Tuesday, September 29, 2009

Piala Malaysia: Pasukan pilihan elak kejutan

HARI kedua persaingan bola sepak Piala Malaysia 2009 kembali malam ini dengan dua pasukan popular - Kedah dan Selangor terus diperhatikan sambil barisan kerdil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cuba mencuri tumpuan peminat lagi.

Sabtu lalu sudah membuktikan bahawa reputasi Liga Super sekadar bernilai di kertas dan juara bertahan dan pemenang tiga piala itu wajar pantas menyedari bahawa gelanggang Piala Malaysia jauh berbeza malah mampu menampilkan keputusan luar dugaan.

Berdepan Kelantan apatah lagi di gelanggang 'keramat', Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, Kedah memikul misi berat untuk diharungi terutama sekali dalam memulihkan semangat yang direntap ATM kerana mencuri satu mata mereka di Alor Setar.

Dengan memiliki ramai bintang kebangsaan selain khidmat bekas jurulatih negara, B Sathianathan, The Red Warriors tampak seperti telah melupakan kegagalan meraih tiga tempat teratas liga dan pemergian mengejut Peter Butler ketika menang 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Kesempatan terbaik pula terhidang buat ATM mengulangi prestasi terpuji Sabtu lalu apabila menyambung aksi di Selayang malam ini ekoran ketiadaan ketua pasukan Pulau Pinang yang dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil tidak memberikan mereka penalti.

The Red Giants pula yang seolah-olah terselamat dek tuah daripada diikat Sabah tanpa gol, perlu memandang PDRM yang mendapat kembali sentuhan K Thaiyanathan sebagai bukan lagi pasukan belasahan atau tercorot Liga Super lalu apabila mereka bertembung di Shah Alam.

Hanya menang tipis di Tawau sedangkan PDRM mengejutkan KM Naza 1-0 yang merupakan kemenangan sulung Liga M mereka musim ini, turut menuntut barisan depan Selangor khususnya Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal, R Surendren, Rudie Ramli dan Safee Sali melipatgandakan usaha memburu gol dan tiga mata lagi.

Daripada sepanjang 10 perlawanan Sabtu lalu, hanya Perlis yang didapati menang agak selesa, 2-0 ke atas Melaka dan prestasi yang sama dijangka mampu diteruskan naib juara Liga Super 2009 itu dalam melayani kunjungan Pahang di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Negeri Sembilan dan Terengganu bukan sekadar saling bersaing menerajui Kumpulan B bahkan berpeluang memanfaatkan masalah di luar padang lawan mereka, Sarawak dan Johor yang masing-masing dibelenggu keperitan kewangan persatuan dan kerenah jurulatih, Nasir Yusof.

Peneraju dan penghuni tangga kedua kumpulan ini pasti tidak rela kepulangan ceria dengan mata penuh dari Johor Bahru dan Kuching, Sabtu lalu, berganti dengan aksi longlai di depan penyokong sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Aksi Kumpulan C juga sama hebat di Pasir Gudang dan Ipoh, malam ini dengan Johor FC dan Perak tidak mampu bersandarkan nasib lagi semata-mata ketika masing-masing menewaskan Kuala Lumpur dan UPB-MyTeam 1-0 untuk menyambar tiga mata dari gelanggang lawan.

Namun sentuhan tepat dalam menyudahkan peluang ternganga seperti dimiliki pemain Johor FC, Farid Ideris dan Razali Umar Kandasamy dari Perak, Sabtu lalu wajar dipandang serius oleh anak buah Khan Hung Meng dan Razip Ismail sekali gus mengelakkan sebarang kesilapan mudah yang bakal mengundang padah lagi.

Jadual Piala Malaysia
Keputusan Piala Malaysia

No comments: