Wednesday, January 23, 2008

Piala Negara Afrika: Mesir beri amaran kepada pencabar


Benam cabaran Cameroon dengan bergaya

MOHAMED Zidane menjaringkan dua gol pada babak pertama buat juara bertahan, Mesir memulakan kempen mempertahan kejuaraan dua tahun lalu di landasan tepat apabila membenam pencabar utama dalam kumpulan C, Cameroon 4-2 di Kumasi awal pagi tadi.

Pemain tengah, Hosni Abd Rabou menyumbat gol pertama Mesir minit ke-14 menerusi sepakan penalti sebelum Zidane menambah jaringan tiga minit kemudian dan melengkapkan gol kedua peribadi pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang Barcelona, Samuel Eto'o merapatkan jurang buat Cameroon enam minit sebaik babak kedua bermula dan menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua peribadi di hujung permainan.

Kemenangan selesa itu sebagai amaran awal buat semua pencabar bahawa mereka serius dalam misi mempertahan kejuaraan dan isyarat jelas bahawa kemenangan merangkul trofi berprestij dua tahun lalu di halaman sendiri bukan kerana nasib.

'Kami datang ke sini bukan untuk mencukupkan bilangan pasukan yang bertanding, tapi kami datang dengan misi untuk mempertahankan trofi dua tahun dulu.

"Kami mengerah segenap tenaga kami, kami ingin berada di final sekali lagi," tegas Zidane.

Sementara itu, Zambia mencatat kemenangan besar mengatasi Sudan 3-0 untuk menerajui kumpulan C, mengatasi Mesir dengan kelebihan jaringan gol.

Gol-gol Zambia dihasilkan James Chamanga seawal minit kedua, diikuti Jacob Mulenga minit ke-51 sebelum Felix Katongo melengkapkan kemenangan di minit ke-60.

No comments: