Tuesday, January 29, 2008

Piala Afrika: Ghana, Guinea ke suku akhir

Morocco tersingkir dari saingan

TUAN rumah Kejohanan Piala Afrika, Ghana mara ke suku akhir dengan mengekalkan rekod sempurna apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut menewaskanMorocco dua gol tanpa balas sekaligus menjuarai Kumpulan A dengan sembilan mata.

Turut mengiringi kemaraan Ghana ialah Guinea yang sekalipun terikat 1-1 dengan Namibia, namun berjaya mengatasi pencabar terdekat, Morocco dengan kelebihan satu mata untuk menduduki tempat kedua kumpulan.

Morocco di tempat ketiga dengan tiga mata diikuti Namibia satu mata.

Di Accra, Ghana membuka jaringan menerusi bintang Chelsea, Michael Essien di minit ke-26 bermula daripada sepakan percuma Sulley Muntari.

Pemain tengah itu kemudiannya mencipta satu lagi gerakan untuk jaringan kedua bagi membantu Ghana menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan mata maksimum selepas tiga perlawanan.

Ghana, yang akan terus kekal beraksi di ibu negara, Accra untuk perlawanan suku akhir, Ahad ini, akan berdepan naib juara Kumpulan B - berkemungkinan besar Mali sekalipun mereka juga mungkin berdepan musuh ketat, Nigeria.

Beraksi di depan penyokong yang memenuhi stadium di Accra, Sulley Muntari mencipta gerakan untuk Essien bagi gol pembukaan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma yang disambut baik pemain tengah itu.

Essien membalas jasa rakan sepasukannya itu apabila melepasi barisan pertahanan Maghribi pada minit ke-45 sebelum membuat lorongan kepada Muntari untuk menjaringkan gol keduanya pada kejohanan itu, sekaligus menyingkirkan Morocco daripada saingan kalah mati.

“Kami mengambil keputusan sebelum perlawanan untuk melakukan serangan demi serangan. Kami membuat keputusan memberikan lebih banyak ruang kepada Essien untuk mengawal keadaan serta mara ke depan,” kata jurulatih Ghana, Claude Le Roy.

Jurulatih Maghribi, Henri Michel, yang mengendalikan Ivory Coast ke final Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di Mesir pada 2006, berkata: “Kami perlu memandang ke depan dan membentuk satu skuad baru.”

Skuad Afrika Utara itu gagal melepasi halangan pertama buat kali kedua berturut-turut pada kejohanan itu.

Sementara itu Guinea berjaya memungut satu mata penting untuk ke kelompok lapan pasukan terakhir dengan mengikat Namibia 1-1.

Pasukan Robert Nouzaret itu membuka jaringan melalui Souleymane Youla pada minit ke-62 sebelum Namibia menyamakan kedudukan 11 minit sebelum perlawanan berakhir melalui jaringan kedua Brian Brendell di kejohanan itu.

No comments: