Kekalahan mengejut jejas kedudukan Milan
SELEPAS menang besar ke atas pasukan pertengahan liga, Napoli 5-2 minggu lalu, prestasi juara Eropah, AC Milan kembali merudum berikutan kekalahan mengejut kepada Atalanta 2-1 dalam saingan Serie A Itali semalam.
Berikutan situasi tersebut, peluang untuk sekurang-kurangnya berada di tangga keempat liga iaitu slot terakhir ke saingan Liga Juara-Juara musim depan makin terjejas walaupun masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Kekalahan itu menyaksikan mereka menduduki tangga ke-10, mengutip 24 mata daripada 17 perlawanan, ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Inter Milan dan 10 mata di belakang pasukan tangga keempat, Fiorentina.
Sehubungan itu bos Milan, Carlo Ancelotti mahu juara Kelab Dunia Fifa itu segera bangkit dengan menewaskan Genoa di tempat sendiri, Ahad ini.
“Kami perlu memandang ke depan kerana masih banyak perlawanan untuk diharungi serta cara untuk kembali bersaing,” kata Ancelotti.
“Kami kini menumpukan perhatian terhadap setiap perlawanan, tapi kami perlu belajar bersikap lebih sinis dalam sesetengah perlawanan.
Pemain baru dari Brazil, Pato adalah salah seorang pemain mendapat perhatian Ancelotti yang diperlukan untuk lebih agresif.
Penyerang muda itu dipanggil buat pertama kali membarisi skuad utama Brazil kelmarin, bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Ireland di Dublin, 6 Februari depan dan terlepas peluang terbaik menjaringkan gol sewaktu Milan mendahului 1-0 di Atalanta.
Genoa, menang tiga perlawanan terakhir liga bakal berkunjung ke San Siro tanpa pemain pertahanan digantung perlawanan, Domenico Criscito.
Sementara itu juara bertahan, Inter Milan yang masih belum tewas, kini dalam misi melebarkan penguasaan sembilan kemenangan berturut-turut dalam Serie A apabila mengunjungi pasukan tangga kelima, Udinese.
Penyerang antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan dua gol lewat ketika Inter menang 3-2 ke atas Parma, minggu lalu, dijangka kembali beraksi selepas direhatkan ketika pasukannya seri 2-2 sewaktu menentang Juventus dalam saingan Piala Itali, kelmarin.
Pemain antarabangsa Argentina, Julio Cruz yang menjaringkan kedua-dua gol untuk pasukannya pada pertemuan pertama suku akhir menentang Juve, dilihat pilihan utama untuk bergandingan bersama Ibrahimovic di bahagian serangan.
Manakala pencabar terdekat Inter, AS Roma yang ketinggalan tujuh mata di belakang skuad juara itu, berharap mendapat semula khidmat kaptennya, Francesco Totti yang diserang selsema untuk menghadapi perlawanan menentang Palermo di tempat sendiri, esok.
Friday, January 25, 2008
Bola Sepak Serie A Itali
Artikel BolaCyber at 11:56 AM
Kategori: AC Milan, Liga Itali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment