Tuesday, January 22, 2008

Kejohanan Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008


MOROCCO cipta kemenangan besar, Ivory Coast lepasi cabaran Nigeria, Mali catat kemenangan tipis

Jaringan Hatrik pada babak pertama menerusi pemain tengah, Soufiane Alloudi membantu Morocco mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Namibia dalam perlawanan kumpulan A, awal pagi tadi.

Kemenangan besar pasukan bimbingan Henri Michel itu mengubati kekecewaan dialami skuad Morocco pada edisi terdahulu di mana mereka tersingkir seawal pusingan pertama tanpa menjaring sebarang gol!

Dua lagi gol disumbang Tarik Sektioui menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 dan gol terakhir dijaringkan oleh Monsef Zerka pada minit ke-74.

Gol tunggal Namibia dijaringkan oleh Brian Brendell pada minit 23.

Sementara itu jaringan tunggal bintang Chelsea, Salomon Kalou membantu finalis edisi 2006 Ivory Coast mengatasi Nigeria 1-0 dalam perlawanan tumpuan kumpulan B yang berlangsung di Sekondi.

Nigeria yang turun dengan misi membalas dendam kekalahan kepada lawan sama di peringkat separuh akhir pada edisi 2006 lalu memberi saingan hebat kepada skuad 'The Elephant' itu, namun ketiadaan penyudah berkesan menyaksikan mereka terpaksa berputih mata sekali lagi.

Satu lagi perlawanan kumpulan B berkesudahan Mali berjaya menewaskan pasukan bukan pilihan, Benin juga dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penalti bintang sensasinya, Frederic Kanoute pada minit ke-49.

Malam ini (awal pagi Rabu) dua lagi perlawanan dalam kumpulan C akan berlangsung dengan tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan dua gergasi Afrika melibatkan juara bertahan, Mesir yang akan berdepan Cameroon.

Satu lagi perlawanan membabitkan pertemuan Sudan melawan Zambia.

No comments: