Saturday, January 26, 2008

Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008

Skuad 'The Elephants' pasukan pertama layak ke suku akhir

Ketua pasukan, Didier Drogba mengemudi Ivory Coast muncul pasukan pertama daripada 16 pasukan yang bertanding layak ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Afrika.

Kejayaan itu hadir ekoran kegagalan pasukan pilihan, Nigeria menewaskan Mali pada perlawanan kedua Kumpulan B awal pagi tadi. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sekaligus menyulitkan peluang skuad 'The Eagles' untuk ke suku akhir.

Skuad The Elephants itu mengumpul maksimum enam mata daripada dua perlawanan selepas menang besar ke atas Benin 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Sekondi pagi tadi dan tempat ke suku akhir sudah terjamin sekalipun jika mereka tewas pada perlawanan terakhir kumpulan.

Bintang Chelsea, Didier Drogba menyumbat gol pertama pada minit ke-40 diikuti jaringan Yaya Toure seminit sebelum babak pertama berakhir.

Abdelkader Keita dan Aruna Dindane kemudiannya menambahkan lagi derita Benin apabila membocori gawang lawan untuk gol ketiga dan keempat Ivory Coast pada minit ke-53 dan 63.

Sementara itu hasrat Nigeria menebus kekalahan di tangan Ivory Coast pada perlawanan pembukaan tidak kesampaian apabila hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Mali.

Sehubungan itu mereka perlu menewaskan Benin pada perlawanan terakhir kumpulan dengan jaringan besar sekiranya mahu melayakkan ke saingan kalah mati sambil berharap Mali gagal menewaskan Ivory Coast.

No comments: