Monday, January 28, 2008

Serie A Itali - Kelibat Pato semakin digeruni

Jaringan pemain muda Brazil lonjak Milan

JUARA Eropah, AC Milan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Serie A Itali selepas menewaskan pasukan pertengahan, Genoa 2-0 di San Siro malam tadi.

Pemain muda berbakat dari Brazil, Alexandre Pato menjaringkan kedua-dua gol Milan pada separuh masa kedua sekaligus memberi kelegaan kepada barisan kendalian Carlo Ancelotti selepas mempamer aksi hambar di awal musim.

Pato menanduk masuk hantaran Clarence Seedorf pada minit ke-69. Seminit kemudian, penjaga gol Genoa, Rubinho diarah keluar padang apabila dia keluar daripada kawasannya dan menggunakan tangan untuk menghalang Pato yang ketika itu bergerak secara solo menuju ke gawang lawan.

Pato menambah satu lagi gol pada minit ke-83 dengan menggelecek penjaga gol simpanan Genoa, Alessio Scarpi sebelum menyepak masuk gawang ternganga.

Sebelum ini, Pato turut menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya di San Siro dua minggu lalu dan Milan kini menang dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri selepas mengharungi tujuh perlawanan awal tanpa kemenangan di tempat sendiri.

Sementara itu penyandang juara, Inter Milan yang beraksi dengan 10 pemain kehilangan mata penting apabila sekadar seri 0-0 dengan Udinese.

Pemain tengah Inter dari Brazil, Cesar menerima dua kad kuning dalam tempoh 30 saat untuk dilayangkan kad merah pada minit ke-21 di Sadium Friuli.

Inter sebenarnya berpeluang menang, tapi Esteban Cambiasso, Julio Ricardo Cruz dan Zlatan Ibrahimovic masing-masing gagal memanfaatkan setiap peluang terhidang.

Keputusan seri bermakna Udinese kini muncul pasukan tunggal yang tidak mampu dikalahkan Inter dalam tempoh dua musim.

Bagaimanapun, Inter masih belum kecundang dalam liga sejak menentang AS Roma pada April tahun lalu yang menyaksikan mereka menang 20 dan enam seri.

Inter masih mendahului carta liga dengan 50 mata diikuti AS Roma yang menewaskan Palermo 1-0 dengan 45. Manakal Juventus dan Fiorentina masing-masing terikat dengan 37 mata di tangga ketiga dan keempat.

No comments: