Tuesday, January 22, 2008

Mali cari ruang buat kejutan

Piala Negara Afrika 2008
Mali lwn Benin (22 Jan, 3.30 pagi Selasa)

MALI memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika menentang Benin pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, awal pagi ini dengan misi membuktikan keupayaan status mereka sebagai pasukan bukan pilihan yang mampu mengugat serta melaung amaran kepada lawan.

Berbanding lawan dalam kumpulan membariskan negara barat daya benua Afrika itu, skuad ‘Eagles’ berpeluang cerah menamatkan saingan dalam kelompok dua pasukan terbaik untuk layak ke peringkat kalah mati.

Walaupun Pemain Terbaik Afrika 1988 dari Zambia, Kalusha Bwalya menyifatkan Mali berpeluang cerah muncul juara, keupayaan Ivory Coast dan Nigeria dalam saingan liga-mini itu menjadikan saingan bertambah sukar.

Ivory Coast, naib juara dua tahun lalu selepas kecundang kepada tuan rumah, Mesir dan pasukan kerap menduduki tangga ketiga, Nigeria berada dalam kelompok saingan bersama tuan rumah, Ghana serta juara empat kali, Cameroon yang turun selaku pilihan.

Situasi itu menyaksikan Mali, dibarisi pemain tengah berpangkalan di Sepanyol, Seydou Keita, Mahamadou Diarra dan penyerang, Frederic Kanoute perlu mencatat kemenangan ke atas Benin di Stadium Essipong bagi memecah monopoli pasukan pilihan.

Perlawanan pertama menentang Benin pada pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika dilihat bakal berlangsung sengit apabila dua negara barat Afrika itu mencatat keputusan seri ketika berada dalam satu kumpulan sama pada pusingan kelayakan sebelum ini.

Setinggi mana keazaman pemain Mali beraksi selaku pasukan pilihan, tekanan lebih menjurus kepada jurulatih kelahiran Perancis, Jean-Francois Jodar serta sebahagian besar pemainnya berpangkalan di Eropah, dengan Benin diletak selaku pasukan kedua paling lemah di Ghana selepas Namibia.

Kanoute mengelak daripada menyifatkan Benin sebagai skuad ‘tupai’ dengan menjalankan analisis mengenai ‘kumpulan maut’, apabila sepak mula diadakan hari ini, membabitkan Ivory ‘The Elephants’ dan Nigeria ‘Super Eagles’ di venue sama.

“Kami memiliki pemain bagus, tapi tidak setaraf aksi kelas dunia seperti Ivory Coast dan Nigeria yang sentiasa memberi cabaran garang dalam posisi,” kata penyerang itu yang kini beraksi bersama juara Piala Uefa dan Piala Sepanyol, Sevilla.

“Mali bangkit menutup kekurangan itu dengan membentuk satu skuad yang kemas dan saya yakin perebutan ke pusingan kalah mati masih menjadi satu kemungkinan berada dalam kumpulan paling sukar berbanding tiga kumpulan lain dalam kejohanan ini,” katanya.

No comments: