Monday, February 11, 2008

Piala Afrika 2008: Mesir sah status sebagai jaguh Afrika

FINAL: Mesir 1 Cameroon 0

GELARAN jaguh Afrika kini sah milik Mesir, selepas negara itu mengekalkan kejuaraan merangkul mahkota Piala Negara Afrika dengan membenam Cameroon 1-0 di Accra, awal pagi tadi.

Kejayaan itu sekaligus menepis anggapan nakal mengatakan Mesir sekadar jaguh kampung selepas mereka menjuarai edisi terakhir ketika kejohanan itu berlangsung di Kaherah dua tahun lalu.

Sebaliknya kejayaan tersebut bertambah manis apabila skuad negara itu dibarisi sebahagian besarnya dengan pemain yang mewakili kelab tempatan.

Dalam perjalanan mara ke final barisan bimbingan Hassan Shehata, juga warga kelahiran Mesir berjaya menumbang skuad dipenuhi bintang terkemuka Eropah seperti Cameroon dan Ivory Coast.

Kemenangan itu membuktikan bahawa semangat berpasukan diterapkan pemainnya mampu melawan aksi individu bertaraf 'super star' seperti Samuel Eto'o (Cameroon), Didier Drogba dan Salomon Kalou (Ivory Coast) serta bintang tuan rumah, Michael Essien.

Hal itu diakui sendiri oleh beberapa pemain yang menjadi lawan Mesir. Umpamanya pertahanan Cameroon, Bill Tchato.

"Kami harus mengucapkan tahniah kepada Mesir, mereka begitu bertenaga untuk mendapatkan kemenangan. secara ikhlasnya pasukan pasukan terbaik yang akan menang. Dan, kemenangan mereka dua tahun lalu bukanlah kebetulan," ujarnya.

"Keputusan perlawanan ini sungguh mengecewakan kami,tetapi kesalahan tidak harus dituju kepada beberapa individu tetapi ia melibat seluruh pasukan," kata bekas bintang Chelsea, Geremi.

Kemampuan Mesir merangkul kejuaraan keenam juga memberi kepuasan tidak terhingga buat jurulatihnya, Hassan Shehata. Jurulatih berusia 58 tahun itu muncul jurulatih kedua yang mampu mempertahankan gelaran juara.

Jurulatih pertama yang mampu memenangi dua kejuaraan berturut-turut ialah bekas jurulatih Ghana, Charles Gyamfi yang memenangi gelaran di Tunisia, 1965.

No comments: