Peluang Benitez kembalikan keyakinan pemilik kelab
SEGALA-GALANYA tampak kurang menjadi buat Liverpool akhir-akhir ini. Mahkota Liga Perdana England semakin jauh daripada jangkauan dan Piala Liga pula sudah terlepas daripada buruan.
Kini Liverpool mesti memastikan perjuangannya dalam Piala FA tidak terbantut apabila berdepan dengan Luton Town dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga hari ini (3.45 pagi Rabu waktu Malaysia).
Berdasarkan pengalaman dan barisan pemain, Liverpool seharusnya menang mudah - lebih-lebih lagi bermain di Anfield.
Tetapi kegigihan kelab Liga Bahagian Bawah yang dicengkam masalah kewangan menyekat Liverpool 1-1 di Kenilworth Road dalam pertemuan pertama cukup menjadi peringatan kepada anak buah Rafael Benitez.
Bagi Luton, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, apa juga keputusannya mereka tetap puas hati - sekurang-kurangnya meraih ganjaran kewangan jika gagal mencatatkan kejutan.
Benitez, yang ketika ini diselubungi pelbagai tekanan, sedar tentang ancaman pasukan pimpinan Kevin Blackwell ini dan beliau dilaporkan akan menurunkan kesebelasan terkuatnya untuk mencerahkan peluang ke pusingan keempat.
Penyerang Sepanyol, Fernando Torres, yang menjaringkan golnya yang ke-17 musim ini ketika seri 1-1 dengan Middlesbrough dalam Liga Perdana hujung minggu lalu, pasti akan dikekalkan untuk memastikan ketajaman jentera serangan Liverpool.
Tetapi mungkinkah penyerang England, Peter Crouch, akan digandingkan dengan Torres? Atau sama ada Dirk Kuyt dan Andriy Voronin menjadi pilihan?
Crouch merupakan penjaring gol ketika seri 1-1 di Luton dan Benitez mungkin terdorong untuk menurunkannya, apatah lagi Kuyt gagal menjaringkan gol sejak Oktober lalu, sementara Voronin hanya menyumbatkan empat gol sejak tiba di Anfield sebelum bermula musim ini.
Bagaimanapun, Liverpool tidak boleh terlalu bergantung kepada Torres untuk menyumbangkan gol dan ini diakui oleh pemain pertahanan veteran, Samy Hyppia.
Sekali pun beliau gembira dengan prestasi Torres, bintang Finland itu menegaskan para pemain lain juga perlu memainkan peranan mereka.
"Kita tidak boleh bergantung kepada Torres untuk menjaringkan semua gol," kata Hyppia. "Pemain lain juga perlu dapat bertindak lebih tajam bagi menyumbatkan gol," katanya.
"Kami mempunyai beberapa peluang jaringan dalam perlawanan dengan Middlesbrough tetapi gagal memanfaatkan, termasuk saya sendiri selepas menerima bola umpanan tendangan sudut," tambah beliau.
Hyypia, yang memburu pingat Piala FA ketiganya selepas membantu Liverpool menjadi juara pada 2001 dan 2006, menggesa rakan-rakan sepasukan supaya jangan membenarkan suasana di luar padang yang melibatkan Benitez menjejas perhatian mereka menghadapi perlawanan ini.
Dengan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester United, Benitez perlukan kemenangan memberangsangkan ke atas Luton untuk mengembalikan keyakinan pemilik Liverpool, George Gillett dan Tom Hicks, yang dilaporkan sedang mencari pengganti jurulatih dari Sepanyol ini.
Dengan keputusan Juergen Klinsmann memilih Bayern Munich, kedudukan Benitez nampaknya selamat - sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.
Tetapi jika beliau gagal memperoleh keputusan yang diharapkan, Benitez mungkin akan menghitung hari mengenai kedudukannya di Anfield.
Tuesday, January 15, 2008
Liverpool perlu menang malam ini
Artikel BolaCyber at 8:24 PM
Kategori: Liga Perdana Inggeris, Liverpool
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment