Thursday, September 24, 2009

Piala Carling: Man United, Chelsea menang tipis


JUARA bertahan, Manchester United dan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea menarik nafas lega apabila sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk melepasi pusingan ketiga Piala Liga England (Carling Cup) awal pagi tadi.

Bermain di OLD TRAFFORD, United mampu menarik nafas lega apabila jaringan tunggal penyerang muda, Danny Welbeck pada minit ke-66 sudah cukup buat tuan rumah untuk melangkah ke pusingan keempat kejohanan.

Sebelum itu barisan Sir Alex Ferguson yang diperkuat dengan kehadiran Michael Owen dan Michael Carrick dikejutkan dengan layangan kad merah ke atas Fabio Da Silva selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Pemain pertahanan berasal dari Brazil itu diarah keluar padang selepas menjatuhkan Michael Kightly pada minit ke-29.

Begitu pun pasukan pelawat gagal memanfaatkan situasi berkenaan untuk memecah kebuntuan gol sebaliknya United yang berjaya mengambil kesempatan apabila Welbeck tidak mensia-siakan umpanan Owen pada minit ke-66.

Penyerang berusia 18 tahun itu tenang menewaskan penjaga gawang Wolves, Marcus Hahnemann untuk gol tunggal perlawanan seterusnya membawa tuan rumah ke pusingan seterusnya.

Sementara itu di STAMFORD BRIDGE, Chelsea berjaya mengiringi seteru utamanya dalam liga itu ke pusingan keempat juga hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Queens Park Rangers.


Gol tunggal The Blues hanya terhasil pada babak kedua menerusi penyerangnya, Salomon Kalou.

Penyerang antarabangsa Ivory Coast itu melepaskan rembatan kaki kirinya pada minit ke-52 untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Tom Heaton.

Di STADIUM CITY OF MANCHESTER pula, kelab dimiliki hartawan Arab, Manchester City turut melangkah ke pusingan keempat selepas menewaskan Fulham 2-1.

Begitu pun City terpaksa berhempas pulas hingga ke masa tambahan sebelum berjaya mengesahkan kemaraan mereka.

Bekas pemain Arsenal, Kolou Toure muncul penyelamat barisan Mark Hughes itu apabila menanduk masuk bola tendangan sudut Martin Petrov untuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-111.

Sebelum itu, penyokong City terpaku seketika apabila percubaan Zoltan Gera pada minit ke-34 menerjah masuk ke gawang tuan rumah untuk barisan pelawat mendahului 1-0 pada babak pertama.

City hanya memerlukan enam minit selepas perlawanan babak kedua bersambung untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Gareth Barry hasil umpanan Craig Bellamy.

Keputusan pusingan ketiga Piala Carling 2009/10

No comments: