Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika
DAKAR: Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di Ghana yang bermula esok bakal menyaksikan pemain bertaraf dunia dari benua itu merebut kejuaraan paling berprestij.
Dua nama besar yang mengetuai cabaran di kejohanan kali ke-26 ini sudah pasti bintang Cameroon yang beraksi untuk Barcelona, Samuel Eto’o dan penyerang berbisa Chelsea dari Ivory Coast, Didier Drogba.
Kejohanan kali ini disifatkan sebagai pentas Eto’o dan Drogba beradu skil untuk merebut gelaran ‘Raja Bola Benua Afrika’.
Ia bertepatan dengan puncak prestasi kedua-duanya apabila berjaya mengangkat kelab masing-masing menduduki kelompok atas saingan di Liga Perdana England dan Liga Sepanyol.
Jika tidak, masakan kedua-dua kelab mereka ‘pening kepala’ kerana terpaksa melepaskan Eto’o dan Drogba untuk menyertai kejohanan kali ini.
Apa pun, Eto’o dan Drogba tidak bersaing dua penjuru, berapa pemain terkenal dalam liga utama Eropah turut ‘menyengat’ seperti dua pemain dari Mali, Mahamadou Diarra (Barcelona) dan Frederick Kanoute (Seville), pemain Nigeria Obafemi Martins (New Castle) dan Nwankwo Kanu- (Portsmouth), Yaya Toure (Barcelona) bintang tuan rumah, Micheel Essien (Chelsea) dan ramai lagi.
Kepantasan Eto’o digeruni
Dikenali sebagai penyerang yang pantas dan tendangan kencang yang kerap menggegar jaring, Eto’o merupakan tulang belakang Barcelona selain gandingannya dengan Ronaldinho.
Dihormati sebagai penyerang semula jadi terbaik di dunia, Eto’o membuktikan mana-mana kelab yang mendapatkan khidmatnya pasti akan bergelar juara.
Ketika bersama Real Mallorca, Eto’o muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dengan 54 gol.
Keupayaan menjaring dan skil kawalan bola menakjubkan, memikat kelab-kelab bola sepak gergasi Eropah.
Jadi tidak hairanlah ketika Eto’o ke Barcelona pada 2004, kelab itu sanggup membayar sehingga RM116.3 juta kepada Real Madrid.
Harga tinggi itu berbaloi apabila Eto’o yang membuat kemunculan bersama Barcelona pada Ogos 2004 pantas meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama.
Pada 2006 Eto’o dianugerah gelaran “pichichi” atau penjaring terbanyak liga iaitu 50 gol pada musim 2005 dan 2006.
Rekod untuk pasukan kebangsaannya juga cemerlang apabila mula menyarung jersi Cameroon pada usia 15 tahun.
Dia merupakan pemain termuda pada kejohanan Piala Dunia 1998 iaitu 17 tahun tiga bulan.
Dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Afrika 2003, 2004 dan 2005, pemain pertama memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali.
Drogba julang Chelsea
Kehadiran Drogba menjulang kelab Chelsea dalam saingan Liga Perdana England dengan mencatat musim gemilang pada 2006-2007.
Pemain Terbaik Afrika 2006 itu menjaringkan 33 gol, menjadikan dia penjaring terbanyak Chelsea selepas Kerry Dixon pada musim 1984/85.
Dia yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Perancis menyertai Chelsea dari Marseille pada 2004 dengan bayaran perpindahan sebanyak RM116 juta.
Apa yang menarik tentang pemain yang dilahirkan di Abidjan pada 11 March 1978, dia menghabiskan zaman kanak-kanak di negara kelahirannya, Ivory Coast dan dibesarkan di Perancis.
Dikenali sebagai ‘Tito’ di kalangan rakan-rakan, keluarganya berhijrah ke Perancis ketika dia berusia lima tahun dan diperkenalkan kepada dunia bola sepak oleh bapa saudaranya, Michel Goba, seorang pemain profesional.
Drogba membantu negaranya layak pertama kali ke Piala Dunia 2006 di Jerman.
Kemunculan sulung Drogba untuk kebangsaan ialah pada September 2002 menentang Afrika Selatan.
Sunday, January 20, 2008
Eto’o, Drogba intai Raja Bola
Artikel BolaCyber at 5:32 AM
Kategori: Piala Negara Afrika 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment