Tuesday, January 22, 2008

Piala Liga England (Carling Cup) - Separuh Akhir Kedua


Peluang Spurs akhiri rekod tanpa kalah dengan Arsenal
INILAH peluang terbaik Tottenham Hotspur mengakhiri rekod tanpa kalah dengan Arsenal dalam 20 pertemuan mereka sejak 1999.

Dan tempat ke pertandingan akhir Piala Liga tentu cukup untuk menjadi motivasi kuat kepada anak buah Juande Ramos mengakhiri penantian tersebut.

Arsenal tanpa tonggak pertahanan, Kolo Toure, di samping Johan Djourou dan Alexandre Song, yang terlibat dalam pertandingan Piala Negara-Negara Afrika di Ghana.

Tambahan pula, ia akan bermain di White Hart Lane dan selepas menyekat Arsenal 1-1 di Stadium Emirates, anak didik Ramos menjadi pilihan dalam perlawanan separuh akhir kedua malam ini (awal pagi esok).

Para pemain Spurs juga tentu belum dapat melupakan kekecewaan apabila Arsenal menyingkirkan mereka di peringkat yang sama pertandingan ini tahun lalu.

Spurs mendahului dua gol di padang sendiri dalam perlawanan separuh akhir pertama tetapi Arsenal bangkit menyamakan kedudukan 2-2.

Arsenal kemudian menang 3-1 dalam perlawanan kedua sebelum tewas kepada Chelsea dalam final.

Kekalahan tersebut cukup untuk menjadi peringatan kepada Spurs supaya lebih berwaspada sekalipun pengurus Arsenal, Arsene Wenger, seperti yang lazim dilakukannya, menurunkan ramai pemain simpanan.

Biar siapa juga yang membentuk kesebelasan Arsenal, Ramos dijangka menurunkan barisan terbaiknya untuk memanfaatkan peluang keemasan ini.

Jurulatih asal Sepanyol itu telah pun membayangkan akan menurunkan kesebelasan utamanya selepas merehatkan penyerang handalan, Dimitar Berbatov, Steed Malbranque dan kapten Ledley King ketika menang 1-0 ke atas Sunderland dalam perlawanan Liga Perdana Sabtu lalu.

Ramos juga mahu mengekalkan rekod cemerlangnya memenangi piala dengan menjulang Piala Uefa dua kali dan begitu juga Piala Sepanyol semasa memimpin Sevilla.

Tidak boleh dinafikan bahawa beliau mempunyai skuad yang berkualiti.

Selain Berbatov, Malbranque dan King, Spurs mempunyai bintang-bintang seperti Aaron Lennon, Jermaine Jenas, Jermaine Defoe, Pascal Chimbonda, Michael Dawson dan penjaga gawang Paul Robinson.

Tetapi pemain yang menjadi harapan Ramos untuk memenangi perlawanan ini ialah penyerang Republik Ireland, Robbie Keane, yang menjaringkan gol kemenangan Spurs ke atas Sunderland meskipun hanya beraksi selama 15 minit.

Gol kemenangan itu merupakan yang ke-100 bagi Keane. "Ia merupakan satu pencapaian yang hebat bagi dirinya, Tottenham dan semua keluarga Spur.

"Saya amat gembira bagi pihaknya kerana pencapaian ini tidak mudah dikecapi," kata Ramos.

Bukan saja Keane, Ramos pasti mengharapkan Berbatov dapat membuktikan kemampuan dan ketajaman sebenarnya - sejajar dengan reputasinya yang menjadi buruan beberapa kelab utama di England.

Sekalipun banyak fakta menyebelahi Spurs, yang menjadi tanda tanya ialah dapatkah para pemainnya mengikis perasaan rendah diri setiap kali berdepan dengan jirannya itu?

Jika hambatan ini dapat diatasi, para penyokong Spurs akan merayakan kunjungan mereka ke Wembley pada akhir perlawanan ini nanti.

No comments: