Friday, January 25, 2008

Bola Sepak Piala Afrika 2008

Guinea kejutkan Morocco 3-2

Tiga pasukan kumpulan A berpeluang mara ke suku akhir

KEJAYAAN Guinea mengejutkan Morocco 3-2 menjadikan persaingan Kumpulan A terbuka buat tiga pasukan merebut dua slot ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Negara-Negara Afrika.

Bagaimanapun tuan rumah kejohanan kali ini, Ghana mempunyai peluang lebih cerah apabila hanya memerlukan satu mata untuk ke pusingan kalah mati.

Morocco yang sebelum ini membenam Namibia 5-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan dikejutkan jaringan awal minit ke-11 menerusi sepakan percuma pemain tengah pasukan lawan, Pascal Feindouno.

Guinea kekal mendahului 1-0 sehingga berakhir babak pertama.

Ketua pasukan Guinea itu sekali lagi bertindak cemerlang apabila bola umpanannya berjaya disudahkan dengan baik oleh Ismael Bangoura untuk gol kedua Guinea.

Bagaimanapun selang seminit kemudian Morocco bingkas merapatkan jurang gol menerusi Hicham Aboucherouane.

Hanya tiga minit kemudian Guinea sekali lagi selesa di depan apabila Souleymane Youla dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh pemain lawan, Michael Basser.

Feindouno berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga Guinea dan jaringan kedua peribadinya pada malam itu.

Bagaimanapun Feindouno tidak bernasib apabila diperintah keluar padang empat minit kemudian kerana mengasari pemain lawan.

Beraksi dengan 10 pemain dengan permainan berbaki 20 minit Guinea kental bertahan sebelum pemain pertahanan Morocco, Abdelslam Ouaddou berjaya menambah gol kedua pasukannya, namun segalanya telah terlambat untuk mengubah keputusan.

Dalam satu lagi perlawanan, tuan rumah, Ghana berjaya mengutip tiga mata apabila menundukkan pasukan tercorot kumpulan, Namibia 1-0 untuk mengungguli Kumpulan A dengan enam mata maksimum.

Namibia yang tewas perlawanan pembukaan di tangan Morocco di tangga keempat tanpa sebarang mata.

Ghana hanya memerlukan keputusan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Morocco untuk layak ke saingan suku akhir.

No comments: