Sedar risiko dipecat andai tuan rumah gagal
JURULATIH Ghana, Claude Le Roy bertekad untuk membawa pasukan bimbingannya, Ghana menjuarai Kejohanan Bola Sepak Negara Afrika tahun ini.
Ini kerana beliau menjangkakan dirinya akan dipecat jika Ghana yang menjadi tuan rumah kejohanan dua tahun sekali itu gagal memenangi Piala Negara-Negara Afrika.
"Jika kami tidak menjadi juara, saya pasti seorang jurulatih baru akan menggantikan tempat saya,' katanya.
"Keinginan saya ialah kekal di sini dan membuat persiapan untuk Piala Dunia 2010. Saya fikir Ghana boleh melakukan sesuatu. Tetapi saya faham perjanjian saya dan ia adalah untuk memenangi piala ini," kata jurulatih dari Perancis itu.
Le Roy merupakan jurulatih Cameroon semasa negara itu muncul juara pada kejohanan 1988.
Beliau juga memimpin Cameroon ke final 1986 dan menjadi jurulatih Senegal dalam kejohanan 1990 dan 1992, sebelum berpindah ke Republik Demokratik Congo untuk kejohanan 2006.
Ghana dijadualkan menentang Nigeria di Accra dalam suku akhir yang akan berlangsung Ahad ini.
Sementara itu pemain Chelsea, John Obi Mikel berkata, Nigeria harus menikmati kejayaan mereka layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika sebelum memikirkan pertemuan mereka dengan pasukan tuan rumah, Ghana.
Pemain midfield itu menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi untuk membantu Super Eagles (gelaran Nigeria) mengalahkan Benin 2-0 sementara Mali, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara terus, kecundang 3-0 di tangan Ivory Coast kelmarin.
"Kami sedar peluang kami adalah 50-50," kata Mikel.
"Jadi, kami bermain dengan agresif kerana kami sedar bahawa kami perlukan kemenangan dalam perlawanan ini. Sekarang kami semua gembira dan kami mahu menikmati detik-detik ini.
"Kemudian, kami akan tidur nyenyak dan kami akan fikirkan pertemuan suku akhir menentang Ghana apabila bangkit nanti.
Jurulatih Nigeria dari Jerman, Berti Vogts, yang menghadapi bidasan selepas persembahan buruk apabila kalah 0-1 kepada Ivory Coast dan seri tanpa jaringan dengan Mali, tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.
Sebaliknya, penolong jurulatih, Augustine Eguavoen, memberitahu wartawan: "Kami adalah antara pasukan yang terbaik di dunia. Jadi, semua pasukan mempunyai motivasi tambahan apabila mereka menentang Nigeria. Ia sungguh sukar tetapi akhirnya kami mara terus," katanya.
Thursday, January 31, 2008
Le Roy tekad bawa Ghana muncul juara
Artikel BolaCyber at 6:13 PM
Kategori: Piala Negara Afrika 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment