Monday, January 14, 2008

Malam cemerlang buat 'trio' Brazil


Ronaldo, Kaka, Pato robek kubu lawan


MILAN: Juara Kelab Dunia dan Eropah, AC Milan akhirnya mencatat kemenangan pertama liga di tempat sendiri musim ini dengan membelasah Napoli 5-2 di San Siro.

Perlawanan tersebut juga merupakan malam yang akan diingati oleh tiga serangkai dari Brazil, pemain terbaik dunia, Kaka, pemenang tiga kali, Ronaldo serta pemain remaja yang membuat kemunculan pertama untuk AC Milan, Alexandre Pato. Satu lagi gol sumbangan pemain veteran, Clarence Seedorf.

Ronaldo yang hanya bermain dua perlawanan untuk Milan musim ini akibat masalah kecederaan meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-15. Bagaimanapun pelawat menyamakan kedudukan 13 minit kemudian sebelum Seedorf kembali memastikan tuan rumah di depan tiga minit kemudian.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila kesilapan pemain pertahanan, Kakha Kaladze membuka ruang buat pemain lawan menyamakan kembali kedudukan menerusi Maurizio Domizzi. Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Permainan separuh masa kedua ternyata milik pasukan tuan rumah sepenuhnya dengan tiga serangkai dari Brazil bergilir menyumbat tiga gol untuk memastikan tiga mata berharga buat Milan yang ketika ini ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Inter Milan yang turut mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan 3-2 ke atas pasukan bawahan Siena.

Bagaimanapun AC Milan masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan akibat terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang ketat termasuk menyertai Kejohanan Kelab Dunia FIFA.

Jika memenangi semua baki tiga perlawanan tersebut Milan mampu mengurangkan jurang mata dengan Inter kepada 16 mata.

No comments: