Eto’o sandaran Cameroon robek gawang Mesir
JUARA bertahan, Mesir akan memulakan saingan bagi mempertahankan mahkota selaku juara Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika apabila berdepan ujian pertama menentang musuh ketat, Cameroon di Kumasi, hari ini (awal pagi esok).
Mesir kembali menyertai kejohanan itu dengan pasukan terbesar yang menang di tempat sendiri, dua tahu lalu tetapi pasukan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti benteng pertahanan dan mewujudkan ruang pada bahagian serangan berikutan ketiadaan penyerang Middlesbrough, Mido yang tidak beraksi pada kejohanan kali ini.
Lawan bakal dihadapi, Cameroon, mendapat semangat yang disemarakkan dengan kehadiran Samuel Eto’o yang memburu impian untuk memecahkan rekod jaringan terbanyak dilakukan pada kejohanan bola sepak terbesar negara Afrika.
Penyerang Barcelona itu hanya kekurangan tiga gol berbanding 14 gol dilakukan Laurent Pokou dari Ivory Coast yang bertahan sejak 38 tahun lalu.
Sudan dan Zambia beraksi dalam perlawanan lain Kumpulan C di stadium yang dipertingkatkan kualiti di bandar kedua terbesar di Ghana.
Ia penampilan pertama Sudan dalam tempoh 32 tahun dan sekalipun begitu menyerlah pada kempen kelayakan, mereka hanya diramal memiliki peluang tipis untuk menjuarai kejohanan ini.
Jurulatih Zambia, Patrick Phiri berkata, dia memiliki barisan menyeluruh sewaktu membuat persiapan menghadapi kejohanan ini dengan melalui beberapa perlawanan pemanas badan di Sepanyol, Tunisia dan Maghribi.
“Kami melakukan persiapan yang terbaik pernah kami lakukan untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Zambia memiliki penyerang utama, Chris Katongo dan pemain tengah, Isaac Chansa yang menjalani penggantungan dan tidak dapat beraksi pada perlawanan pembukaan.
Cameroon dan Mesir memperbaharui permusuhan mereka sejak kali terakhir bertembung pada kelayakan Piala Dunia 2006 apabila keputusan seri di Yaounde menyebabkan skuad ‘Indomitable Lions - Singa Sukar Dijinakkan’, terlepas mendapat slot beraksi pada pusingan akhir di Jerman.
“Kami memiliki peluang terbaik untuk menang dalam perlawanan ini,” kata jurulatih Cameroon, Otto Pfister yang mula mengendali sepenuhnya skuad itu mengharungi perlawanan antarabangsa sejak mengambil alih tugas itu pada November tahun lalu.
Eto’o dilihat sebagai kunci utama terhadap peluang jika meneruskan aksi cemerlang sepertimana beraksi bersama kelab Barcelona sejak pulih kecederaan pada penghujung tahun lalu.
“Pada hari terbaiknya, saya akan mengatakan dia penyerang terbaik di dunia,” kata Pfister.
Tuesday, January 22, 2008
Piala Negara Afrika 2008
Artikel BolaCyber at 11:55 PM
Kategori: Piala Negara Afrika 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment