Liga itu turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona di padang latihan Chelsea.

Kemenangan itu juga berjaya menyamai rekod kelab sebelum ini iaitu sembilan kemenangan berturut-turut yang dicatat pada 2005 di bawah kendalian jurulatih dari Portugal, Jose Mourinho.

Reading bekerja keras untuk menyamakan kedudukan tetapi Chelsea jelas membuktikan kemampuannya.

Pasukan The Blues itu terus kekal di tangga ketiga EPL - empat mata di belakang Manchester United.

Reading pula terjerumus di tempat ke-16, dua mata di atas zon penyingkiran selepas pasukan The Royals itu gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan dan hanya menang dua kali daripada 15 aksi.

“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan bagi membolehkan kami menang, tetapi dalam perlawanan ini, kami seharusnya menjaringkan lebih banyak gol. Kita banyak mencipta peluang,” kata pengurus Chelsea, Avram Grant.

Mengulas mengenai Ballack “salah satu kualiti dirinya adalah dia mampu menempatkan dirinya ke dalam kotak penalti dan menjaringkan gol selain memberikan bantuan. Dia pemain moden kerana dia mampu melakukan segala-galanya di atas padang."

Bagaimanapun nasib berbeza dialami Juara Eropah lima kali, Liverpool yang terpaksa pulang dengan kekecewaan dari Upton Park ekoran kekalahan dramatik 0-1 kepada West Ham - keputusan yang dilihat menamatkan sisa-sisa harapan untuk menghidu peluang kejuaraan buat pertama kali selepas kemarau 18 tahun.

Mark Noble menjaringkan gol kemenangan Weat Ham menerusi sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan selepas Jamie Carragher menjatuhkan Freddie Ljungberg. Keputusan ini menyaksikan The Reds pimpinan Rafael Benitez kini jatuh ke tangga ketujuh liga.

No comments: