Barcelona diikat Villareal 0-0
KETANGKASAN penjaga gol Barcelona, Victor Valdes menangkis percubaan-percubaan berbahaya menyelamatkan pasukannya daripada menerima kejutan di tangan Villarreal pada perlawanan pertama suku akhir Piala Raja Sepanyol (Copa Del Rey) semalam.
Kecekapan Valdes menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan memberi kelebihan buat skuad Catalans itu menjelang pertemuan timbal balik kedua di Nou Cam Khamis ini.
Pada perlawanan semalam penjaga gawang utama Barcelona itu kelihatan lebih sibuk berbanding penjaga gawang Villarreal dalam pertarungan sengit itu, terutama dalam separuh masa pertama.
Beliau bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Villarreal menerusi Giuseppe Rossi dan Nihat Kahveci.
Villareal yang menewaskan Barcelona 3-1 dalam saingan Liga Primera pada Oktober lalu, kelihatan lebih tajam ketika melancar serangan.
Ini memaksa jurulatih Barcelona, Frank Rijkaard, menurunkan bintang muda Argentina, Lionel Messi, untuk menyemarakkan berisan serangannya.
Langkah itu menunjukkan hasil apabila Barcelona meningkatkan serangan dan Andres Iniesta hampir memecahkan kebuntuan apabila rembatannya terkena tiang dan satu percubaan jarak dekatnya diselamatkan.
Villarreal juga berpeluang memenangi perlawanan jika tidak kerana kecemerlangan Valdes menyelamatkan bola tendangan percuma Nihat pada minit terakhir permainan.
Sementara itu, Racing Santander menguasai permainan dalam pertarungan sengit dengan Bilbao tetapi hanya dapat membolosi gawang lawan pada minit ke-75 menerusi tandukan Mohamed Tchite.
Ebi Smolarek menambah jaringan empat minit kemudian meskipun ulang tayang televisyen menunjukkan beliau dalam kedudukan off-side ketika merembat bola umpanan Pablo Alvarez.
Dalam perlawanan lain kelmarin, Valencia dan finalis tahun lalu, Getafe, masing-masing menang 1-0 ke atas Atletico Madrid dan Real Mallorca.
Saturday, January 26, 2008
Bola Sepak Piala Raja Sepanyol
Artikel BolaCyber at 5:59 AM
Kategori: Piala Raja Sepanyol
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment