Monday, January 14, 2008

Arsenal hilang mata berharga

LONDON: Arsene Wenger jarang mengecam pasukannya secara terbuka tetapi semalam beliau seperti terpaksa menyuarakan kehampaannya.

Gara-gara anak buahnya hilang penumpuan, Arsenal seri 1-1 dengan Birmingham dan kini berada di belakang Manchester United dalam pertandingan Liga Perdana England.

Arsenal kelihatan akan memungut mata maksimun setelah meluru 1-0 melalui tendangan penalti Emmanuel Adebayor tetapi Birmingham menyamakan kedudukan melalui tandukan Garry O'Connor pada minit ke-48.

Ini adalah kali kedua musim ini, Arsenal kehilangan mata di Stadium Emirates dan di akhir pertarungan, Wenger tidak dapat menyembunyikan riak kehampaannya.

'Ternyata, saya sungguh kecewa. Sedang penonton memberikan sokongan kami, para pemain pula yang hilang tumpuan dalam permainan ketika menghadapi set-piece.

'Saya fikir apabila meluru ke depan, kami tidak akan menghadapi masalah untuk memenangi perlawanan ini. Malangnya, kami jarang merintis peluang jaringan.

'Kami juga kurang tangkas dalam memanfaatkan peluang. Selain itu, Birmingham telah bertahan dengan baik,' jelas Wenger.

Menurutnya lagi, setiap perlawanan adalah penting.

'Tetapi sayangnya, kami telah kehilangan dua mata yang sepatutnya tidak berlaku. Namun begitu, saya yakin para pemain akan kembali beraksi cemerlang dalam perlawanan akan datang kerana kecewa dengan keputusan ini.

'Yang jelas, kami tidak memberikan penumpuan sepenuhnya dalam perlawanan,' tambah Wenger selanjutnya.

Pengurus pasukan Birmingham, Alex McLeish, berkata keputusan perlawanan itu sungguh melegakan kerana pasukannya telah dimalukan Huddersfield dalam Piala FA England seminggu yang lalu.

'Kami menentang sebuah pasukan yang istimewa dan kesungguhan para pemain yang telah membantu kami mencatatkan keputusan ini.

'Satu perkara yang kami harus baiki ialah memungut mata dalam perlawanan yang kami mempunyai peluang untuk menang. Justeru, kami harus mendapatkan pemain yang berkualiti dalam pasukan kami bulan ini,' jelas bekas pengurus pasukan Scotland itu.


Birmingham mendapat ganjaran atas persembahan bersemangat apabila penyerang Scotland, Garry O’Connor menanduk masuk gol penyamaan, tiga minit selepas rehat.

Kejutan itu mendorong bos Gunners, Arsene Wenger menuduh pemainnya bersikap selesa.

“Kami kehilangan dua mata yang tidak sepatutnya berlaku. Saya berasa kami terperangkap dengan sangkaan bahawa ia akan mudah dan hilang tumpuan,” kata warga Perancis itu.

Chelsea meletakkan penyerang baru bernilai 15 juta pound (RM95.63 juta) di bangku simpanan hampir setengah jam tetapi masih terlalu bagus buat Tottenham di Stamford Bridge.

Juliano Belletti membawa barisan Avram Grant mendahului selepas 19 minit dan kecemerlangan Shaun Wright-Phillips mengakhiri kesangsian mengenai keputusan perlawanan, 10 minit terakhir.

Anelka yang diperoleh minggu ini dari Bolton, hampir mencatat penampilan sulungnya dengan satu gol tetapi rembatannya pada minit terakhir melantun daripada bawah palang gol.

Joleon Lescott menebus kesilapan gol sendiri dalam separuh akhir Piala Liga di Chelsea, pertengahan minggu lalu dengan menjaringkan gol tunggal untuk kemenangan Everton ke atas Manchester City.

Ia merupakan satu kekalahan yang menyaksikan City terjunam dari tempat keempat ke tujuh dalam carta itu.

Liverpool melonjak ke tangga keempat dengan mata mereka di Middlesbrough tetapi ia tidak memuaskan bosnya yang tertekan, Rafael Benitez selepas pasukannya terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan Arsenal.

Boro mendahului pertengahan babak pertama menerusi George Boateng yang merembat dari jarak dekat selepas umpanan penyerang Turki, Tuncay Sanli.

Satu rembatan menarik Fernando Torres - golnya yang ke-17 musim ini - membawa Liverpool menyamakan kedudukan tetapi di sebalik tekanan lewat, mereka masih gagal meraih kemenangan.

Aston Villa mengekalkan pemburuan tempat di Eropah musim depan dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Reading yang menaikkan barisan Martin O’Neill ke tempat keenam.


No comments: