BEBERAPA kelab tersohor Eropah akhirnya terpaksa berpijak di bumi nyata dengan menerima hakikat tiada pasukan yang kebal selamanya sekali pun dibarisi bintang-bintang bola sepak ternama.
Di ENGLAND, Chelsea satu-satunya kelab yang belum pernah tewas akhirnya tersungkur jua, malangnya bukan di tangan kelab hebat seperti Manchester United mahu pun Liverpool tetapi rebah di kaki Wigan Athletics.
The Blues yang memimpin carta liga sejak awal musim bukan saja tewas buat pertama kali bahkan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka kepada musuh tradisi, Manchester United selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menang ke atas Stoke City.
Sekali pun mempunyai jumlah mata yang sama banyak dengan Chelsea, United berjaya memintas skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu berdasarkan selisih jaringan lebih baik berbanding pasukan berpengkalan di Stamford Bridge itu.
Jika silap percaturan kedudukan Chelsea mungkin makin sulit kerana mereka bakal berdepan Liverpool hujung minggu ini. Iaitu perlawanan yang bakal menjadi tumpuan utama peminat bola sepak EPL.
Manakala di ITALI, nasib serupa dialami juara bertahan Serie A, Inter Milan selepas Sampdoria berjaya menewaskan barisan bekas bos Chelsea, Jose Mourinho 1-0 menerusi gol babak kedua dari Giampaolo Pazzini sekali gus melonjak ke tangga teratas liga.
Inter kini berada di tangga ketiga, dua mata di belakang pendahulu, untuk berkongsi kedudukan dengan Fiorentina yang menang 1-0 ke atas Livorno hasil gol dari sepakan penalti Stevan Jovetic pada minit ke-76. Satu lagi pasukan gergasi, Juventus menghuni tangga kedua dengan 14 mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Bologna malam tadi.
"Ia adalah gol yang penting di hadapan penonton yang membanjiri stadium," kata penjaring gol kemenangan Sampdoria, Pazzini.
"Kami kini di tempat teratas dan ini adalah malam yang hebat. Jelas, kami dapat segera bangkit selepas tewas di Florence," katanya merujuk kepada kekalahan 2-0 di tangan Fiorentina, Rabu lalu, yang menamatkan rentetan empat kemenangan mereka.
Bagaimana pun di SEPANYOL, Barcelona dan Real Madrid kekal bersaing sesama sendiri dan tiada tanda kedua-dua pasukan berkenaan kehilangan rentak permainan mereka untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan La Liga.
Real Madrid kini di tangga teratas, berkongsi 15 mata dengan Barca yang hanya dibezakan kelebihan satu gol berbanding skuad Catalan itu.
Pada aksi semalam, Real Madrid membelasah Tenerife 3-0 manakala Barcelona menjinakkan Malaga 2-0. Karim Benzema menjaringkan dua gol buat Real manakala bintang Brazil, Kaka melengkapkan kemenangan skuad serba putih itu.
Jadual Bola Sepak Terkini
Keputusan Perlawanan Terkini
Monday, September 28, 2009
Liga Eropah: Rekod Chelsea, Inter lebur - Barcelona, Real Madrid kekal penguasaan
Artikel BolaCyber at 10:33 PM
Kategori: Barcelona, Chelsea, Inter Milan, Liga Eropah, Manchester United, Real Madrid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment