INTER Milan berjaya merampas kedudukan teratas Liga Serie A Itali selepas menewaskan Napoli 3-1 pada saingan di San Siro, awal pagi tadi.
Kekalahan 0-2 Sampdoria di tangan Fiorentina membolehkan skuad bimbingan Jose Mourinho itu mengungguli takhta liga, namun kedudukan kembali berubah jika Juventus berjaya menundukkan pasukan tangga keenam, Genoa awal pagi esok.
Buat sementara Inter Milan berada di puncak dengan mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, manakala Juventus yang mencatat rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan lalu berada di tangga kedua dengan 12 mata maksimum.
Penguasaan tuan rumah jelas terbukti apabila dua gol terhasil dalam tempoh lima minit perlawanan bermula.
Penyerang antarabangsa Cameroon, Samuel Eto'o membuka tirai jaringan pada minit kedua selepas percubaannya dalam kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Morgan De Sanctis.
Sanctis sekali lagi tertewas hanya selang tiga minit kemudian apabila gagal menahan percubaan Diego Milito yang memanfaatkan umpanan daripada Maicon.
Pertahanan Brazil, Lucio terus menambah derita pelawat apabila berjaya menanduk masuk umpanan dari tendangan sudut Wesley Sneijder pada minit ke-32.
Napoli yang cuba bangkit selepas itu nyata gagal meroboh pertahanan Inter sebaliknya hanya berpuas hati dengan gol tunggal jaringan Ezequiel Lavezzi pada minit ke-37 bagi membolehkan tuan rumah merekod kemenangan keempat musim ini.
Sementara itu AC Milan dirundung malang apabila tewas 0-1 di tangan Udinese dalam perlawanan yang berlangsung di tempat lawan.
Sekali pun menguasai sebahagian besar perlawanan namun penyudah yang kurang tajam memaksa skuad bimbingan Leonardo itu pulang dengan tangan kosong.
Antonio Di Natale menjadi pemusnah pasukan pelawat selepas bijak menyudahkan bola yang terlantun dari percubaan awal Mauricio Isla pada minit ke-22.
Pada babak kedua Leonardo menggantikan Alexandre Pato dengan membawa masuk Ronaldinho namun ia gagal mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Kekalahan kedua daripada lima perlawanan musim ini menyebabkan Milan jatuh ke tangga ke-11 liga manakala Udinese naik ke tangga ketujuh.
Keputusan perlawanan lain
Thursday, September 24, 2009
Serie A: Inter di puncak liga, Milan dirundung malang
Artikel BolaCyber at 3:10 PM
Kategori: AC Milan, Inter Milan, Liga Itali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment