Persembahan cemerlang Petr Cech bawa Chelsea ke final ketiga dalam tempoh empat musim
PASUKAN tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, Chelsea berada di landasan tepat untuk merangkul trofi pertama musim ini selepas mempamer aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir.
Lebih menakjubkan persembahan hebat penjaga gol utama, Petr Cech yang kembali di tahap aksi terbaik selepas mengalami penurunan prestasi akhir-akhir ini.
Jurulatih Chelsea, Avram Grant percaya penjaga gawang utama pasukannya itu kembali ke tahap terbaik yang menjulang beliau sebagai penjaga gol terbaik dunia.
Tanpa berselindung Grant menamakan Cech sebagai tulang belakang kejayaan Chelsea mara ke final Piala Carling ketiga dalam tempoh empat tahun terakhir selepas membenam kelab sejiran, Everton 1-0 di Goodison Park semalam.
Chelsea mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 3-1 selepas menang 2-1 pada perlawanan pertama di Stamford Bridge.
Jaringan cemerlang Joe Cole mematikan harapan Everton untuk bangkit daripada kekalahan 1-2 dalam pertemuan pertama peringkat separuh akhir.
Pemain midfield itu dengan cekap mengawal umpanan Florent Malouda sebelum merembat bola yang menewaskan penjaga gawang Everton dari Amerika Syarikat, Tim Howard.
Keputusan tersebut menghancurkan impian Everton untuk tampil buat pertama kali dalam pertandingan akhir domestik sejak lapan tahun.
“Petr sekali lagi menunjukkan dia berada dalam senarai penjaga gol terbaik dunia. Dia tidak melakukan walau satu kesilapan pun,” kata Grant.
“Dia terpaksa berjaga malam, bercakap kepada keluarganya melalui telefon di Prague. Dia gembira dengan kehadiran bayi barunya dan gembira dengan keadaan isterinya.
“Selepas melalui emosi itu, dia masih mampu beraksi pada permainan seperti ini untuk membawa Chelsea ke Wembley.” tambahnya.
Chelsea hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi untuk mengekalkan Piala Carling dan meraih trofi pertama mereka sejak Grant mengambil alih tugas Jose Mourinho sebagai pengurus.
Lawan Chelsea di final yang dijadual bulan depan di stadium Wembley juga kelab London, Tottenham Hotspurs yang menang besar ke atas Arsenal 5-1 sehari sebelum perlawanan Chelsea-Everton.
The Blues masih kekal berada dalam persaingan merebut mahkota EPL dan pada masa yang sama turut memburu kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.
Grant berkata: “Setiap orang perlu menghormati apa dilakukan Chelsea sejak beberapa bulan lalu. Kami menang banyak perlawanan, bukan sekadar liga, tapi juga dalam Liga Juara-Juara dan kejuaraan lain.
“Ia bukan satu tugas mudah, kami beraksi tanpa ramai pemain utama. Ramai menjangkakan kami tidak akan berjaya sepertimana sebelum ini tapi kami kini berada di final di Wembley. Kami hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga perdana dan mara ke pusingan seterusnya dalam Liga Juara-Juara. Saya gembira,” katanya.
Friday, January 25, 2008
Chelsea buru kejuaraan ketiga Piala Carling
Artikel BolaCyber at 3:55 PM
Kategori: Carling Cup
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment