Friday, September 25, 2009

EPL: Tugas getir Wigan halang Chelsea


BOLOS sembilan gol dalam dua perlawanan menentang Manchester United dan Arsenal membuatkan Pengurus Wigan, Roberto Martinez perlu melakukan sesuatu terhadap benteng pertahanan skuad kendaliannya yang begitu rapuh sebelum berkira-kira untuk membuat kejutan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea malam esok.

Selain daripada dua kekalahan besar itu, Wigan turut dimalukan dalam saingan Piala Liga oleh pasukan dari Liga Satu, Blackpool, apabila dibolosi empat kali sebelum tewas 1-4 pada aksi pusingan kedua bulan lalu.

Martinez, dari Sepanyol kembali ke kelab di mana dia menjadi wira sebagai pemain selepas meninggalkan kerjaya menarik sebagai pengurus bersama Swansea City, menyaksikan pasukannya melepaskan lima gol kepada Manchester United, Ogos lalu dan dibelasah 4-0 oleh Arsenal hujung minggu lalu.

Bagaimana pun beliau jelas kurang senang dengan persembahan pasukannya ketika menentang Arsenal, terutama apabila para pemain kelihatan lemah semangat ketika berdepan cabaran berdepan pasukan yang lebih baik.

Chelsea pula semakin cemerlang di bawah kendalian Carlo Ancelotti, menang kesemua enam perlawanan awal dan kini di tangga teratas liga dan Martinez sedar 'mentera' cara permainan corak hantaran kemas diperlukan apabila menentang skuad The Blues itu nanti.

Sejak Wigan menyertai liga utama di England, mereka hanya mampu mengutip satu mata daripada lapan perlawanan dengan Chelsea, yang sepatutnya menurunkan Didier Drogba selepas dia tidak beraksi dalam Piala Liga menentang Queen Park Rangers akibat cedera pangkal paha.

Menang di Wigan bakal memberikan kemenangan ke-12 liga buat Chelsea - dengan mengambil kira lima perlawanan terakhir musim lalu.

Manchester United, tiga mata di belakang Chelsea di tempat kedua akan beraksi di Stoke City manakala pasukan di tangga ketiga, Liverpool menentang Hull City di padang sendiri.

Manchester City, yang masih perit akibat kalah 3-4 kepada United minggu lalu, terpaksa menunggu sehingga Isnin ini untuk beraksi apabila mereka menentang West Ham United.

Pasukan tercorot, Portsmouth memburu mata pertama musim ini apabila bermain di tempat sendiri menentang Everton.

Jadual perlawanan EPL

No comments: