Wednesday, January 23, 2008

Carling Cup: Ego Wenger tercalar

Spurs Akhiri rekod 21 perlawanan tanpa kemenangan di tangan Arsenal dengan bergaya
TOTTENHAM Hotspurs melangkah ke perlawanan akhir piala liga (Carling Cup) dengan bergaya apabila membenam pencabar kejuaraan Liga Perdana, Arsenal dengan kemenangan besar 5-1 di White Hart Lane, awal pagi tadi.

Pada perlawanan timbal balik pertama di Stadium Emirates kedua-dua pasukan terikat 1-1, menjadikan aggregat keseluruhan 6-2 buat anak buah Juande Ramos.

Kemenangan itu juga mengakhiri rekod buruk sepanjang 21 pertemuan dengan Arsenal sebelum ini di mana kali terakhir Spurs menewaskan anak buah Arsene Wenger pada tahun 1999.

Bermain di depan penyokong setianya, Spurs bermula baik apabila Jermaine Jenas menggegar gawang pelawat kira-kira tiga minit perlawanan berlangsung.

Manakala gol sendiri Nicklas Bendtner di minit ke-27 menambahkan lagi derita anak buah Arsene Wenger sebelum memasuki babak kedua.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk terus merobek gawang Arsenal menerusi percubaan Robbie Keane tiga minit perlawanan bersambung.

Aaron Lennon kemudiannya menambah gol keempat buat menggamatkan stadium dengan gerakan serangan balas pantas hasil hantaran Dimitar Berbatov.

Kemasukan penyerang Togo, Emmanuel Adebayor menggantikan Theo Walcott memberi sedikit kesan kepada barisan hadapan Arsenal dan berjaya merapat sedikit jurang di minit ke-70.

Bagaimanapun segalanya sudah terlambat buat The Gunners. Steed Malbranque melengkapkan kemenangan besar Spurs dengan gol kelima pada waktu kecederaan.

1 comment:

Unknown said...

Baru padan muke wenger.. asyik cakap besar saje.. boring ngan arsenal