Monday, January 14, 2008

MU RAMPAS CARTA EPL - Ronaldo pamer sentuhan pemusnah

London: Manchester United mempamerkan kelas tersendiri apabila membelasah pasukan bermasalah, Newcastle 6-0 sekaligus merampas kedudukan teratas carta liga daripada Arsenal yang hanya mampu seri di tempat sendiri dengan pasukan bawahan, Birmingham City 1-1.

Tambah manis, ayam tambatan mereka, Cristiano Ronaldo meledak hatrik sulungnya dalam saingan liga musim ini sekaligus membolehkan Manchester memintas Arsenal dengan memiliki kelebihan jaringan di sebalik mengumpul mata yang sama.

Sementara pasukan tangga ketiga, Chelsea meneruskan usaha mereka memburu kejuaraan liga dengan menewaskan Tottenham 2-0 tetapi harapan Liverpool memburu semula gelaran tampak telah berakhir selepas seri 1-1 di Middlesbrough yang meninggalkan mereka 12 mata di belakang pendahulu.

Dalam perlawanan di Old Trafford malam tadi, Newcastle mampu mengekang asakan tuan rumah tanpa sebarang jaringan sehingga separuh masa.

Namun United sukar dikekang selepas rehat apabila mereka mencatat kemenangan terbesar sejak menang musim lalu, 7-1 ke atas Roma dalam Liga Juara-juara apabila dua jaringan Carlos Tevez dan satu gol Rio Ferdinand melengkapkan kejayaan itu.

Ferguson mengakui dia terpaksa memberikan kata perangsang kepada pasukan ketika rehat untuk memaksa United meningkatkan rentak permainan.

“Saya fikir terlalu banyak individu dalam babak pertama yang cuba menjaringkan gol. Saya menegaskan bahawa umpanan merupakan unsur utama.

“Sebaik sahaja kami meningkatkan rentak umpanan dan pergerakan, mereka menjadi sebuah pasukan yang hebat dalam babak kedua.

“Anda sentiasa mahukan satu permulaan yang pantas ke babak kedua dan gol pantas memuaskan setiap orang dan selepas itu, kami bermain bola sepak yang hebat,” katanya.

Sementara itu, corak permainan Arsenal begitu hambar selepas mendahului Birmingham menerusi sepakan penalti babak pertama Emmanuel Adebayor.

Birmingham mendapat ganjaran atas persembahan bersemangat apabila penyerang Scotland, Garry O’Connor menanduk masuk gol penyamaan, tiga minit selepas rehat.

Kejutan itu mendorong bos Gunners, Arsene Wenger menuduh pemainnya bersikap selesa.

“Kami kehilangan dua mata yang tidak sepatutnya berlaku. Saya berasa kami terperangkap dengan sangkaan bahawa ia akan mudah dan hilang tumpuan,” kata warga Perancis itu.

Chelsea meletakkan penyerang baru bernilai 15 juta pound (RM95.63 juta) di bangku simpanan hampir setengah jam tetapi masih terlalu bagus buat Tottenham di Stamford Bridge.

Juliano Belletti membawa barisan Avram Grant mendahului selepas 19 minit dan kecemerlangan Shaun Wright-Phillips mengakhiri kesangsian mengenai keputusan perlawanan, 10 minit terakhir.

Anelka yang diperoleh minggu ini dari Bolton, hampir mencatat penampilan sulungnya dengan satu gol tetapi rembatannya pada minit terakhir melantun daripada bawah palang gol.

Joleon Lescott menebus kesilapan gol sendiri dalam separuh akhir Piala Liga di Chelsea, pertengahan minggu lalu dengan menjaringkan gol tunggal untuk kemenangan Everton ke atas Manchester City.

Ia merupakan satu kekalahan yang menyaksikan City terjunam dari tempat keempat ke tujuh dalam carta itu.

Liverpool melonjak ke tangga keempat dengan mata mereka di Middlesbrough tetapi ia tidak memuaskan bosnya yang tertekan, Rafael Benitez selepas pasukannya terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan Arsenal.

Boro mendahului pertengahan babak pertama menerusi George Boateng yang merembat dari jarak dekat selepas umpanan penyerang Turki, Tuncay Sanli.

Satu rembatan menarik Fernando Torres - golnya yang ke-17 musim ini - membawa Liverpool menyamakan kedudukan tetapi di sebalik tekanan lewat, mereka masih gagal meraih kemenangan.

Aston Villa mengekalkan pemburuan tempat di Eropah musim depan dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Reading yang menaikkan barisan Martin O’Neill ke tempat keenam.


No comments: